Ahad, 30 Ogos 2015

Kota Larangan 5 - Naga Hitam ( Hei Long)




Ha! Ha! Ha! ketawa terbahak-bahak Laksamana Hei Long belum kedengaran mahu berhenti sengaja dia berbuat demikian untuk menyakiti hati Laksamana Hang Tuah, permainan psikologi begini juga salah satu senjata. Jika amarah menguasai minda maka kekalahan akan diperolehi dengan mudah.

Hang Tuah meletak lutut kanannya di tanah Sundangnya dipacak ke tanah, mulutnya membaca sesuatu menyerah diri kepada Allah yang satu.

Hang Tuah mula membaca serangkap doa dan sepotong ayat dari Kitabullah

"Dikumpul segala besi lalu dilembutkan dengan Nur Muhammad saw, Dengan Kebenaran"

" Wa laqad a taina daawuda minna fadlan yajibaalu awwibiy ma a’hu wathaira  wa a  lanna lahul hadida. (As-Saba 10)

maksudnya:

"Dan Demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): "Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama Dengan Nabi Daud, dan Wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!" dan juga telah melembutkan besi baginya;
(As-saba 10)

Hang Tuah mengusap pangkal hidungnya,di lurut dari atas ke bawah sebanyak tiga kali,

Kelakuan itu hanya diperhatikan oleh Hei Long dengan penuh kehairanan. "Wahai anakanda Kasturi apa yang diperlakukan oleh Abang mu Tuah itu.?" Tanya Dato Bendahara kepada Hang Kasturi.

"Tiada apa-apa Ayahanda." Jawab Hang Kasturi pendek, jujurnya dia tidak mahu membuka rahsia dunia persilatan mereka.

"Janganlah begitu, Wahai Anakanda Kasturi, apakah Anakanda juga mencurigai Ayahanda?, terangkanlah kepada Ayahanda, sesungguhnya ilmu Allah ini luas dan tiada semuanya yang Ayahanda ketahui melainkan sedikit sahaja," Bicara Dato Bendahara dengan rendah diri.

Hang Kasturi terpukul dengan kata-kata itu, dia tahu Dato Bendahara adalah antara orang Istana yang sangat dipercayai, tuanya di dalam umur menjadikan pengalamannya ibarat lautan. Tetapi begitulah Ayahanda Bendahara merendah diri menjadi pakaian dirinya walaupun dia merupakan orang yang paling hampir dengan Sultan Melaka.

" Mohon maaf Ayahanda Bendahara jika kata-kata anakanda menyinggung perasaan Ayahanda. Ayahanda telah hamba anggap seperti ayah sendiri." pujuk Hang Kasturi sambil menunduk kepala di hadapan Dato Bendahara.

" Ayahanda, adapun apa yang abang Tuah lakukan itu adalah petua yang pernah diajar kepada kami ketika sama-sama menuntut ilmu hulubalang. Sebenarnya apa yang Abang Tuah lakukan itu ialah mengambil minyak yang berada dipangkal hidung, biasanya bila dalam cuaca panas dan berpeluh, hidung akan mengeluarkan sedikit minyak. Minyak ini abang Tuah akan lurutkan pada senjata sundangnya dengan membaca beberapa ayat. Inilah petua yang pernah diajar oleh Pendeta kepada kami ketika menuntut ilmu hulubalang di Gunung Ledang. Ilmu ini merupakan petua untuk membuka kekuatan pengamal ilmu kebal." panjang lebar Hang Kasturi menerangkan rahsia hulubalang kepada Dato Bendahara.

"Begitu kira-kiranya, sungguh Alam Melayu kaya dengan ilmu dunia dan akhirat." balas Dato Bendahara.

Hang Tuah bingkas bangun dari "duduk anak harimaunya" naluri sufinya dipacu deras. Dia semakin pasti kelemahan Pahlawan Naga ini.

Hang Tuah mula mengorak langkah kali ini keputusan yang dibuat ialah cuba menamatkan pertarungan ini dengan secepat yang mungkin . Hang Tuah mula melibas dan menetak Hei Long, kali ini tetakan Hang Tuah lebih pantas dan keras. Hei Long menyanggah dengan segala kekuatan. Kepantasan Hang Tuah sesekali menggoyahkan kuda-kudanya. Hang Tuah terus membuat serangan, apabila dilihat Hei Long hilang tumpuan ketika inilah Hang Tuah memadukan 'Ilmu Gerakkan Guruh' dan 'Selayang Pandang'. Hei long terkejut bukan kepalang sundang Hang Tuah buat kali keduanya melintasi dada dan kakinya.

"Arrrgggghh!" Hei Long menjerit kuat, dia terundur beberapa tapak ke belakang dalam keadaan terhenjut-henjut, kakinya cedera. Hei Long menekup dadanya, kelihatan darah merah mengalir di celah jari-jarinya, dengan wajah yang masih terkejut dia memandang Hang Tuah

" Belum pernah ada seorang parajurit mahupun hulubalang yang boleh melukai aku. Aku pernah bertarung dengan ramai hulubalang dari banyak negara, namun hari ini kau Laksamana Melayu berjaya melukai aku." kata Hei Long dalam nada yang masih terkejut.

Hang Tuah telah berhenti menyerang sejak mula lagi Hang Tuah tidak berniat untuk membunuh Pahlawan Naga itu, serangan sebentar tadi pun hanya melukakan sahaja, kerana itu Hang Tuah tidak menggunakan Keris Tamingsari kerana jika dengan keris Taming Sari bisa keris tersebut sahaja boleh membawa maut jika lambat ditawarkan.

Cheng Di, Canselor Maharaja terkejut bukan kepalang, sida-sida membungkam seribu bahasa, Maharaja berkedut dahinya. Tidak di sangka Melaka mempunyai Laksamana yang terbilang. Namun Maharaja masih menaruh harapan kemenangan pada ayam tambatannya. Maharaja tahu Hei Long bukan semudah itu akan menyerah kalah.

Hei Long mengangkat tangannya, di seru akan pedangnya

"Hei Pedang yang ditempa oleh sepasang tukang sihir,
pedang yang roh roh mendiami di dalamnya,
Mari datang!
Mari kemari ke tangan ku"

Pedang yang tertancap di tanah tiba-tiba bergerak dan tercabut lalu terbang ke gengaman Hei long.

"Nampaknya Hei Long masih belum mahu menyerah kalah", gumam Dato Bendahara. Hang Kasturi yang mendengar hanya mengangguk perlahan.

" Wahai Laksamana Melaka, ternyata aku silap dalam menafsirkan dirimu, namun kali ini belum tentu kau akan selamat, ini serangan terakhir yang akan aku lancarkan."

Hei Long mengangkat pedangnya dengan kedua belah tangannya. Mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu. Cuaca yang tadi cerah bertukar mendung. Awan hitam mula berarak menutupi lapangan tempur itu. Sesekali guruh dan kilat sabung menyabung tetapi tidak menunjukkan tanda hujan akan turun. Suasana terasa seram kepada siapa sahaja yang berada di situ.

Tiba-Tiba ada asap hitam keluar dari bilah pedang Hei Long semakin lama semakin banyak, asap itu berputar-putar mengelilingi pedang tersebut kemudian asap hitam itu juga perlahan lahan mengelilingi tubuh Hei long semakin lama semakin tebal kini tubuh Hei Long sudah tidak kelihatan yang ada hanya asap hitam yang tebal berpusing-pusing seperti taufan. Waktu ini terasa tanah mula bergegar, masing-masing menjadi cemas baik rombongan dari Melaka mahupun sida-sida di Raja. Hang Tuah dari tadi memerhati kepulan asap hitam itu, ketika inilah Laksamana Hang Tuah dapat melihat dengan jelas ada sepasang mata berwarna merah yang sedang merenungnya dicelah-celap asap hitam yang mengapung itu.

bersambung.....

4 ulasan:

  1. Bila nk kluar next episode...
    Da x sabar nk baca ni...

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. InsyaAllah Tuan Muhammad Hakimi sedikit masa lagi

    BalasPadam