Rabu, 13 April 2016


SUMBER Google.

BAB 14: PERTEMUAN RAHSIA I

Sudah hampir tiga bulan, Hei Long sudah semakin pulih dari sakitnya. Maharaja telah menitah agar Laksamana Hei Long datang ke Istana Besar, ada tugas penting yang perlu dilaksanakan.

Mesyuarat kali ini hanya dihadiri oleh kalangan menteri-menteri yang terpercaya sahaja. Maharaja sendiri tahu ada dikalangan para menterinya yang mempunyai perasaan tidak puas hati dan berhasad dengki antara satu sama lain. Namun apa yang menariknya Maharaja Kerajaan Ming telah menjemput Datuk Bendahara Tun Perak sebagai salah seorang ahli mesyuaratnya kali ini. Ini menunjukkan Maharaja Kerajaan Ming telah menaruh kepercayaan yang bulat terhadap Kerajaan Melaka, serta mengiktiraf Kerajaan Melaka sebagai salah satu Kerajaan yang mempunyai kepentingan bersama dalam hal ehwal politik dan ekonomi.

“Pagi yang indah ini Beta menjemput kalian semua kerana ingin berbincang perkara besar yang melibatkan sebuah negara. Chosun merupakan sebuah negeri yang pernah menjadi tanah jajahan Ming satu waktu dahulu, namun beta telah mengisytiharkan kemerdekaan kepadanya. Walaupun begitu Chosun masih mahu bernaung di bawah Kerajaan Ming. Hari ini Chosun kembali dilanda ancaman, pemberontak semakin hari semakin kuat membuat ancaman kepada Raja Chosun. Malah sudah ada ugutan untuk membunuh seluruh ahli keluarga Raja dan menggulingkan kerajaan.” Jelas Maharaja mengapa mesyuarat ini dibuat.

“Kerana ingin membalas budi baik beta maka Raja Chosun ingin menggawini puterinya dengan Beta. Beta tahu ini bukanlah perkara yang menggembirakan semua pihak, namun apabila melibatkan negara ianya menjadi kepentingan semua. Raja Chosun telah menghantar rombongan puterinya ke negeri China ini secara rahsia, ini bagi mengelakkan rancangan ini diketahui oleh pihak musuh yang pasti akan cuba untuk menggagalkan rancangan ini, tetapi sayang, nampaknya sudah ada musuh di dalam selimut dalam negara ini. Hasil risikkan rahsia dari “burung layang-layang hitam” di dapati pihak musuh telah mengetahui rancangan ini.” Ujar Maharaja Ming sambil merenung setiap wajah di dalam dewan itu.

“Beta telah mengarahkan Xeu Lang bagi melihat dan membuat risikan bagi masalah ini. Namun apa yang beta dengar, Angkatan Perang Pemanah Biru di bawah Xeu Lang telah mengalami kegagalan. Serang hendap yang dilancarkan oleh pihak musuh menyebabkan mereka berundur dan hampir kalah, kini berita tentang mereka juga lenyap bagai angin lalu. Ini satu yang pelik dan mencurigakan. Xeu Lang antara hulubalang Ming yang terhebat. Mustahil semudah itu dikalahkan!”

“Apakah pemberontak juga mempunyai pahlawan yang sangat hebat?” soal Maharaja Ming dalam nada yang resah.


Bersambung......

1 ulasan: