Sabtu, 31 Disember 2016

Pertempuran di Perairan Ryukyu


Surat yang diutus oleh Maharaja Ryukyu kepada Maharaja Ming kini berpindah tangan kepada Laksamana Hang Tuah.

Lama Hang Tuah merenung surat tersebut. Sesekali terdengar juga dengusan panas dari dada Laksamana. Apa tidaknya Melayu tidak pernah berbuat onar tanpa sebab dimana sahaja bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung.

Serangan ke atas kapal Melayu yang bergerak ke Ryukyu tanpa sebab benar-benar mencabar Kerajaan Melaka.

Namun titah Baginda Sultan ke Negeri Lingkaran Naga ini tetap perlu diutamakan.

---------------------------
Sejak tadi Maharaja Ming memerhati gelagat Hang Tuah tanpa disedari Hang Tuah sendiri.

"Wahai Laksamana Melaka jangan dilupa kau sudah Beta anggap sebahagian tanah leluhur ini. Raja mu sudah ku anggap saudara ku jua......................."

Pertarungan dengan pemberontakbertopeng


Pukulan dari pemberontak bertopeng begitu pantas sesekali tangannya hanya kelihatan berbayang.
Hang Tuah sedaya upaya mengelak dan menyanggah serangannya. Musuh yang dihadapi ini tidak kurang hebatnya pukulannya keras dan tangkas.
Ketika pertarungan kelihatan seimbang. Hang Tuah dapat merasai desir angin yang meluncur laju ke arahnya,Hang Tuah bertapak mengelek sebilah anak panah melintasi hujung bahunya hanya seinci lagi boleh menebak dadanya.
Dalam waktu yang sama serangan dari pemberontak bertopeng masih bertali arus. Hang Tuah dapat merasai sekali lagi deru angin yang meluncur deras. Namun serangan dari pemberontak bertopeng menyukarkan Hang Tuah untuk mengelak.
Sebilah lagi anak panah meluncur laju ke arah dada Hang Tuah. Hang Tuah hanya mampu mengelek sedikit sahaja namun kelajuan anak panah tersebut diluar jangkaan Hang Tuah.
Anak panah tersebut berjaya hinggap di bahu kanan Hang Tuah namun ianya tidak sempat tembus ke belakang kerana Hang Tuah berjaya menangkap hujung anak panah tersebut menyebabkab kelajuan anak panah tersebut tidak sederas ketika dilepaskan dari busurnya.
Darah merah mulai mengalirni dicelah-celah jari Hang Tuah.....

Isnin, 7 November 2016

Langit

Kota Larangan


Dalam keadaan cemas Laksamana Hang Tuah mengendong Puteri Oksoo, Sawol pengiring Puteri Oksoo menurut dari belakang larian mereka semakin kencang, khuatir penduduk yang mempunyai kepercayaan yang pelik mengejar mereka. Sebentar tadi ketua puak asli itu tewas ditangan Hang Tuah.

Namun dalam pertarungan itu Puteri Oksoo telah tercedera bahu kirinya terkoyak kerana dilibas dengan sebilah sabit, darah masih membuak-buak keluar dari bahunya. Hang Tuah dengan berhati-hati membaringkan Puteri Oksoo di perdu pokok oak . Sawol dengan pantas cuba memberi rawatan kepada Puteri Oksoo.

Dalam keadaan hairan Sawol berkata kepada Laksamana Hang Tuah,” Wahai Laksamana, hamba tidak tahu apa yang terjadi, jika dilihat senjata yang terkena pada tuan puteri tidak diletakkan sebarang racun  namun lukanya seperti tidak mahu memberhentikan darah.”

Sesekali Sawol selaku tabib diraja yang mengiringi Puteri Oksoo mengelap darah yang mengalir dengan sehelai kain khas dari istana. Kain ini jka diletakkan pada luka yang mengalirkan darah ianya dapat memberhentikan darah. Jika ada racun ia akan menyerap sekali racun tersebut. Namun darah puteri Oksoo masih mengalir. Sesekali diletakkan kain tersebut berhampiran hidungnya untuk memastikan telahannya itu betul. Tiada sebarang racun.

Hang Tuah menghampiri mereka berdua.

Puteri Oksoo cuba menggagahi dirinya untuk bangun, “ aku tidak mahu mati di sini, Sawol.”
Mendengar sahaja kata-kata itu, Sawol pantas menggengam tangan Puteri Ok Soo sambil menyandarnya diperdu pokok Oak tersebut.  

“ Jangan bimbang tuan puteri, hamba akan sedaya upaya akan merawat tuan puteri, itulah janji hamba pada tuanku.” Matanya lendirmya mula basah. Puteri Oksoo sudah dianggap sebagai kakaknya. Semenjak kecil dia tidak pernah dilayan seperti seorang hamba, baik dari maharaja mahupun sang puteri sendiri, kerana itu dia sanggup membuat apa sahaja untuk tuan puteri hatta menggadai nyawanya sendiri. Hutang budi di bawa mati itulah prinsip yang dipegang sekian lama.

Sawol bingkas bangun. Puteri Oksoo dalam keadaan lemah mengenggam jari-jemari Sawol, “Sawol, kau mahu ke mana? jangan tinggalkan aku keseorangan di sini.”

“ Tuan puteri hamba perlu mencari beberapa jenis tumbuhan yang boleh memberhentikan darah tuan puteri, boleh jadi dalam hutan yang sebegini tebal ada tumbuhan-tumbuhan begitu.” Sawol mula cemas, dia tidak mahu kehilangan Puteri Oksoo.

Dalam suara yang tersekat-sekat Puteri Oksoo berkata,” Aku tidak izinkan Sawol, aku mahu kau tetap di sini.”

Hang Tuah sejak dari tadi memerhati mereka mula mendekat, “biarlah hamba membantu boleh jadi ikhtiar hamba ini ada gunanya.” Sawol mengangguk pantas. Puteri Oksoo cuba mengukir senyuman, dia langsung terlupa Laksamana Hang Tuahlah yang telah menyelamatkannya sebentar tadi.

Hang Tuah mendongak ke langit melihat sinaran matahari yang memancar ternyata matahari berada tegak di atas kepala. Hang Tuah berkira-kira kemungkinan ini waktu rembang kerana itu darah sukar untuk diberhentikan waktu ini. Itulah ilmu yang pernah dipelajarinya satu ketika dahulu di Gunung Ledang, ilmu perdaran darah dan masa.

Hang Tuah membaca sesuatu, habis sahaja membaca serangkap doa lalu dimasukkan ibu jarinya ke langit mulut, tujuannya untuk mengambil sedikit air liur yang berada di langit mulutnya. Kemudian ibu jarinya diletakkan dibahu Puteri Oksoo yang masih mengalirkan darah.


Lalu dibaca ayat “ Tabbat yada abi lahabiu watab” sambil menarik nafas lalu ditekan ibu jari tersebut ke atas luka puteri Oksoo. Berkerut kening puteri Oksoo menahan sakit.

Rabu, 19 Oktober 2016

Makluman Buat Pembaca Yang Disayangi

Buat para pengikut kisah Datuk Laksamana Hang Tuah dalam Novel Kota Larangan ini mohon kemaafan dari semua, kerana buat masa ini saya perlu menghentikan sambungan kisah ini memandangkan saya berhajat untuk menghantarnya kepada penerbit. namun begitu untuk mengubat rindu para pembaca sesekali saya akan naikkan post baru yang lebih berbentuk sub plot kisah. Jadi selepas ini kisah ini tidak mengikut urutan cerita atau bab. 

semoga dapat mengubat rindu para pembaca yang membaca kisah yang tidak seberapa ini. 

Khamis, 18 Ogos 2016

Cik Lingjiao (ii)

Kini wanita yang dipanggil Lingjiao benar-benar telah berdiri di hadapan Hei Long. Wajahnya bersih dan senyuman yang manis tidak lekang dari bibirnya. Hei Long masih begitu, tidak berganjak walau setapak,air mata semakin deras mengalir dari matanya.

Hun Jia kau benar-benar sudah berubah. Tangisan mu benar-benar meruntun hatiku. Lembut kata-kata Cik Lingjiao sambil menyapu air mata di pipi Hun Jia.

"Apakah benar ini Lingjiao? Apakah aku sedang bermimpi." Hei Long mula meragui gadis dihadapannya.

"Emm...nampaknya kau masih meragui diriku Hun Jia". Jawab Lingjiao dengan senyuman yang boleh meruntuh setiap ego lelaki yang memandangnya

" Apabila Naga hitam membelah langit. Langit terbelah menjadi tiga. Harimau mengaum di Bukit Merah.Kura-kura Emas membalik wajah.

Apabila Naga Hitam kembali ke tanah menyusul di bawah telapak kaki Maharaja lalu hancur menjadi tanah.

Cik Lingjiao bermadah. Mengungkap kata-kata.


Sekali lagi Hei Long terkejut matanya bulat melumuri wajah gadis yang indah itu. Semakin lama matanya semakin kendur bibirnya mula melakar senyumanan.

Kata-kata itu bukan sembarangan.

Itu adalah kod rahsia bagi setiap ketua angkatan perang maharaja. Ianya cukup rahsia hanya maharaja dan beberapa orang pembesar istana sahaja yang mengetahuinya.

Kerana cinta yang mendalam kepada Lingjiao, Hei Long telah memberitahu rahsia tersebut. Hei Long percaya kekasihnya orang yang pandai menyimpan rahsia.

"Sungguh benar kau adalah Lingjiao kekasih yang aku rindui", Terluah juga kata-kata itu dari bibir Hei Long.

Hei Long tidak dapat mengawal dirinya lalu di dakap kekasih hatinya sambil menangis, tiada siapa yang pernah mengetahui dia menanggung kerinduan yang cukup dasyat. Kesunyian bagaikan malam yang amat gelap.



Tiba-tiba Hei Long terdengar Lingjiao terbatuk mulutnya memuntahkan darah merah. Hai Long terkejut lalu dilepaskan pelukkannya sesuatu yang amat mengejutkan berlaku. Hei Long sendiri kaget dan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang. Tangannya menembusi perut Lingjiao.

Perlahan-lahan ditarik tangannya dari perut Lingjiao, Lingjiao terbatuk lagi kali ini darahnya terpercik ke muka Hei Long. Hei Long meraung dengan kuat.

"Tiiidaaaak!!! apa yang sudah terjadi."

"Liangjiao bertahan"...tangisan semakin menghiba Hei Long seperti hilang arah dia tidak mengerti apa yang berlaku dan mengapa tangannya menembusi perut kekasihnya,

"Aku tidak berniat membunuh mu Lingjiao"..
"Apa yang telah aku lakukan ini."

Liangjiao semakin lemah dan rebah, sepantas itu juga Hei Long menyambut tubuh kekasihnya lalu diletakkan di atas ribaannya.

"Bertahan Lingjiao aku akan mencari bantuan", kata Hei Long sambil cuba melepaskan Lingjiao namun tangannya dipegang erat oleh Lingjiao,

"Jangan tinggalkan aku Hun Jia. Biarlah kita bersama buat seketika."

"Lingjiao aku tidak berniat membunuh mu...aku..aku.." suara Hei Long tersekat-sekat.

Cik Lingjiao hanya tersenyum. Hun jia kekasih ku bersabarlah. Aku tahu itu bukan kehendak mu.

"Uhuk..uhuk...uhuk!"  darah merah semakin deras mengalir dari mulut Lingjiao.
 Hei Long semakin kalut...wajahnya sugul baru sebentar tadi dia melihat senyuman yang indah di bibir kekasihnya dan kini darah merah pula yang menghiasi wajah kekasihnya.

Lingjiao memandang wajah Hei Long, digagahkan juga untuk memberi senyuman. Ketika inilah Lingjiao menghulurkan sesuatu. Pantas Hei Long menyambut barang tersebut yang dihulurkan kepadanya. Hei Long pun tidak pasti dari mana dan sejak bila barang tersebut ada dalam genggaman kekasihnya, otaknya tidak mempu berfikir dengan rasional saat ini.

Hun Jia ambillah senjata ini, jika kau menemui pemiliknya maka ikutlah dia semoga ada kebahagian dan kedamaian yang hakiki akan kau temui. Lingjiao berkata perlahan suaranya seperti tersekat-sekat.

Hei Long memerhatikan senjata yang kini berada ditangannya,

"Senjata?"

Hei Long memegang hulu senjata tersebut ternyata hulunya dibuat daripada kayu ada permata seperti berlian yang menghiasi hulunya. Hei Long cuba menarik keluar senjata tersebut dari sarungnya, sarungnya juga daripada kayu, kelihatan sebilah besi yang berbengkang bengkok tertanggal dari sarungnya.

"Senjata apakah ini? aku belum pernah melihatnya di mana-mana pertempuran?"

"Lingjiao siapakah pemilik senjata ini?"

Hei Long semakin keliru.

Hun Jia sudah sampai masanya aku pergi, jika bertemu pemiliknya ikutilah dia semoga kau menemui kebahagian hakiki.

Perlahan-lahan tangan Lingjiao melurut ke bawah terkulai setelah roh meninggalkan jasadnya. Hei Long panik.

"Lingjiao...Lingjiao...Lingjiao" panggil Hei Long sambil  di goncang-goncang tubuh kekasihnya.

Tiada sahutan..

sunyi..

Hanya kedengaran deru angin sahaja bau bunga Wisertia juga sudah lama menghilang..

Tiiidaaak!...
Tiiidakkk!...

Hei Long meraung sekuat hatinya, Kesunyian dan kesedihan menyelubungi dirinya.

Saat ini ada suara yang menyapa Hei Long...

"Kau tidak akan bahagia Naga Hitam, aku akan pastikan kau menderita sehingga ke akhirnya"

Hei Long terkejut.

pemilik suara yang mengugutnya tidak kelihatan, yang terdengar hanya dengusan nafas yang kasar..

Cis! Siapa kau hah!...Tempik Hei Long...

Eeeeeeeee.....heeeeeee....heeeeee



Rabu, 6 Julai 2016

Bab 16: Cik Lingjiao

Hei Long berada di taman yg menghijau bau bunga Wisteria yang harum menusuk-menusuk deria hidungnya.

Entah bagaimana dia tiba-tiba berada di sini. Lama juga dia memacu keras fikirannya tetapi ternyata dia tidak dapat mengingati apa-apa.

Namun bau harum bunga Wisteria ini menyebabkan fikirannya seperti di paksa mengingati sesuatu atau mungkin seseorang. Dahinya mula basah dengan keringat dingin, kepalanya mula sakit, berdenyut-denyut semakin lama semakin kuat.

" Hun Jia"...satu suara yang lembut menerpa anak cuping telinganya. Hei Long semakin tidak keruan. Di pesat-pesat matanya untuk memastikan dia tidak bermimpi.

"Siapa?"

"Hun Jia kekasih ku." suara itu menerpa lagi anak telinganya bagai dibawa kabus utara yang lembut dan dingin begitulah kelembutan suara itu. Bau bunga Wisteria semakin kuat menusuk deria hidungnya.

Sesekali fikirannya dilintasi bayang seseorang tetapi tidak jelas. "Siapa yang menyeru nama ku?" Bisik Hei Long di dalam hatinya.

"Belum pernah orang memanggil aku dengan nama itu. Bagaimana kau tahu nama sebenarku?" Hei Long mula menyoal bertalu-talu.

Pelik...

Nama ini begitu rahsia padanya. Semenjak Maharaja menggelarnya Hei Long (Naga Hitam) nama ini seperti telah terpadam dalam lipatan sejarah hidupnya. Hanya beberapa orang sahaja yang mengetahui nama ini. Tetapi siapa?

"Siapa yang menyeru nama ku itu". Jiwa Hei long mula resah. Kini dia sudah siaga jika ada yang datang untuk mengancam nyawanya, tak akan dibiarkan hidup.

Nekad.

"Hmmm...apakah kau sudah melupai diri ku ini Hun Jia?". Soal suara itu, kedengaran tawa kecil mengapung di udara. Mungkin masa telah menyebabkan kau semakin lupa. Boleh jadi kau sudah semakin tua."
Suara itu cuba berjenaka serentak tawanya yang manja memenuhi taman itu.

Wajah Hei Long yang sejak tadi tegang dan keliru mula mengendur ada senyuman terukir di bibirnya.

"Kau sudah pandai tersenyum sekarang Hun Jia tidak seperti dahulu." Pantas suara itu menegur Hei Long.

"Tunjukkanlah diri mu. Jika kau berniat baik maka kau akan ku sambut dengan baik jika sebaliknya bersedialah untuk kehilangan nyawamu." Jawab Hei Long.

"Ah, sekali ini jiwa mu masih seperti dulu Hun Jia, pergaduhan dan peperangan sudah sebati dengan mu. Tapi apakan daya sudah semestinya begitu memandangkan kau adalah Laksamana perang bagi kerajaan Ming ini." Suara itu menjawab dengan lembut.

"Kau seperti benar-benar mengenali aku. Siapakah kau sebenarnya.? Ayuh! Perkenalkan diri mu aku tidak suka musuh yang pengecut." Kesabaran Hei Long mula menipis.

Serentak itu kabus tebal mula bergerak-gerak ke arah Hei Long dan bau bunga Wisteria semakin mengapung kuat di taman yang indah itu.

Saat ini bayang-bayang seorang wanita kelihatan dari arah kabus itu.  Semakin lama semakin jelas, kabus yang berbau wangi itu juga mula menghilang bergerak perlahan ke arah utara.

Hei Long merenung dengan bersungguh-sungguh kelibat wanita yang dikelilingi kabus itu. Apabila kabus benar-benar telah sirna barulah Hei Long dengan jelas  dapat melihat wajah perempuan tersebut.

Khali.

Hei Long terpana. Seketika kakinya terasa goyang. Urat geramatnya bagai lumpuh. Air mata mula mengalir dari kelopak matanya.

"Cik Lingjingao". Gementar suara Hei Long menyebut nama itu.

Wanita itu bergerak perlahan ke arah Hei Long. Pakaianya terbuai-buai ditiup angin. Sehelai selendang menutupi rambutnya. Wajahnya ayu, senyuman manis terukir di bibirnya. Begitu ikhlas.

Hei Long seperti dipukau. Kakinya seperti terpasak di bumi. Air mata mula membasahi pipinya.

"Bukankah kau sudah mati.?"

Isnin, 18 April 2016

BAB 15 : PERTEMUAN RAHSIA II

BAB 15: PERTEMUAN RAHSIA II

sekadar hiasan: sumber google

“Kini beta ingin memohon buah fikiran para hadirin di sini adakah harus diteruskan rancangan perkhawinan ini atau bagaimana? soal Maharaja kepada  semua yang dijemput hadir. Masing-masing terdiam,kerisauan terpancar pada wajah menteri-menteri kerajaan Ming. Semua mereka yang hadir maklum keputusan yang bakal dibuat melibatkan nyawa dan kedaulatan negara lain. Tidak semena-mena terdengar suara milik Cheng Di, conselor Maharaja memberi pandangan

“ Kita batalkan sahaja perkhawinan ini tuanku, apa gunanya perkhawinan ini jika ianya akan menghilangkan banyak nyawa.” Cheng Di menyatakan pandangannya. Walaupun pandangan itu ibarat menyanggah dengan apa yang berlaku sekarang, namun Maharaja Ming adalah seorang Maharaja yang baik dan adil segala pandangan akan didengari terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan itu diambil.

“Bagaimana pandangan Datuk Bendahara Tun Perak pula?” tanya Maharaja sambil melemparkan senyumannya kepada Bendahara Tun Perak.
Tersentak seketika Datuk Bendahara apabila Maharaja meminta buah fikirannya. Sungguh tidak disangka kehadirannya disitu memang dianggap penting.  

“Ampun tuanku, pada pandangan patik adalah lebih baik diteruskan perkhawinan ini, kerana ianya akan menguatkan lagi kuasa kerajaan Ming dibawah naungan tuanku, malah hubungan antara negara akan lebih erat dan kuat, kekuatan dua negara ini akan menjadikan negara-negara lain menjadi gerun  untuk membuat onar malah akan lebih menghormati kedaulatan kerajaan tuanku. Kami dari negeri Melaka berbesar hati untuk taat setia dan membantu tuanku dalam hal ini.” Lunak suara Datuk Bendahara bertutur sebagaimana mengadap Sultan Melaka.

Maharaja tersenyum dan mengangguk atas saranan Datuk Bendahara. Menteri-menteri kanan Kerajaan Ming juga majoritinya bersetuju dengan pandangan Datuk Bendahara. Tengah hari itu mesyuarat dengan Maharaja Ming selesai tanpa ada kata putus dari Maharaja sendiri, namun ketika semua mahu beredar dari bilik khas itu, Datuk Bendahara telah diberi sekeping kertas secara rahsia oleh seorang menteri kanan ketika berjabat tangan dengan Datuk Bendahara.

Malam ini jam 12.00 malam di Istana Khas DiRaja. Hanya Datuk Bendahara dan Datuk Laksamana Hang Tuah sahaja.

Datuk Bendahara membaca nota yang tertulis di atas kertas berbentuk burung hantu yang berwarna kuning emas itu. Tiba-tiba rasa cemas menyelubungi jiwa tuanya itu. “apakah maksudnya semua ini?” gumam Datuk Bendahara kepada dirinya sendiri.

Malam itu hadir seorang pengawal khas Diraja yang berpakaian serba hitam wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi sejenis jubah berhud. Terbongkok-bongkok dia di hadapan Datuk Bendahara sambil membawa tanglung yang cahayanya suram sahaja untuk menunjukkan jalan ke Istana Khas Diraja,

Istana Khas Diraja ini merupakan sebuah istana yang terpisah dari Istana Besar malah bukan sebarang orang hatta menteri-menteri kerajan Ming yang boleh masuk ke situ. Istana ini dikawal rapi oleh pengawal khas Diraja dan indentiti mereka ini begitu rahsia hanya Maharaja sahaja yang tahu mengenai mereka. Pengawal-pengawal ini amat digeruni oleh menteri-menteri dan sida-sida, kerana mereka ini ibarat pembunuh misteri. Sudah beberapa orang menteri yang hilang dari istana ini tanpa dapat dikesan dan kebanyakkan mereka memang diketahui mempunyai reputasi yang buruk, penerima rasuah dan suka menyalah guna kuasa yang diberikan.

Laksamana Hang Tuah mengekori dari belakang, jelas kelihatan di matanya kegalauan yang terpancar diwajah Datuk Bendahara. “ “Ayahanda Bendahara”, lembut suara Hang Tuah menyeru Bendahara Melaka itu.

“usahlah ayahanda terlalu risau, hamba akan berusaha untuk melindungi ayahanda, jika baik datangnya baiklah kita menerimanya, jika buruk datangnya maka dengan nyawa dan darah kita menyambutnya.” Ujar Hang Tuah untuk menenangkan Datuk Bendahara.

Mendengar kata-kata itu, Datuk Bendahara berhenti melangkah lalu dipandang wajah Laksamana Hang Tuah dengan senyuman. Dia tahu Hang Tuah ingin menenang perasaannya kala ini. Hang Tuah sudah ibarat anaknya sendiri.

“ Hendak ucok dilawan damai, hendak perang digiling peluru” Tiba-tiba Datuk bendahara bersuara kepada Hang Tuah. Hang tuah pantas tersenyum dengan kata-kata itu sambil mengangguk perlahan.


Bersambung.....

Rabu, 13 April 2016


SUMBER Google.

BAB 14: PERTEMUAN RAHSIA I

Sudah hampir tiga bulan, Hei Long sudah semakin pulih dari sakitnya. Maharaja telah menitah agar Laksamana Hei Long datang ke Istana Besar, ada tugas penting yang perlu dilaksanakan.

Mesyuarat kali ini hanya dihadiri oleh kalangan menteri-menteri yang terpercaya sahaja. Maharaja sendiri tahu ada dikalangan para menterinya yang mempunyai perasaan tidak puas hati dan berhasad dengki antara satu sama lain. Namun apa yang menariknya Maharaja Kerajaan Ming telah menjemput Datuk Bendahara Tun Perak sebagai salah seorang ahli mesyuaratnya kali ini. Ini menunjukkan Maharaja Kerajaan Ming telah menaruh kepercayaan yang bulat terhadap Kerajaan Melaka, serta mengiktiraf Kerajaan Melaka sebagai salah satu Kerajaan yang mempunyai kepentingan bersama dalam hal ehwal politik dan ekonomi.

“Pagi yang indah ini Beta menjemput kalian semua kerana ingin berbincang perkara besar yang melibatkan sebuah negara. Chosun merupakan sebuah negeri yang pernah menjadi tanah jajahan Ming satu waktu dahulu, namun beta telah mengisytiharkan kemerdekaan kepadanya. Walaupun begitu Chosun masih mahu bernaung di bawah Kerajaan Ming. Hari ini Chosun kembali dilanda ancaman, pemberontak semakin hari semakin kuat membuat ancaman kepada Raja Chosun. Malah sudah ada ugutan untuk membunuh seluruh ahli keluarga Raja dan menggulingkan kerajaan.” Jelas Maharaja mengapa mesyuarat ini dibuat.

“Kerana ingin membalas budi baik beta maka Raja Chosun ingin menggawini puterinya dengan Beta. Beta tahu ini bukanlah perkara yang menggembirakan semua pihak, namun apabila melibatkan negara ianya menjadi kepentingan semua. Raja Chosun telah menghantar rombongan puterinya ke negeri China ini secara rahsia, ini bagi mengelakkan rancangan ini diketahui oleh pihak musuh yang pasti akan cuba untuk menggagalkan rancangan ini, tetapi sayang, nampaknya sudah ada musuh di dalam selimut dalam negara ini. Hasil risikkan rahsia dari “burung layang-layang hitam” di dapati pihak musuh telah mengetahui rancangan ini.” Ujar Maharaja Ming sambil merenung setiap wajah di dalam dewan itu.

“Beta telah mengarahkan Xeu Lang bagi melihat dan membuat risikan bagi masalah ini. Namun apa yang beta dengar, Angkatan Perang Pemanah Biru di bawah Xeu Lang telah mengalami kegagalan. Serang hendap yang dilancarkan oleh pihak musuh menyebabkan mereka berundur dan hampir kalah, kini berita tentang mereka juga lenyap bagai angin lalu. Ini satu yang pelik dan mencurigakan. Xeu Lang antara hulubalang Ming yang terhebat. Mustahil semudah itu dikalahkan!”

“Apakah pemberontak juga mempunyai pahlawan yang sangat hebat?” soal Maharaja Ming dalam nada yang resah.


Bersambung......

Jumaat, 11 Mac 2016

BAB 13 : TELAPAK HAKIKAT

sekadar hiasan

BAB 13: TELAPAK HAKIKAT
                              


Bagaikan orang gila perempuan itu menjerit sambil cuba membenamkan kukunya yang tajam itu ke dada Hei Long. Lagaknya seperti ada dendam lama antara dirinya dengan Hei Long. Saat kuku yang panjang itu hendak merobek jantung Hei Long, tiba-tiba perempuan itu terpelanting keras ke arah dinding.

Hentaman yang tidak dijangkakan itu hampir-hampir melumpuhkan segala pergerakkannya. Matanya kabur berpinar-pinar dia kesamparan di atas lantai. Dicelahan rambutnya yang mengurai itu dia dapat lihat dengan jelas penyerangnya. Dia menderam bagai serigala yang kehilangan taring, namun untuk membalas kembali dia benar-benar telah lumpuh.

Kelihatan Hang Tuah masih dalam keadaan mengembangkan telapak tangannya dan mengarah kepada Hei Long sebentar tadi Hang Tuah baru sahaja melancarkan jurus telapak hakikat, jurus angin yang bisa memutuskan segala urat temurat tanpa melukakan kulit. Itulah serangan kilat yang mampu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa sahabatnya Hei Long.

Hang Tuah bingkas bangun dari duduk anak harimaunya, berlari kencang untuk menamatkan nyawa perempuan berambut panjang tersebut, kelihatan wajah Hang Tuah memerah bagaikan mahu mengamuk sahaja lagaknya. Pantang betul Hang Tuah diakal-akalkan begitu.
Hang Tuah sedar sejak dari tadi setiap serangan yang dilancarkan bukanlah untuk membunuh dirinya tetapi sasaran utama adalah Hei Long si Pahlawan Naga. Serangan-serangan itu semuanya untuk mengalih tumpuannya malah perempuan gila itu telah membunuh pembanu tabib yang tidak berdosa.

Hang Tuah melompat tinggi Taming sari sudah terlucut dari sarungnya sasarannya adalah perempuan berambut panjang tersebut. Namun ketika Hang Tuah hampir membenamkan mata kerisnya tiba-tiba ada segerombolan asap hitam yang berputar-putar seperti puting beliung menerjah tubuhnya Hang Tuah tercampak dan terseret di atas lantai.

Hang Tuah berguling ke belakang dan dengan pantas bangun bersiap siaga. Tetapi suasana rumah rawat tersebut kembali aman dan sunyi. Perempuan berambut panjang sudah tiada di situ yang ada hanya tubuh Hei Long dan Tabib diraja yang masih diundung duka.

“Cis! Kau bernasib baik hari ini jika tidak kerisku sudah pasti dijamu dengan darah mu” Hang Tuah memekis dengan nada perlahan.

Apabila keadaan sudah kembali tenang Hang Tuah mendapatkan Tabib Diraja,
“bersabarlah wahai tabib budiman, adapun yang hidup pasti akan mati” Hang Tuah cuba memujuk Tabib diraja.

“Benar kata mu wahai Laksamana Melayu, namun gadis ini bukanlah sekadar pembantu ku yang terpercaya tetapi lebih dari itu dia adalah anak kandung ku.” Jawab Tabib Diraja sambil menyeka sia-sia air mata diwajahnya.
Kenyataan itu benar-benar mengejutkan Laksamana Hang Tuah, padanlah Tabib begitu hiba ketika memangku mayat pembantunya.

“ Aku ingin membalas pembunuhan ini” tiba-tiba Tabib Diraja meninggikan suaranya. Wajahnya sugul perasaannya berkecamuk.

Dengan tidak semena-mena dia mengesot dengan lututnya di hadapan Laksamana Hang Tuah.

‘Wahai Laksamana Agung dari bumi Semenanjung Emas aku merayu kepada mu ajarlah aku akan ilmu kepahlawanan ini” rayu Tabib Diraja.

Hang tuah terpana dengan permintaan itu,

“Wahai tabib diraja yang budiman janganlah begitu kerana ilmu hulubalang dari Tanah Melayu ini bukanlah sehari dua untuk dipelajarinya. Jawab Hang Tuah untuk menghilangkan kegalauan hati Tabib Diraja.”

“Bagaimana aku boleh melindungi diriku ini jika berhadapan dengan makhluk sebegitu, entah ke manusia entah ke syaitan, sedangkan aku ini hanyalah seorang tabib sahaja, keluh Tabib Diraja.

“Berlindunglah kepada Allah, kerana Dialah pelindung yang sebenarnya. Tiada yang dapat memberi mudarat jika sudah dalam perlindungan Allah” ujar Hang Tuah menebarkan keyakinan kepada tuhan yang satu.

“Kalau begitu ajari aku Laksamana Melayu”, Bersungguh sungguh rayu Tabib Diraja.

“ Jika itu sudah hajat dihati, Ikutlah hamba membaca kalimah ini wahai tabib budiman, Ashadu Allah ila haillahlah wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah.”

“ Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

“Adapun tuan tabib inilah anak kunci syurga dan anak kunci kepada segala ilmu hulubalang Melayu” ujar Hang Tuah dengan nada gembira.

“ sungguh hatiku bagai disiram air yang dingin jiwaku terasa lapang wahai Laksamana Melayu, aku belum pernah merasai setenang ini-belum pernah” ucap Tabib diraja sambil mengalirkan air mata.

Hang Tuah memegang bahu tabib diraja yang sudah separuh abad itu  lalu memeluknya dengan erat, sungguh Islam ini agama kasih sayang.

“Apa lagi yang harus dibuat selepas ini wahai Laksamana Melayu?” Tanya tabib diraja setelah Hang Tuah melepaskan pelukkannya.

“ Marilah kita menguruskan jenazah anak mu dahulu, wahai tabib diraja” balas Hang Tuah pendek.

Suasana kembali sepi bagai disinggahi malaikat maut......















Isnin, 7 Mac 2016

BAB 12: JELMAAN SYAITAN

BAB 12: JELMAAN SYAITAN


Praang!...Bekas air yang dipegang oleh pembantu tabib diraja terlepas dari tangan dan hancur diatas lantai. Hang Tuah pantas memandang wajah pembantu tabib yang kelihatan sangat pucat, mulutnya ternganga tanpa suara dan gadis itu terundur-undur  ke belakang dalam keadaan menggigil. Pada masa yang sama tabib diraja juga berkelakuan seperti itu  memandang wajah Hang Tuah dengan cemas tanpa suara.

Ketika inilah Hang Tuah terasa ada sambaran angin panas yang menerpa pantas dari belakangnya. Sekilat HangTuah mengelak sedikit kepalanya ke kiri, dari hujung matanya Hang Tuah dapat melihat satu cakaran dengan kuku hitam yang panjang tersasar serangannya, pantas Hang Tuah menangkap pergelangan tangan tersebut lalu membuat pukulan siku kanan ke rusuk penyerang curi tadi, hentakkan yang kuat menyebabkan penyerang curi terpelanting dan terseret ke dinding.

Ketika ini barulah Hang Tuah dapat berhadapan dengan penyerang tersebut, agak mengejutkan juga Laksaman Hang Tuah apabila didapati penyerang tadi seorang perempuan dengan memiliki rambut yang panjang sehingga ke mata lututnya, lebih aneh keseluruhan rambutnya menutupi wajah. Kini perempuan aneh tersebut berdiri tegak berhadapan dengan Laksaman Hang Tuah, sungguhpuh Hang Tuah tidak dapat melihat wajah disebalik rambut yang panjang itu Hang Tuah yakin wanita itu sedang memerhatikannya dengan perasaan marah. 

sumber gambar :google
 sekadar hiasan
Perempuan aneh itu mula merunduk ke bawah, kedua tangannya diletak ke lantai. Sekali lagi Hang Tuah dihambat rasa pelik apabila wanita aneh itu bergerak mundar mandir ke kiri dan ke kanan dalam keadaan merangkak, rambutnya yang panjang mengurai di atas lantai,  lagaknya seperti seekor dubuk yang kelaparan. Lama dia dalam keadaan begitu Hang Tuah hanya memerhatikan sahaja tiba-tiba tanpa  di duga perempuan itu berlari  kencang ke arah Hang Tuah sungguhpun dia bergerak dengan berkaki empat namun pergerakkannya pantas. Perempuan  tersebut melompat melepasi kepala lalu menerkam ke arah Hang Tuah, Hang Tuah meruduk dan berguling ke sisi kanan, terkaman perempuan berambut panjang  itu tersasar namun belum sempat Hang Tuah bangun mengatur nafas, lehernya terasa perit diikat sesuatu ketika ini Hang Tuah baru menyedari lehernya telah terlilit dengan rambut panjang perempuan itu, sepantas itu juga perempuan aneh tersebut menggerakkan kepalanya dan menghempas Hang Tuah ke dinding rumah rawat tersebut, beberapa papan kayu dirumah rawat tersebut kelihatan terkopak, hempasan itu benar-benar kuat. 

Serasa seperti seluruh tulang-temulang Hang Tuah bagai dipatah-patah Hang Tuah berusaha untuk bangun dalam keadan bersusah payah. Dalam keadaan tubuh yang masih tidak seimbang itu Hang Tuah sempat melihat perempuan tersebut melancarkan lagi serangannya, sekali lagi kepalanya digerakkan dan serta merta juga rambut perempuan itu tiba-tiba memanjang menghala ke arah Laksamana Hang Tuah, Laksamana Hang Tuah pantas mengangkat tangan melindungi bahagian lehernya, Hang Tuah tahu sasaran wanita tersebut ialah batang lehernya, ketika ini tangan kiri Hang Tuah terlilit dengan rambut perempuan tersebut sekali lagi perempuan tersebut menyentap dan cuba untuk menghempas hulubalang Melayu itu, namun sekali ini Hang Tuah berjaya membuat balik kuang dan jatuh dalam keadaan berkuda kuda serentak itu Hang Tuah mencabut keluar keris Taming sarinya dan mencantas rambut yang melilit tangannya, rambut perempuan itu putus dan berselerakkan di atas lantai tetapi sesuatu yang aneh kembali terlihat apabila rambut perempuan aneh yang putus  itu bergerak ke arah perempuan tersebut dan kembali bersatu dengan dirinya. Rambut itu seperti hidup dan tahu akan tuannya.

Perempuan aneh itu sudah berhenti menyerang dia kini berdiri tegak dengan rambut yang masih menutupi wajahnya. Laksamana Hang Tuah kembali mengatur nafas sesedut, bersiap siaga- nasihat sang guru satu ketika dahulu tidak pernah dilupainya, dalam dunia kependekaran setiap musuh yang dihadapi jangan pernah dilihat dengan “sebelah mata” kalau tidak kesombongan akan menguasai jiwa lalu segala ilmu firasat akan menjadi tawar.

Tabib dan pembantunya cemas dengan apa yang berlaku dihadapan mata mereka. Mulut mereka bagaikan terkunci mereka tidak pasti makhluk apa yang sedang bertarung dengan Laksamana dari bumi Melayu ini, jembalang dari gunungkah atau manusia yang gila?

Dengan tidak semena-mena sekali lagi perempuan itu berlari kencang ke arah arah Hang Tuah, Hang Tuah sudah kejap memegang Taming Sarinya bersedia membuat tikaman kilat, namun ketika hampir dengan Hang Tuah wanita itu secara tiba-tiba melompat dan menukar haluan lariannya menghala ke arah dinding, perempuan tersebut sekali lagi mengejutkan tabib diraja dan Hang Tuah apabila  boleh merangkak ke arah dinding dan melekat di atas syiling, kaki dan tangannya seperti cicak pada waktu ini.

Dalam keadaan terbalik di atas siling wanita tersebut sekali lagi membuat serangan, rambutnya dilibas, namun kali ini bukan ke arah Hang Tuah tetapi ke arah pembantu tabib diraja. Rambutnya yang panjang melilit leher pembantu tabib diraja dengan kasar perempuan tersebut merentap rambutnya, kini pembantu tabib tergantung dengan leher yang dijerut. Pembantu tabib mengelupur dalam keadaan tergantung kesukaran bernafas menyebabkan wajahnya menjadi pucat dan biru, melihat keadaan yang cemas itu Hang Tuah cuba untuk menyelamatkan pembantu tabib, namun belum sempat Hang Tuah mencantas rambut perempuan aneh yang melilit pembantu tabib diraja perempuan aneh itu lebih awal menghempas pembantu tabib ke arah dinding. Jeritan keras bergema memenuhi ruang rumah rawat tersebut, pembantu tabib jatuh tergeletak  dan memuntahkan darah hidup. Hang Tuah dan Tabib diraja menerpa ke arah pembantu tabib kelihatan gadis itu dalam keadaan sangat nazak, Tabib diraja memangku pembantunya dan ketika itu pembantu tabib telah menghembuskan nafasnya yang terakhir - terdengar tangisan yang cukup menghiba dari Tabib diRaja.  

Situasi yang tidak dijangka itu menyebabkan Hang Tuah terpegun seketika, ketika inilah baru Hang Tuah perasan perempuan berambut panjang tadi sedang berdiri di sisi Hei Long.  Kukunya tiba-tiba menjadi lebih panjang dan tajam. Perempuan itu mendongak ke atas tidak semena-mena tingkap rumah rawat terbuka dengan sendiri angin kencang menerpa wajah wanita tersebut saat ini rambutnya yang panjang mengerbang ke belakang. Hang Tuah dan Tabib diraja dihambat rasa terkejut bukan kepalang wajah wanita itu begitu hodoh dan menakutkan matanya merah bagai biji saga ada taring bagai taring babi dimulutnya.

Saat ini perempuan aneh itu menjerit dengan nyaring dan mahu membenamkan kukunya ke dada Hei Long. Melihat situasi yang cemas dan mendesak itu Hang Tuah yakin dia tidak akan sempat bergerak untuk menyelematkan Hei Long walaupun dengan menggunakan “gerakkan guruh” , benar-benar nyawa Hei Long bagai dihujung tanduk sekarang....

Bersambung.....







Sabtu, 9 Januari 2016

BAB 11: SUSUK BESI

BAB 11: Susuk Besi


Sudah hampir sebulan Hei Long dirawat oleh Tabib DiRaja. Seringkali juga Laksamana Hang Tuah menziarahinya di rumah sakit diraja ini. Lukanya belum benar-benar sembuh.  Kata tabib diraja jika Hei Long  sedar lagaknya seperti orang gila, dia akan meracau dan menjerit-jerit dengan bahasa yang tidak difahami kadangkala hampir satu jam dia berkelakuan begitu, kemudian dia akan pengsan kembali atau kami akan memberikannya herba yang menyebabkan dia tertidur,lebih menakutkan bola matanya akan berubah menjadi merah setiap kali dia meracau dan mengamuk.

Datuk Laksamana Hang Tuah mendengarnya dengan teliti, ada firasat yang tidak baik bermain dibenaknya. “ Tuan tabib jika tuan tabib tidak keberatan bolehkah hamba memberi sedikit pertolongan dalam hal ini” Hang Tuah menawarkan dirinya untuk membantu tabib diraja.  “ Oh! Ini sangat bagus.” tabib diraja membalas permintaan Hang Tuah dengan senyuman lebar.

Hang Tuah berdiri di sisi Hei Long direnungnya wajah Hei Long 

Hang Tuah meletakkan tanganya di ubun-ubun Hei Long, seketika Hang Tuah memejamkan mata berzikir dengan Asma ul Allah agar dibukakan pintu penyelesaian, seketika terukir senyuman dibibir Hang Tuah, serentak itu juga ucapan hamdallah berlagur dibibirnya. Setelah mendapat ilham dari langit Hang Tuah mula meminta sebekas air dari tabib diraja. Tabib diraja pantas mengarahkan pembantunya membawa sebekas air sebagaimana yang dikehendaki oleh Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah membaca beberapa ayat pembatal sihir dan pemusnah azimat lalu ditiupkan ke atas air di dalam bekas tersebut dengan tertib Hang Tuah meletakkan bekas yang berisi air itu di atas meja kayu disisi Hei Long, tabib diraja dan pembantunya hanya memerhati tanpa bertanya.

Hang Tuah mula  menggosok tapak tangannya dengan kuat sehingga  terasa agak panas. Kemudian Hang Tuah mendekatkan kedua tapak tangannya ke mulutnya lalu membaca ayat suci al Quran 

"Laatudrikuhul absorwahuwa yudrikul absor wahuwal latifulhobir." [1]

Hang Tuah membacanya sebanyak tujuh kali lalu ditiupkan ke tapak tangannya.

Kemudian Hang Tuah meletakkan tanganya hampir dengan kulit Hei Long kira-kiranya setengah inci dari kulit Hei Long lalu menggerakkan tangannya bermula dari kepala turun hingga ke bahagian dada. Perbuatan Hang Tuah diperhatikan dengan bersungguh-sungguh oleh tabib diraja dan pembantunya, ketika tapak tangan Hang Tuah berada di dada Hei Long sesuatu yang aneh telah berlaku, kelihatan ada tiga benjolan kecil timbul dipermukaan kulit Hei Long, apabila Hang Tuah menggerakkan tangannya ke atas benjolan itu, benjolan itu  bergerak menjauhi telapak tangan Hang Tuah gerakkannya seperti ombak di laut timbul dan kemudian menghilang dibawah kulit Hei Long, apa yang Hang Tuah lakukan ialah menjadikan tapak tangannya seperti alat pengimbas cuba untuk mengenalpasti apa yang berada di dalam tubuh Naga Hitam ini. 

"Benda apakah itu Laksamana Melayu?" soal tabib diraja dalam nada cemas keringat jantan mula membasahi dahinya belum pernah lagi ditemui penyakit sebegini pelik seperti ada sesuatu yang hidup di daalm tubuh Laksamana Hei Long ini. 

Hang Tuah tidak menjawab soalan tabib diraja sebaliknya  meneruskan  perubatannya, kali ini Laksamana Hang Tuah membaca ayat Qursi wakaf 9. Lalu dibuat seperti garis lurus dari hujung bahu kanan mengarah ke hujung bahu kiri Hei Long. Kali Ini Laksamana Hang Tuah membaca ayat-ayat pembakar bermula dari hujung kaki Hei Long mengarah ke atas. Tiga bonjolan kecil timbul kembali di bawah permukaan kulit Hei Long bergerak pantas mengarah ke bahagian atas tubuh Hei Long namun sampai sahaja di bahagian dada bonjolan itu berhenti bergerak. Bonjolan itu hanya bergerak ke sana kemari  di bahagian dada sahaja. Bonjolan itu tidak mampu bergerak ke bahagian leher dan kepala Hei Long, Hang Tuah telah mengunci tiga bonjolan itu  dada Hei Long dengan bacaan ayat Qursi wakaf 9 yang dibaca sebelum itu. Tiga bonjolan tersebut tidak mampu bergerak ke mana-mana lagi. Ketika inilah Hang Tuah mula membaca. Surah al Fatihah, Selawat Tarfijiyyah dan sepotong ayat dari surah al-Qasas yang dibaca dan diulangi sebanyak 7 kali.

Sambil meletakkan tangannya di bahagian luka Hei Leong yang masih belum sembuh Hang Tuah mengulangi bacaan tersebut sekali lagi, kali ini tiga bonjolan itu bergerak pantas menghala ke bahagian luka Hei Long seperti ditarik oleh besi berani, sambil menyedut nafas sesedut Hang Tuah dengan pantas menarik telapak tangannya ke atas ketika inilah 3 bonjolan tadi terhambur keluar dari badan Hei Long. Apa yang terkeluar dari tubuh Hei Long ialah tiga butir besi waja yang berwarna hitam malah ianya juga mengeluarkan bau yang busuk.

Sepantas itu juga Hang Tuah mengutip tiga butir besi waja itu dan dimasukkan ke dalam bekas yang telah dijampinya sebelum ini, kelihatan air didalam bekas tersebut menggelegak sambil mengeluarkan asap berwarna hitam, beberapa minit kemudian bekas berisi air tersebut kembali seperti sediakala. Hang Tuah pantas mengucapkan Alhamdulillah seraya mengukir senyuman.

Tabib diraja tercengang dengan apa yang dilihat, pantas bertanya "apa yang telah berlaku sebenarnya." Hang Tuah dengan tenang memberitahu tabib diraja, " Jika dialam Melayu ilmu ini kami panggil sebagai susuk, dan Hei Long menggunakan susuk besi yang menjadikannya kebal atau tidak lut dari semua jenis senjata yang diperbuat daripada besi namun ilmu ini sebenarnya disertai dengan ilmu sihir."

gambar dari sumber google
"Sihir?" tanya tabib diraja dengan hairan. "Ya, atau dikenali juga sebagai ilmu hitam" jawab Hang Tuah dengan tenang. "Ilmu hitam, ilmu yang sangat bahaya boleh memusnahkan diri sendiri", gumam tabib diraja dengan cemas. Itulah yang diketahuinya satu ketika dahulu daripada gurunya, namun sayang dia tidak sempat untuk mempelajari ilmu bagaimana untuk mengubati penyakit tersebut apabila gurunya tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan u malah ada yang mengatakan gurunya telah diculik dan dibunuh.

" Bagaimana Laksamana Melayu dapat mengeluarkan besi-besi itu.?" Soal tabib dengan rasa takjub. 

"Wahai tabib diraja yang budiman, adapun hamba hanya berikhtiar sahaja Allah lah jua yang mengizinkan dan menyembuhkan segala penyakit. Hamba cuma berikhtiar dengan menggunakan ilmu yang pernah di ajar oleh Guru hamba di Gunung Ledang satu ketika dahulu.

"Allah...Allah" Tuan tabib mengulangi kalimah tersebut dengan bunyi yang masih tebal pelat cinanya. Aku seperti pernah mendengar perkataan ini dari mulut guruku satu waktu dahulu.

"Ya, Allah... tuhan yang menciptakan hamba dan tuan tabib serta seluruh alam ini, Tuhan yang sebenarnya yang wajib disembah." Jelas Hang Tuah agar tabib diraja memahami hakikat sebenarya, Hanya Allah lah yang memberi hidayah dia hanya menyampaikan sahaja apa yang pernah disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad saw.

Praang!...Bekas air yang dipegang oleh pembantu tabib diraja terlepas dari tangan dan hancur diatas lantai. Hang Tuah pantas memandang wajah pembantu tabib yang kelihatan sangat pucat, mulutnya ternganga tanpa suara dan gadis itu terundur-undur  ke belakang dalam keadaan menggigil. Pada masa yang sama tabib diraja juga berkelakuan seperti itu  memandang wajah Hang Tuah dengan cemas tanpa suara.

ketika inilah Hang Tuah terasa ada sambaran angin panas yang menerpa pantas dari belakangnya.....


(bersambung)


Sabtu, 2 Januari 2016

Kota Larangan 10 : Jantung Dalam Gengaman


    BAB 10 : Jantung Dalam Gengaman


“Kau harus kembali kepadaku Hei Long, perjanjian darah ini telah lama berlaku.”

"Tidak! Aku tidak mahu lagi memenuhi permintaan mu. Jiwaku tidak akan tenteram dengan apa yang aku lakukan. Pembunuhan tempoh hari masih lagi menghantui fikiranku." Hei Long meningkah dengan keras desakkan itu.

"Ha ha ha...Bodoh! Apakah kau sudah melupai kekuatan yang kau miliki Hei Long. Kekuatan itu adalah kurnianku. Kau akan aku jadikan yang terhebat di antara yang hebat," Makhluk berjubah hitam masih tegar memujuk Hei Long.

“Tidak! Aku tidak mahu lagi, aku ingin menjadi diriku yang sebenarnya." Hei Long bernada merayu.

"Kau akan sengsara Hei Long",Sepantas itu makhluk berjubah hitam menusuk kukunya yang panjang ke dada Hei Long lalu merentap jantungnya. Kelihtaan jantung Hei Long masih berdegup kencang dalam genggaman makhluk berjubah tersebut.

"Arrgggghhh!"..


Hei Long terjaga matanya membesar nafasnya tercungap-cungap. Sebentar tadi dia kembali tewas dan telah mati dictangan makhluk berjubah hitam. Matanya kini liar memandang kawasan sekitar otaknya terbejat, ketika dia hendak bangun pembantu tabib menghalangnya, ketika ini Hei Long bertindak agresif meronta-ronta dan telah mencederakan pembantu tabib. Akhirnya mereka terpaksa beramai-ramai memegangnya dan mengikatnya. Mahu tidak mahu tabib terpaksa menggunakan sejenis herba yang boleh menyebabkan pesakit tertidur.



gambar sekadar hiasan