Rabu, 2 Disember 2015

Kota Larangan 9: Kuil Lama

BAB 9 : KUIL LAMA


Habis berkata kata separa berbisik Sami Sampoo menunjukkan ke satu arah di sudut kuil tersebut dengan tangan yang terketar ketar. Seketika itu juga tangannya jatuh terkulai. Nyawanya telah diragut Malaikat maut.

Kwon Lun meraung kuat tidak disangka gurunya mati dalam keadaan mengejut begitu. Ketika esakkannya semakin perlahan dia kembali melihat ke arah sudut di dalam kuil yang ditunjukki oleh mendiang gurunya suasana suram yang hanya di terangi dengan cahaya lilin di dalam kuil itu menyukarkan matanya untuk melihat, apa sebenarnya yang berada di sana? Lama dia merenung ke arah itu, tiba-tiba matanya membulat mulutnya terlopong jantungnya seperti telah berhenti dari berdenyut, dia benar-benar terkejut dengan apa yang dilihatnya sekarang dari sudut yang gelap itu muncul mahkluk yang berjubah hitam bergerak perlahan ke arahnya, 


Kwon Lun mengesut kebelakang dengan keadaan cemas, kakinya menjadi kaku tidak mampu untuk berdiri, ketakutan benar-benar menghambat jiwanya, suaranya seperti tercekik di kerongkong. Makhluk berjubah hitam itu begerak perlahan ke arah Kwan Lun dalam keadaan terapung sejengkal dari lantai, dalam keadaan yang menakutkan itu sekali lagi Kwan Lun di kejutkan sesuatu, pada bayang gelap itu kini muncul seorang wanita yang berambut panjang, rambutnya meleret hingga ke lantai lebih aneh lagi dia tidak berjalan dengan dua kakinya. Dia bergerak dengan cara merangkak seperti seekor serigala. Walaupun bergerak dengan ‘berkaki empat’ namun pergerakkannya pantas. Perempuan itu bergerak mengekori Makhluk berjubah hitam itu.

Ketika ini ada sepasang mata yang sedang mengitai dicelah-celah tingkap di luar kuil kuno itu. Keringat ketakutan membasahi tubuhnya, jika diikutkan hati mahu sahaja dia menjerit dan berlari namun dia tidak sampai hati melihat Kwan Lun keseorangan menghadapi situasi bahaya itu.

Makhluk berjubah hitam kini berdiri lima langkah dari Kwan Lun. Walaupun Kwan Lun tidak dapat melihat dengan jelas wajah mahkluk tersebut kerana ditutup hud baju labuhnya Kwan Lun yakin makhluk itu sedang merenungnya, dengan tidak semena-mena makhluk berjubah hitam itu mengangkat tangannya seperti mencekik sesuatu lalu ditarik tangannya dengan kuat seperti menarik sesuatu ketika inilah sepasang mata yang sedang mengintai di luar kuil kuno itu terhumban  ke dalam bilik tersebut melalui tingkap,terseret dihujung kaki Kwan Lun, Hongyu! jerit Kwan Lun hatinya kini lebih cemas, nyawa adik perempuannya kini dalam bahaya. Fikiran Kwan Lun yang tadinya seperti terbejat kini sudah mampu berfikir, dia lebih bimbang keselamatan adik kembarnya daripada nyawanya sendiri.

Makhluk berjubah itu mula tertawa. Tawanya yang perlahan semakin lama semakin kuat. “Tidak ku sangka seorang abdi yang aku harapkan kini aku beroleh dua.”

“Siapa kamu? Apa mahu mu, lepaskanlah adikku.” Rayu Kwan Lun kepada Makhluk berjubah hitam itu.

“Akulah Ermo Penguasa Dunia Kegelapan.”

“Kau tahu mengapa guru kau mati dalam keadaan begini, Jerit Ermo kepada Kwon Lun.

“Tidak tahu, aku tidak tahu. Guru ku tidak pernah mempunyai musuh sebelum ini. Jawab Kwan Lun dalam nada yang terketar-ketar.

“Ha! Ha! Ha! Ya, guru mu memang orang baik-baik, ketika mengucapkan kata kata manis ini Ermo mempamerkan senyuman yang terselit satu yang bersifat jahat.

“Aku ingin kembali jiwa yang mengikat janji dengan ku!” Jerit Ermo dengan nada yang marah, disebalik hud yang menutup wajahnya bersinar api dari sepasang matanya.

“Jiwa,? Jiwa.. apa maksud mu.? Apa kena mengenanya aku dalam hal ini dan mengapa guru ku juga terlibat dalam hal ini.” Jawab Kwan Lun dalam keadaan takut bercampur keliru.

Beribu persoalan bersimpang siur di benaknya kini.

“Dasar manusia jahanam! Apakah kau mahu lihat aku robek jantung adikku mu.” Ermo mula mengugut Kwan Lun.

Jangan! Jangan. Katakanlah apa yang perlu aku lakukan tapi lepaskanlah adik ku.

Ha ha ha...baiklah ha ha ha...

Ketawanya Ermo penuh dengan muslihat dan dendam.

"Aku mahu kembali jiwa Hei Long, abdi ku yang sangat berbakat dan kematian seorang Melayu, itu sahaja tugas yang perlu kau lakukan."

"Errr... aku hanyalah budak suruhan aku hanya berkhidmat pada guruku aku tidak pandai berlawan guru ku Sami Sam Poo tidak pernah mengajar ku sebarang seni kungfu". ujar Kwan Lun.

"Tidak mengapa, sudah aku katakan aku Ermo penguasa terhebat dunia kegelapan akan aku kuniakan kesaktian yang tidak pernah kau bayangkan."

Sungguh kesombongan Ermo diwarisi dari Iblis laknatullah. Peperangan yang berlaku dilangit tidak akan selesai sehingga sangkakala ditiupkan.

Sepantas kilat Ermo mencekik leher Kwan Lun lalu mengangkatnya. Kwan Lun mengelupur kerana sukar bernafas kakinya menedang-nendang angin tangannya cuba untuk menangkis cekikkan Ermo namun kudratnya semakin terhakis.

 Ketika nyawa-nyawa ikan itulah Ermo membenamkan kukunya yang panjang ke jantung Kwan Lun dan merentapnya keluar, darah menyembur di lantai kayu kuil lama itu, mata Kwan Lun terbeliak akibat kesakitan yang di rasainya ketika ini juga makhluk wanita berambut panjang itu datang lalu menggigit ibu jari Kwan Lun dan menyedut darah yang masih berbaki dalam tubuh Kwan Lun, urat-urat biru mula timbul  dengan banyak di kaki Kwan Lun keasyikannya makhluk berambut panjang itu menyedut darah Kwan Lun bagai mahu menghilangkan dahaganya ribuan tahun yang lalu.

Jasad Kwan Lun yang longlai dilepaskan ke lantai, Kwan Lon terlentang dengan mata yang masih terbeliak.

Ketawa Ermo kini bergema-gema menguasai kuil lama itu semakin lama semakin kuat. Bukan sukar untuk mengalahkan manusia jika mereka dalam keadaan terdesak dan serba salah. Pasti akan ada yang sanggup menggadaikan apa sahaja untuk terus bernyawa.

Sebelum matahari menyinari kembali banjaran itu, kelihatan jasad Kwan Lun bergerak-gerak...

Bersambung....


Gambar sekadar hiasan

Khamis, 1 Oktober 2015

Kota Larangan 8- Persahabatan Dengan Hei Long

Ketika inilah Hang Tuah perasan ada sekujur tubuh yang terlentang di Lapangan Tempur tersebut. “ Hei Long” bisik Hang Tuah perlahan. Tiba-tiba terdengar bunyi gendang di palu dengan kuat. Hang Tuah mendongak ke astaka Maharaja. Dengan dahi yang berkerut seribu Hang Tuah berlari kencang ke arah astaka Maharaja. Cheng Di, canselor Maharaja cemas...

Bersambung....

Datuk Bendahara yang melihat Laksamana Hang Tuah berlari kencang ke astaka Maharaja juga cemas, takut benar Datuk Bendahara kalau-kalau Laksamana Hang Tuah mengamuk di atas astaka Maharaja, Hei Long yang mempunyai hikmat yang pelik itupun alah di tangan Hang Tuah apa sangat pengawal-pengawal di Raja yang ada di atas sana.

Masih segar diingatan Datuk Bendahara apabila Hang Tuah mengamuk di keranton Majapahit, ramai perajurit yang terbunuh malah perajurit-perajurit tua juga tidak dapat berbuat apa-apa. Marah benar Hang Tuah ketika itu, apabila Sultan Melaka dan Melayu dipersendakan.

Ketika Hang Tuah seperti mabuk darah mengamuk di dewan Istana Majapahit. Tiba-tiba melayang sehelai kain sutera lalu memlilit tangan Hang Tuah yang sedang memegang keris yang berlumuran darah. Kejadian yang tidak disangka itu benar-benar membuat Hang Tuah marah.

“Cis! Masih ada yang mahu menunjukkan kesaktiannya di sini.” Seretak dengan itu Hang Tuah membuat pusingan lawan arah jam pada pergelangan tangannya lalu mata keris tadi memotong kain yang memlilit tangannya. Sejurus itu juga Hang Tuah melompat ke arah orang yang  membuat serangan curi itu. Terkejut dengan kepantasan gerakkan Hang Tuah si penyerang curi terundur ke belakang lalu tersepak anak tangga di dewan tersebut lalu jatuh terlentang, ketika inilah Hang Tuah cuba membenamkan mata kerisnya. Namun lagi seinchi mata keris mencecah kulit penyerang curi tadi Hang Tuah berhenti meneruskan tikamannya. Matanya masih terpaku di atas anak mata penyerang, nafas cemas dari penyerang masih terhidu wangi di deria hidungnya.

“ Apakah pantas seorang Laksamana Agung membunuh seorang perempuan yang lemah, apakah Melayu sudah hilang malunya.?” Hang Tuah masih membisu. Walaupun kata-kata itu menusuk di kalbu namun bukan kesakitan yang di rasai tetapi gementar jiwanya yang membunga indah.

“Apakah Laksamana pantas dipanggil dayus kerana menyakiti seorang perempuan.” Kali ini Hang Tuah sudah menyarung kerisnya kembali ke sisi pinggang. Hang Tuah berdiri tegak. Matanya masih tidak lepas memandang perempuan di hadapannya. Siap siaganya tidak pernah alpa, bimbang-bimbang jika serangan curi menyusul kali kedua. Akal yang waras sudah kembali menyarung jasadnya. Perempuan di hadapannya sudah  bangun dalam keadaan bersusah payah.

“ Kalau tidak kerana pakaianku ini, aku sudah pasti dapat mengelak serangan mu, wahai Laksamana Melaka.” Bicara Perempuan itu dengan nada sombong,

Hang Tuah hanya mengukir senyuman.

“Adinda! Adinda! Bagaimana dengan Adinda.? Adakah Adinda tercedera.?”  Tanya Seri Betara, Raja bagi Kerajaan Majapahit. Seri Betara Majapahit begitu cemas ketika mendengar ada orang mengamuk di Dewan Besar Istana, sebentar tadi seorang pengawal istana berlari dalam keadaan berlumuran darah merafak sembah padanya di Balairung ketika Baginda sedang bermesyuarat dengan Datuk Bendahara dan Patih Gajah Mada.

Lebih mengejutkan lagi ketika Baginda sampai di depan pintu Dewan Besar Istana baginda melihat Hang Tuah sedang meletakkan keris di dada Adindanya. Baginda sendiri tidak pasti mengapa Adindanya berada di sini.

Mendengar sahaja Seri Bentara memanggil perempuan yang menyerangnya tadi Adinda, Hang Tuah tunduk membisu. Rasa bersalah merayap ke dalam hatinya.

“ Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Adapun tiadalah hamba yang hina ini tahu akan perempuan ini adalah Adinda Tuanku. Kalau tidak, takan hamba biadab begini”. Hang Tuah mengangkat sembah menyatakan kekhilafan diri.

“Tidak mengapalah Datuk Laksamana Hang Tuah, mujurnya Adinda Beta tiada cedera”, balas Seri Betara.

Ketika ini segala menteri-menteri Kerajaan Majapahit termasuk Patih Gajah Mada sudah tiba di Dewan Besar ini, Datuk Bendahara juga sudah tiba, terkejut juga bila melihat ramai parajurit Majapahit yang cedera malah ada yang sudah menjadi mayat,  bau darah mengapung memenuhi ruang Dewan Besar Istana. Tahulah Datuk Bendahara, Laksamana Hang Tuah baru sahaja mengamuk di dewan ini.

“ Kebumikanlah mayat ini, jangan dipanjang hal ini lagi. Mungkin ada salah faham yang tidak diketahui. Adinda Beta kembalilah ke Istana Adinda jangan di campuri urusan kerajaan kanda”. Ujar Seri Betara Majapahit.

Ketika Adinda Betara Majapahit berjalan melepasi Datuk Laksamana Hang Tuah. Tiba-tiba dia berhenti di sisi Hang Tuah. Tanpa menoleh ke arah Hang Tuah adinda Betara Majapahit bersuara separuh berbisik.
Gambar sekadar hiasan

“ Marah tidak baik untuk jiwa mu, Wahai Laksamana Melaka.”

Hang Tuah diam sambil menunduk, pandangannya di buang ke lantai. Suara Adinda Majapahit gemersik indah bagaikan Buluh perindu di cuping telinganya. Kata-kata nasihat itu ibarat air atma jiwa buat dirinya.

Sambil menjeling kepada Hang Tuah dan melemparkan senyuman yang paling manis serangkap pantun di alunkan perlahan sekadar didengari di cuping telinga Hang Tuah.

“ Kain cindai dilipat-lipat
Lipat mari tepi perigi
Kalau pandai Tuan memikat
Burung terbang menyerah diri.”

Terpana seketika Hang Tuah dengan kata-kata itu, kelu seribu bahasa, apakah Adinda Seri Betara Majapahit boleh membaca isi hatinya kala ini. Dalam keadaan masih berdiri yang membatu itu, lamunan Hang Tuah tiba-tiba berkecai apabila terasa lembut bahunya disentuh oleh seseorang. Hang Tuah lekas berkalih dilihatnya Datuk Bendahara sedang merenungnya.

 “ Apakah peristiwa berdarah ini telah membenih rasa cinta di hati mu wahai Anakanda Tuah? Sungguh aneh cinta ini ianya boleh hadir dalam suka dan duka dalam pertaruhan nyawa dan darah. Gumam Datuk Bendahara sambil melangkah pergi meninggalkan Hang Tuah yang masih tegak berdiri di situ. 

Tiba-tiba Datuk Bendahara berhenti melangkah berkalih memandang Hang Tuah yang masih tegak berdiri di situ.

“Gusti Putri Raden Anjeng Retno Dumilah, Itulah namanya Adinda Seri Betara Majapahit yang menyerang mu tadi wahai Anakanda Tuah”. Ujar Datuk Bendahara serentak menyambung langkahnya meninggalkan Dewan Besar Istana.

“Gusti Putri Raden Retno Dumilah” bisik perlahan Hang Tuah mengulangi nama itu. Kejelitaan mu bagai Bidadari dunia.

Astaka Maharaja di Lapangan Tempur

Tiba di tangga Astaka Mahajara Hang Tuah mengangkat sembah sebagaimana mengadap Sultan Melaka serentak itu juga di meletakkan lutut kanannya ke tanah manakala lutut kirinya ditegakkan persis duduk ‘anak harimau’ kepalanya ditundukkan.

Cheng Di yang tadi baru sahaja mengarah pengawal untuk melindungi Maharaja terkejut dengan perlakuan Hang Tuah, Maharaja bangun dari tahtanya berjalan perlahan menghampiri Laksamana Hang Tuah, sambil mengangkat tangannya sebagai tanda isyarat berhenti kepada para pengawal di Raja yang cuba menyerang Hang Tuah ketika itu.

“ Angkatlah wajah mu dan berdirilah wahai Laksamana Melaka.” Arah Maharaja kepada Hang Tuah.

“Katakanlah apa yang ingin kau katakan”, Kata Maharaja lagi.

“ Ampun Tuanku Maharaja yang bijaksana, adapun patik mempunyai satu permintaan. Patik bermohon agar janganlah dibunuh Laksamaan Hei long ini.” Pinta Hang Tuah kepada Maharaja.

“Mengapa begitu Laksamana Melaka, bukankah Laksamana Hei Long begitu bersunguh-sungguh ingin membunuh mu? Ini permintaan yang sungguh luar biasa. Tahukah kamu wahai Laksamana Melaka. Hamba ku Hei long ini sangat pembengis dan kejam orangnya, telah ramai manusia yang hilang nyawa di hujung Pedang Puakanya itu. Kekejamnya bukan hanya kepada tentera malah kanak-kanak dan wanita juga tidak terkecuali menjadi mangsanya”. Balas Maharaja kepada Hang Tuah dengan rasa sangat hairan atas permintaan Laksamana Agung ini.

“ Adapun Tuanku, patik telah menganggap Laksamana Hei Long seperti sahabat hamba jua Tuanku”, kata Hang Tuah kepada Maharaja

“Bagaimana boleh jadi begitu? ceritakanlah kepada Beta agar Beta boleh mendengarnya”

“ Pertamanya inilah lawan yang paling ampuh yang patik pernah temukan sepanjang hidup patik ini Tuanku, hampir-hampir sahaja patik tewas sebentar tadi”, Hang Tuah merendah diri dengan kemenangan ini.

“ Keduanya Adalah menjadi satu kerugian besar kepada kerajaan China jika kehilangan Laksamana sehebat ini.”

“ Ketiganya masih ada sisa kebaikkan di jiwanya, Tuanku”, Ujar Laksamana Hang Tuah kepada Maharaja Yong Le.

“ Apa! Masih ada kebaikkan yang tersisa dijiwanya? Ceritakanlah Laksamana agar Beta boleh tahu.” Soal Maharaja.

“Ampun Tuanku, perkara ini patik terlihat ketika kami rombongan Melaka sampai ke sini. Semasa di Pelabuhan ketika kami disambut oleh para Menteri, patik terlihat dari jauh Laksamaan Hei Long juga berada berhampiran pelabuhan mengawal keselamatan rombongan. Ketika itu ada seorang kanak-kanak pengemis menghampiri kudanya. Meminta sedikit belas kasihan. Ternyata ada tentera yang sudah mengangkat senjata untuk membunuh kanak-kanak itu lalu di tahan oleh Laksamana Hei Long. Laksamaan Hei Long telah turun dari kudanya dan mengambil sesuatu dari pedati kudanya lalu diberikan kepada kanak-kanak pengemis itu patik kira Laksamana Hei Long telah memberi wang kepadanya malah sebelum kanak-kanak itu meninggalkan Hei Long, Hei Long telah membelai kepala kanak-kanak itu.” Cerita Hang Tuah kepada Maharaja apa yang telah dilihat ketika mula-mula sampai di Negara Lingkaran Naga ini.

Maharaja Yong Le juga terdiam, sekira-kira inilah baru didengari di telinganya akan kebaikkan Laksamana Hei Long kerana setahu Baginda Hei Long memang Laksamana yang sangat kejam.

“ Sungguh benar laporan yang dibentangkan kepada Beta, Melaka mempunyai Laksamana yang handal serta rakyatnya yang mempunyai budi pekerti yang mulia. Baiklah Laksamana Melaka, Beta perkenankan permintaan mu.” Jawab Maharaja Yong le.

Cheng Di, caunselor Maharaja telah mengarah beberapa orang tentera untuk membawa Laksamana Hei Long untuk di rawat oleh Tabib Di Raja. Dalam hatinya dia sememangnya mahu Laksamana Hei Long mati. Jika tidak di tangan Laksamana Melayu ini harapannya jika Hei Long kalah sepatutnya hukuman mati wajib juga dikenakan ke atasnya. Namun apakan daya Maharaja telah menerima permintaan Laksamana Hang Tuah. Ketika Maharaja dan segala para Sida mula bergerak meninggalkan Lapangan Tempur, Hang Tuah sempat melirik matanya kepada Cheng Di, kelihatan Cheng Di sedang melumuri wajahnya dengan jelingan yang bermaksud jahat. Hang Tuah hanya mengukir senyuman sambil melangkah pergi untuk bertemu kembali rombongan Melaka di atas Astaka.


Di Utara Banjaran Tibet

Kuil kuno ini tu telah lama di tinggalkan 20 tahun yang lalu Sami Sam Poo telah menjumpainya. Dialah yang membersihkan dan membaik pulih serba sedikit kuil ini.
Sudah lama dia bertapa di sini dan kini Sami Sam Poo telah mempunyai anak murid juga.

Sami Som Poo yang sejak dari pagi tadi bertapa di dalam sebuah bilik khas dalam kuil ini tiba-tiba terasa terganggu dengan bunyi desiran angin yang menerobos masuk ke kamarnya malah baunya juga tidak menyenangkan. Namun Sami Sam Poo sudah biasa dengan perkara-perkara mistik begini, dipejamkan juga mata dan meneruskan bacaan menteranya.

Tetapi ketenangannya tidak lama. Tiba-tiba Sami Sam Poo bertempik keras, badannya terlambung kebelakang terseret di atas lantai sehinggakan lantai kayu itu pecah menghasilkan lekuk seperti parit. Ada sesuatu yang menghempas dia dengan begitu kuat.


Jeritan yang kuat itu mengejutkan Kwon Lun yang sedang tekun menyapu daun-daun kering di luar kuil. Kwon Lun terus mencampak penyapunya lalu berlari dengan terkocoh-kocoh untuk melihat apa yang terjadi. 

Sampai di kamar Gurunya Kwon Lon kaget gurunya terbaring di atas lantai biji-biji tasbih yang melilit dilehernya putus bertaburan di serata lantai kuil, darah pekat bersembur dari mulutnya.

Kwon Lon memangku gurunya.“Tok Guru apa yang telah berlaku? siapa yang telah menyerang guru.?” Soal Kwon Lun dengan nada cemas. Matanya liar memandang kawasan sekeliling tetapi tiada siapa di situ melainkan mereka berdua.

Sami Sam Poo begitu nazak suaranya sangat perlahan dan tersekat-sekat. Kwon Lun meletakkan telinganya di hujung mulut Tok gurunya. Sami Sam Poo telah membisik sesuatu kepada Kwon Lun sambil terangguk angguk kecil Kwon Lun mendengar kata-kata gurunya.

Habis berkata kata Sami Sam Poo menunjukkan ke satu arah di sudut kuil tersebut dengan tangan yang terketar-ketar. Seketika itu juga tangannya jatuh terkulai. Nyawanya telah diragut Malaikat maut.


Kwon Lun meraung kuat, tidak disangka gurunya mati dalam keadaan mengejut begitu malah kematiannya juga amat mencurigakan. Ketika esakkannya semakin mereda dia kembali melihat ke arah sudut di dalam kuil yang ditunjukki oleh gurunya, suasana suram yang hanya diterangi oleh cahaya lilin di dalam kuil itu menyukarkan matanya untuk melihat apa sebenarnya yang berada di sana. Lama dia merenung ke arah itu, tiba-tiba matanya membulat mulutnya terlopong jantungnya seperti telah berhenti dari berfungsi dia benar-benar terkejut dengan apa yang dilhatnya sekarang....


Khamis, 17 September 2015

Kota Larangan 7- Kekalahan Hei Long (Naga Hitam)



Tiba-tiba satu tempikkan kuat memenuhi ruang udara ketika inilah muncul seekor Naga bewarna hitam dengan mata yang memerah. Asap hitam masih berkepul-kepul mengelilingi tubuh haiwan tersebut. Kali ini benar-benar memeranjatkan semua yang hadir di Lapangan Tempur tersebut. Pengawal-pengawal istana berkejar mengelilingi Maharaja, Maharaja juga cemas, inilah pertama kalinya dia melihat kehebatan Hei Long. Kini baru dia jelas mengapa Hei Long di panggil Naga Hitam dikalangan tenteranya. Sida-sida ada yang telah melarikan diri dan ada yang telah basah kainnya.

Datuk Bendahara dan seluruh rombongan Melaka juga terkejut bukan kepalang, inang-inang dan dayang-dayang menangis ketakutan ada sebahagian yang berlari bersembunyi disebalik tiang yang besar di Lapangan Tempur  tersebut. Hang Kasturi terpaku tidak terkata dia bimbang keselamatan Abang Tuahnya.

Kesemua yang ada di situ kaget, Inilah pertama kali ke semua mereka melihat haiwan pemangsa yang bernama naga ini. Maharaja sendiri sudah pucat wajahnya mitos naga yang biasa di ceritakan oleh penglipurlara istana nampaknya bukanlah cerita dongeng baginya, naga ini benar-benar wujud. Namun bagi Hang Kasturi haiwan di depannya ini bukanlah haiwan sebenar melainkan hanya jelmaan sahaja. Nampaknya Hei Long mempunyai ilmu hitam yang hebat.

Haiwan pemangsa itu berlegar-legar mengelilingi Hang Tuah asap hitam yang berbau busuk mengapung-ngapung dibadannya. Sesekali ia bertempik keras ke arah Hang Tuah, angkuh dengan kekuatan yang dimiliki. Walaupun Hang Tuah juga masih terkejut dengan apa yang dilihat namun sebagai Laksamana yang mempunyai sejuta pengalaman, Hang Tuah dapat membaca haiwan ini adalah jelmaan dari ilmu hitam, kelihatan mata naga di depannya berkelip-kelip seperti mana manusia.

Bismillahi tawakal tu a’llahlah
Laa haula wala quwataillahbillah

Hang Tuah membulat tekadnya, menyerah diri kepada Allah dengan sepenuhnya, hanya pertolongan Allah yang diharapkan, ujian kali ini begitu getir dirasainya. Hang Tuah mula membaca sesuatu, dibacanya ayat pemangkas sihir. Mahu tidak mahu sekali ini “Hikmat Gerakkan Guruh” perlu di padu dengan “Ilmu Pelipat Bumi”
dan “Doa Senafas Roh”. Walapun Hang Tuah tahu risikonya ialah dia perlu mengerahkan seluruh kudratnya, jika gagal untuk menghapuskan jelmaan ini maka dia akan kehilangan seluruh tenaganya dan ini akan memberi peluang kepada lawan untuk membunuhnya.

Hang Tuah melompat tinggi sambil menetak haiwan jelmaan tersebut. Naga jelmaan itu juga mengelak dengan pantas. Sesekali ia cuba untuk membaham Hang Tuah sambil bertempik keras, tetapi ketangkasan dan kepantasan Hang Tuah benar-benar diluar kemampuan manusia biasa.

Kini barulah Datuk Bendahara dan seluruh rombongan Melaka dapat melihat dengan mata kepala sendiri kehebatan sebenar Datuk  Laksamana Hang Tuah. Acapkali mereka tidak dapat melihat kepantasan pergerakkan Laksaman Agung itu dengan mata kasar mereka.  Hanya debu-debu yang kelihatan berterbangan mengikuti pergerakkan yang bagaikan kilat, menunjukkan  keberadaan Hang tuah di sana.

Jelmaan Naga Hitam terus menyerang kali ini dicubanya dengan menerkam menggunakkan kukunya yang tajam, Hang Tuah mengelak dengan berguling-guling di atas tanah kemudian melompat tinggi, ditetak ekor Naga Hitam itu, namun dengan pantas Naga Hitam melarikan ekornya meliuk-liuk seperti ular di atas air.
Pertarungan berlangsung agak lama sesekali pertarungan berlaku di atas angin. Laksamana Hang tuah acap kali hilang dari pandangan apabila melakukan Gerakkan Guruh dan Ilmu Senafas Roh.

“Subhanallah, Sungguh! Hari ini barulah Ayahanda melihat sendiri ketangkasan dan kepantasan Datuk Laksamana Hang Tuah. Anakanda Kasturi, apakah kesemua kamu mempunyai hikmat sebegini.?” Tanya Datuk Bendahara kepada Hang Kasturi. Lama Hang Kasturi mendiamkan diri sebelum menjawab soalan Datuk Bendahara. Hatinya masih galau, kebimbangannya tidak dapat disembunyikan matanya tidak lepas pandang dari Lapangan Tempur tersebut. Jelmaan Naga Hitam yang menakutkan itu bersungguh-sungguh nampaknya mahu membunuh Abang Tuah.

“Ayahanda Bendahara bukan semua di antara kami ini yang berjaya menguasai hikmat-hikmat ini. Kepantasan gerakkan Abang Tuah ini sangat istimewa dan diakui Pendeta Adi Putra sendiri.” Jujur Hang Kasturi membuka rahsia.

“Kalau begitu siapa lagi yang berjaya menguasai hikmat sebeini selain Laksamana Hang Tuah.?” Soal Datuk Bendahara lagi.

“Guru kami, Adi Putra juga mempunyai kepantasan seperti ini, selain Pendita Adi Putra tandingannya bagi Abang Tuah ialah Abang Jebat, Ayahanda Bendahara.” Jawab Hang Kasturi sambil matanya liar memandang Lapangan Tempur.

Tersentak Datuk Bendahara  mendengarnya. Hang Jebat juga dianggap seperti anak sendiri namun Hang Jebat sangat sukar dibaca fikirannya. Kadangkala dia lebih banyak diam dari berkata-kata. Kadangakala dia hanya tersenyum tanpa ketawa, tetapi yang pasti dia amat tegas di dalam segala bab hukum agama.
Sehingga kini Datuk Bendahara belum pernah melihat sendiri kehebatan sebenar Hang Jebat. Dia amat perahsia orangnya.


Lapangan Tempur
Ketika ini Hang Tuah telah mengengam segumpal pasir, lalu dibacakan ayat surah al Zalzalah. “Allahu akbar!”, dengan laungan takbir yang begitu nyaring Hang Tuah meleparkan pasir tersebut ke arah jelmaan Naga Hitam itu, ketika ini kelihatan pasir yang dilempar oleh Laksamana Hang Tuah bertukar menjadi beribu-ribu lebah, lalu
terbang menyerang kepala haiwan pemangsa tersebut.

Serangan yang mengejutkan itu menganggu tumpuan serangan jelmaan Naga Hitam ke atas Hang Tuah,
Jelmaan Naga Hitam kini berusaha mengelak sengatan lebah-lebah tersebut, namun semakin kuat dia cuba melepaskan diri dari serangan lebah-lebah itu semakin banyak lebah-lebah tersebut menyerangnya, ada yang masuk ke mulutnya ada yang menyerang matanya. Kedengaran tempikan kuat dari Naga Hitam, ternyata kemarahannya tidak dapat berbuat apa-apa, kakinya menguis-menguis matanya yang dipenuhi lebah. Sesekali dia berpusing-pusing bagaikan layang-layang terputus tali.

Kesempatan ini digunakan oleh Hang Tuah untuk membuat serangan,  serangkap ayat Quran dibaca oleh Hang Tuah

Wa Izabatashtom batashtom jabarin ( surah as Syura ayat 130)
“ Dan apabila kamu memukul atau menyeksa kamu melakukan yang demikian dengan kejam dan bengis”

Serentak dengan laungan takbir yang kuat Hang Tuah membuat tetakkan ke bahagian badan haiwan pemangsa tersebut. Kali ini jelmaan Naga Hitam tidak sempat mengelak. Satu jeritan kuat bergema di Lapangan Tempur. Lapangan Tempur tersebut bergegar dengan begitu kuat. Bumi seperti dilanda gempa bumi. Hang Tuah hampir-hampir sahaja terpelanting ke belakang, mujur Hang Tuah sempat memperkemaskan kuda-kuda dan menahan dirinya dengan Sundang yang di pacak ke tanah malah ada dayang istana yang telah pengsan kerana dihambat kejutan yang dasyat ini.

Ketika ini sesuatu yang aneh telah berlaku jelmaan Naga Hitam yang ditetak oleh Hang Tuah tiba-tiba bertukar menjadi debu lalu diterbangkan oleh asap hitam, Asap hitam yang berdebu itu mula berputar-putar di dada langit lalu bergumpal dengan awan hitam sesekali kilat memancar dicelah awan hitam itu, ketika inilah awan hitam tersebut membentuk seraut wajah bertanduk yang menakutkan di dada langit matanya yang merah merenung Hang Tuah.

“Siapakah kamu ini!” jerkah wajah bertanduk yang terbentuk dari gumpulan awan hitam itu.

“Belum ada yang dapat mengalahkan aku sebelum ini.” Kata Wajah jelmaan itu dengan sombong.  

Hang Tuah mendongak ke langit  melihat asap hitam yang menyerupai seraut wajah bertanduk itu. Lalu dicabut keris Taming Sarinya dan diangkat mengahala ke awan hitam tersebut. “Cis! Makhluk terkutuk, Aku Hang Tuah, Laksamana dari Kerajaan Melaka.”

“Ha! Ha! ha! Jahanam kau Laksamana Melaka! Aku tidak akan lupa hari ini. Aku belum kalah lagi, kita akan bertemu lagi wahai Laksamana, bersiap-siaplah untuk mati ketika itu.”

Habis sahaja jelmaan wajah bertanduk dari awan hitam itu memberi amaran kepada Hang Tuah, awan hitam itu  mula bergumpal kembali bergulung-gulung dengan kuat lalu berarak pergi dengan pantas, seketika itu langit kembali cerah seperti biasa, cahaya matahari kembali menyinar Lapangan Tempur tersebut tiada tanda-tanda pun hujan akan turun, bayu dingin kembali terasa. Hang Tuah menghela nafas lega pertarungan ini benar-benar melelahkan dirinya.

Ketika inilah Hang Tuah perasan ada sekujur tubuh yang terlentang di Lapangan Tempur tersebut. “ Hei Long” bisik Hang Tuah perlahan. Tiba-tiba terdengar bunyi gendang di palu dengan kuat. Hang Tuah mendongak ke astaka Maharaja. Dengan dahi yang berkerut seribu Hang Tuah berlari kencang ke arah astaka Maharaja. Cheng Di, canselor Maharaja cemas...





Selasa, 8 September 2015

Kota Larangan 6 - Pertemuan Hang Jebat dengan Serigala Salji



Di luar kota Hang Jebat dan Angkatan Perang Melaka duduk bersiap siaga. Satu jam yang lalu Hang Jebat dapat melihat ada gumpulan awan hitam yang aneh berarak masuk ke tengah Kota Larangan. Sesekali  kelihatan petir sabung-menyabung di dada langit suasana bagai mahu terjadi ribut sahaja. Naluri sufinya jelas mengatakan Datuk Laksamana Hang Tuah sedang menghadapi ujian yang getir. Jika tidak diperintah oleh Datuk Bendahara agar menunggu di luar Kota Larangan  ini, sudah pasti dia merempuh masuk bersama 313 hulubalang Melaka .

Hulubalang 313 dari angkatan perang Melaka ini antara hulubalang-hulubalang terpilihan antara ribuan hulubalang Melaka. Mereka merupakan hulubalang yang dilatih sendiri oleh Hang Tuah dan Hang Jebat. Taat setia mereka tiada diragui. Namun kali ini kehadiran mereka di luar Kota Larangan kesemuanya berpakaian biasa tidak berpakaian sebagaimana Angkatan Perang, ini berbeza ketika mereka sampai di Majapahit satu waktu dahulu. Di Benua China ini mereka di arah agar berbusana seperti orang kebanyakkan. Ini semua adalah nasihat dari Datuk Bendahara yang bijaksana, Datuk Bendahara tidak mahu kedatangan rombongan dari Melaka disalah ertikan malah dicurigai seperti kedatangan musuh,kedatangan rombongan mereka dari Melaka biarlah dilihat untuk bersahabat dan berbentuk perdamaian.


"Abang Jebat nampaknya sudah masuk waktu Asar." tegur Andika sejurus melihat Hang Jebat asyik merenung langit. "Ya, benar kata kata mu, arahkan yang lain untuk bersiap, kita akan bersolat di astaka itu." Kata Hang Jebat sambil mengangkat jarinya menunjukkan sebuah astaka yang berdiri gagah di hadapan mereka. Hang Jebat lebih suka dipanggil Abang dari gelaran yang diberi oleh Istana, dia tidak suka berdarjat-darjat antara manusia malah pujian yang melampau akan memusnahkan diri sendiri, itulah pegangannya sejak dahulu. Malah Hang Jebat menganggap 313 orang hulubalang Melaka ini sebagai adik beradiknya sendiri.


"Rapatkan saf kalian semua." Andika memberi arahan. Hang Jebat menoleh ke belakang memastikan kesemua mereka berada dalam saf yang lurus dan baik. Andika merupakan ketua yang dilantik untuk mengurus 313 orang hulubalang ini sekiranya Hang Jebat dan Hang Tuah tidak ada di dalam negeri. Kepercayaan telah diberikan kepadanya.


Mereka solat dalam keadaan yang sungguh kusyuk. Suasana sepi di astaka itu, yang kedengaran hanyalah lafaz Allahuakbar setiap kali berlakunya pemindahan rukun solat. Ketika mereka di tahiyat akhir ada mata yang sedang memerhatikan mereka. Usai sahaja memberi salam Andika bingkas bangun begitu juga dengan hulubalang lain, di depan astaka kelihatan ada seorang yang kelihatan seperti seorang panglima perang lengkap berbaju dan bertopi besi serta sebilah pedang tersisip di pinggangnya.  Kelihatan juga ada enam orang lagi berpakaian demikian cuma topi besi mereka kelihatan sama dan berbeza dengan yang seorang itu.


Hang Jebat sejak memberi salam yang akhir tadi lama berteleku di tempat solatnya, biasanya ada zikir yang akan di bawa.

"Apakah benar kamu semua ini dari Tanah Melaka?, negeri yang kini menjadi sebutan sehingga ke benua ini," tanya Xue Lang kepada 313 angkatan perang Melaka yang menanti di Luar Kota Larangan tersebut.

"Siapakah ketua di sini?" Tanya Xeu lang lagi. Masing-masing melarikan pandangan mata ke arah  Hang Jebat, yang masing kusyuk di dalam doanya. Beberapa lama kemudian barulah Hang Jebat meraup tangannya ke muka. Ketika itu Hang Jebat melihat semua mata tertumpu kepadanya. Hang Jebat bingkas bangun serta berjalan dengan gagah tampil ke hadapan.

"Apa yang terjadi?" soal Hang Jebat kepada Andika.

"Adakah kamu ketua bagi rombongan ini? Adakah Tuan hamba ini Datuk Laksamana Hang Tuah?
aku dengar Melaka mempunyai laksamana terhebat dan angkatan perang yang gagah, apakah kamu laksamana yang terhebat itu? soal Xeu Lang bertalu-talu kepada Hang Jebat sambil mengusap-ngusap dagunya.

Mendengar nama Hang Tuah disebut suasana menjadi sedikit gempar,masing-masing tertanya-tanya apakah disetiap pelusuk istana ini telah mengetahui kedatangan mereka malah mengetahui segalanya. Bagaimana mereka mengetahui nama Laksaman Hang Tuah.?
Hang Jebat tersenyum menampakkan baris giginya yang tersusun indah.



"Tidak, aku bukanlah Laksamana Hang Tuah aku hanya pembantu Laksamana sahaja", jawab Hang Jebat merendah diri, walaupun sebenarnya Sultan telah menurunkan titah jika apa-apa berlaku kepada Datuk Laksamana Hang Tuah maka Hang Jebat akan menjadi galang gantinya.

"Oh! begitu, jika demikan siapa nama mu? Xue Lang bersoal lagi. "Nama ku Hang Jebat", pendek sahaja jawapan Hang Jebat. "Ha! ha! ha!", terburai ketawa Xeu Lang seketika. Kalau begitu kau juga bukan calang-calang orangnya sahabat sepermainan Laksamana Hang Tuah. Nama mu juga menjadi bualan di Istana ini, tidak pula kami sangka Sultan Melaka akan menghantar pahlawan-pahlawanya yang terhebat ke sini.

"Apakah kita pernah bertemu sebelum ini?, siapakah nama mu?", tanya Hang Jebat dalam keadaan curiga. "Bagaimana kamu mengenali nama-nama kami semua? soal Hang Jebat kembali.

"Nama ku Zhuge Liang, namun Maharaja menggelar aku dengan gelaran Xue Lang (Serigala salji) Ketua Angkatan Perang Pemanah Biru." jawab Xeu Lang jujur.

"Wahai Pahlawan Melaka adapun bangsa kami telah lama meneroka laut dan telah sampai ke tanah airmu  menjalankan urusan perdagangan. Antara mereka ada yang menjadi jurutulis Kerajaan Ming ini, setiap perdagang yang kembali ke sini wajib mengadap Maharaja dan menceritakan segalanya." Xeu lang mula membuka rahsia. 

"Lalu Jurutulis Negara akan membuat segala catatan dan nama Melaka telah lama disebut di Istana ini, malah Maharaja sangat kagum dan ingin sekali menjalin hubungan politik dengan Melaka. Katanya Negeri Melaka mempunyai rakyat yang santun dan berbudi pekerti mulia, malah melalui catatan Jurutulis di Raja juga nama-nama kamu diketahui, katanya Melaka mempunyai ramai hulubalang terkemuka antaranya ialah Hang Tuah lima bersaudara dan kau salah seorang dari mereka." Xeu Lang berterus terang dalam menyampaikan apa yang diketahuinya sebelum ini.

Hang Jebat terdiam seribu bahasa terkejut dengan apa yang didengarinya, rupa-rupanya pedagang-pedagang Cina bukan sekadar menjalankan urusniaga tetapi membuat catatan dan melaporkan segalanya pada Maharaja mereka.

"Selamat datang wahai Hang Jebat, pahlawan dari Negeri Melaka ke negeri lingkaran Naga ini." Xeu Lang berbasi-basi mengalu kedatangan Hang Jebat. "Walaupun tempat kalian berdiri ini katanya adalah di luar Kota Larangan namun hakikatnya astaka ini masih di dalam Kota Larangan seluruh istana ini dikelilingi tembok. Kota ini begitu luas. Kalian semua tidak mampu mengempurnya tanpa kekuatan yang sebenar." Bicara Xeu Lang lagi sambil memandang ke arah astaka di mana tempat angkatan perang Melaka bersolat tadi.

Hang Jebat tersentak seketika, di dalam hatinya berkata-kata, "Apakah Serigala Salji ini dapat membaca fikirannya."

Jika  kalian semua ingin tahu Kota Larangan ini keluasannya sahaja menjangkau 7,800,000 kaki persegi,  terdapat 8707 buah bilik dan mengandungi 980 buah bangunan. Silap gaya kalian semua boleh sesat di dalam Kota larangan ini sindir xeu Lang kepada Angkatan Perang Melaka.


"Sungguh bertuah aku hari ini dapat bertemu dengan salah seorang Hulubalang terulung Kerajaan Melaka dan ingin sekali aku melihat kebenaran laporan yang disampaikan tentang kehebatan kalian. Adakah benar atau omongan kosong sahaja." 

"Aku Xue Lang Serigala Salji sebagai Ketua Angkatan Perang Pemanah Biru ingin mencabar kamu pada hari ini", Ucap Xeu Lang dengan nada mencabar sambil matanya melirik kepada Hang Jebat.

Gempar seketika Angkatan Perang Melaka, bukan kerana takut mati tetapi bimbang jika titah di Raja agar menjalinkan hubungan baik antara Kerajaan China menemui kegagalan.

Ha! ha! ha! Xue Lang ketawa lagi. "Jangan risau cabaran ku ini bukan cabaran maut aku hanya mahu melihat kehebatan orang Melaka sahaja".

Hang Jebat mengangguk perlahan sungguh bagai dikata jika sudah ada yang menjual sudah tentu ada yang sudi membeli.

"Bagaimana Pahlawan Melaka?", Xeu Lang bertanya sambil memandang Hang Jebat dengan sorot mata yang mencabar. Hang Jebat hanya tersenyum, "baiklah jika itu kemuhuan mu Serigala Salji."

"Marilah kita ke ruang depan kolam teratai itu." cadang Xeu Lang kepada Hang jebat.

Masing -masing mulai cemas, beberapa askar dari Pasukan Pemanah Biru tersenyum sinis mereka tahu akan kehebatan ketua mereka.

"Mari kita mulakan", jerit Xeu Lang. Xeu Lang mula membuka langkah pergerakkannya kasar dan keras tangan di genggam padu, Hang Jebat menarik nafas sesedut, membaca nafas dan gerakkan musuh ternyata lawan didepannya bukan sebarangan juga.

Benar-benar Xue Lang mahukan pertarungan ini, Xue Lang memulakan serangan tumbukan bertubi-tubi dilancarkan. Hang Jebat mula menangkis dan mengelak riaknya sesekali bagai ikan keli di dalam air, pantas dan tangkas. Dalam kesempatan yang diperolehi Hang Jebat membuat serangan balas.Serangan menggunakan kaki menjadi pilihan sekali dua sepakan padu singgah di badan Xeu Lang namun dapat ditahan dengan lengannya.

Xeu Lang tersenyum gembira sambil membuka langkah dia ketawa, jarang benar dapat bertarung dengan lawan yang setanding dengannya ibarat 'buku bertemu ruas'. Kali ini serangannya lebih pantas dan tangkas sekejap serangan di sasarkan ke arah muka sesekali kakinya cuba menguis kaki Hang Jebat. Sesiapa pun boleh hilang tumpuan dengan serangan sebegitu, ketika Hang Jebat hilang keseimbangan dengan asakkan bertubi-tubi, Xeu Lang sempat membuat beberapa tumbukan di bahagian lengan, bahu dan dada Hang Jebat. Hang Jebat terundur ke belakang, tangan kirinya kelihatan terkulai seperti lumpuh. "Abang Jebat!", jerit Andika terkejutnya bukan kepalang begitu juga 313 hulubalang Melaka. Mustahil ini berlaku.


Hang Jebat mengangkat tangan kanannya membuat isyarat agar Andika tidak campur tangan dalam pertarungan ini, Hang Jebat tahu perasaan Andika cemas kala ini,apabila melihat Andika mula bertapak mahu masuk ke gelanggang pertarungan. 

Hang Jebat membaca serangkap ayat

Kaf Ha Ya Ain Sood 
Inna Fatahna laka fathamubina (surah al Fath)

lalu ditiup ke tapak tangan kanan dan di usap dalam bentul lam alif terbalik dari dada membawa ke hujung lengan kiri, seketika tangan Hang Jebat boleh bergerak seperti sedia kala dia mendepakan tangannya lalu membawa ke hadapan tanda bersedia untuk meneruskan pertarungan.

Xeu Lang berdiri sambil bercekak pinggang riak terkejut masih bersisa di wajahnya. "Sungguh ini pertama kali aku melihat ada pendekar yang mampu memulihkan semula mata uratnya setelah menerima pukulan ku. Wahai Pahlawan Melaka jika orang biasa sudah pasti dia akan lumpuh atau paling tidak tanganya tidak boleh digunakan selagi aku tidak membuka kembali mata uratnya, ini benar-benar diluar dugaan ku. Bicara Xeu Lang dengan perasaan kagum.

Hang Jebat tersenyum dengan kata-kata itu, pujian itu sedikit pun tidak singgah dihatinya, seketika dia mebetulkan tengkolok di kepalanya.

"Nampaknya Abang Jebat mahu menamatkan pertarungan ini", kata Andika kepada Awang Bagan salah seorang hulubalang angkatan Perang Melaka. "Mengapa tuan hamba berkata begitu? Tanya Awang Bagan dengan nada hairan.

"Hamba masak benar dengan perangai Abang Jebat jika dia membetulkan tengkoloknya itu menunjukkan dia akan mengalahkan lawannya." jawab Andika. 

Hang Jebat berlari kencang ke arah Xeu Lang dalam jarak tujuh langkah tiba-tiba Hang Jebat bertempik kuat dengan kalimah "Zat!", sekelip mata itu juga Hang Jebat hilang dari pandangan mata Xeu Lang, gerakkan yang pantas dan misteri. Xeu Lang terkejut bukan kepalang dalam tidak sedar dia terundur beberapa tapak ke belakang begitu juga 6 orang lagi askar Pemanah Biru terkejut dengan apa yang mereka saksikan.

Beberapa detik kemudian Xeu Lang memaling wajahnya ke kiri dan terukir senyuman yang mengherot dipipinya Hang Jebat muncul kembali dibelakang Xue Lang sambil tangan kanannya menyentuh bahu kiri Xeu Lang. Mereka sama-sama telah berhenti menyerang, tangan kanan Hang Jebat masih di bahu kiri Xeu Lang. Xeu lang pula hanya berdiri tegak tidak melancarkan serangan dia hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

"Wahai Pahlawan Melaka aku telah tewas", kata Xeu Lang dengan suara yang merendah tiada lagi ketawa galak dari mulutnya, Hang Jebat menapak beberapa langkah ke hadapan dan berdiri mendepani Xeu Lang. "Tidak Wahai Serigala Salji belum ada keputusan pun siapa yang menang dan siapa yang kalah", balas Hang Jebat merendah diri.

Tiba-tiba Xue Lang mengangkat tangannya separas kepala dan menunduk di hadapan Hang Jebat tangan kanannya digenggam manakala tangan kirinya memegang gengamnan tangan kanannya. Xeu Lang membuat tunduk hormat kepada Hang Jebat.

"Jangan begitu Pahlawan Kerajaan Ming", Hang Jebat terpana seketika dengan tingkah laku Serigala Salji.

Xeu Lang lantas berkata " Sungguh terbukti Melaka mempunyai hulubalang-hulubalang yang hebat. "Wahai Pahlawan Melaka aku mohon diri dahulu untuk masuk ke dalam istana masih ada urusan yang perlu diselesaikan." Ketika Xeu Lang bertapak beberapa langkah Hang jebat bersuara "Xeu Lang bolehkah aku bertanya satu soalan." Xeu Lang berhenti melangkah "ya" jawab Xue Lang "tanyakanlah wahai Hang Jebat."


"Bagaimana kau tahu aku akan muncul di belakangmu setelah ghaib dari pandangan mata", tanya Hang Jebat untuk mengetahui rahsia Xeu Lang. Ha! ha! ha! Xue Lang mula ketawa kembali. 

" Wahai Pahlahawan Melaka sebenarnya aku dapat mencium bau badanmu,aku mempunyai pancaindera bau yang aneh. Walaubagaimana ramai manusia yang berada di sini, aku dapat menghidu bau badan setiap dari mereka dan setiap kita mempunyai bau badan yang berbeza. Hatta bau tubuh Maharaja juga aku dapat pastikan, malah jika tempat itu ditinggalkan dalam masa setengah jam, aku masih boleh menghidu baunya.

Hang Jebat terkejut dengan jawapan itu ternyata Xeu Lang bukan calang-calang Hulubalang dia mempunyai kelebihan yang aneh,padanlah Maharaja menggelarnya Serigala salji. 

Agin dingin mula bertiup lembut di Luar kota Larangan tersebut bau bunga teraitai mulai mengapung disekelilingnya.

Xeu Lang dan enam orang tenteranya mulai melangkah pergi meninggalkan Hang Jebat dan Angkatan Perang Melaka, beberapa tapak Xeu Lang melangkah dia berhenti dan menoleh kepada mereka. Xeu Lang tersenyum lantas mengucapkan 

" Assalamualaikum"

serentak Angkatan Perang Melaka menjawab salamnya dalam keadaan terkejut. Masing-masing bertanya antara satu sama lain. Andika melangkah pantas ke arah Xeu Lang. " apakah tuan hamba beragama Islam?" Tanya Andika untuk mendapatkan kepastian. Xeu Lang tersenyum lalu menjawab " Ya aku dan teman-teman ku ini beragama Islam".

Allahuakbar! laung kesemua Angkatan Perang Melaka. Hang Jebat bertapak ke hadapan Xeu Lang lalu mendakap tubuhnya. "Subhanallah kita bersaudara, kita bersaudara" luah Hang Jebat dengan nada terharu. Xeu Lang membalas pelukan Hang Jebat, yang lain datang menghulurkan tangan berjabat salam.

" Maafkan kita wahai pahlawan Melaka, boleh jadi sikap kita menjengkelkan sebentar tadi, jika tidak buat demikian masakan kita dapat tahu kehebatan Bangsa Melayu." 

Hang Jebat mengangguk perlahan. " Semoga kita dapat bertemu lagi saudaraku semua." kata Xeu Lang  sambil mengorak langkah ke dalam Istana. 

Hatinya kini galau tidak tahu mengapa dititah ke istana dalam keadaan cemas...

Bersambung.