Selasa, 8 September 2015

Kota Larangan 6 - Pertemuan Hang Jebat dengan Serigala Salji



Di luar kota Hang Jebat dan Angkatan Perang Melaka duduk bersiap siaga. Satu jam yang lalu Hang Jebat dapat melihat ada gumpulan awan hitam yang aneh berarak masuk ke tengah Kota Larangan. Sesekali  kelihatan petir sabung-menyabung di dada langit suasana bagai mahu terjadi ribut sahaja. Naluri sufinya jelas mengatakan Datuk Laksamana Hang Tuah sedang menghadapi ujian yang getir. Jika tidak diperintah oleh Datuk Bendahara agar menunggu di luar Kota Larangan  ini, sudah pasti dia merempuh masuk bersama 313 hulubalang Melaka .

Hulubalang 313 dari angkatan perang Melaka ini antara hulubalang-hulubalang terpilihan antara ribuan hulubalang Melaka. Mereka merupakan hulubalang yang dilatih sendiri oleh Hang Tuah dan Hang Jebat. Taat setia mereka tiada diragui. Namun kali ini kehadiran mereka di luar Kota Larangan kesemuanya berpakaian biasa tidak berpakaian sebagaimana Angkatan Perang, ini berbeza ketika mereka sampai di Majapahit satu waktu dahulu. Di Benua China ini mereka di arah agar berbusana seperti orang kebanyakkan. Ini semua adalah nasihat dari Datuk Bendahara yang bijaksana, Datuk Bendahara tidak mahu kedatangan rombongan dari Melaka disalah ertikan malah dicurigai seperti kedatangan musuh,kedatangan rombongan mereka dari Melaka biarlah dilihat untuk bersahabat dan berbentuk perdamaian.


"Abang Jebat nampaknya sudah masuk waktu Asar." tegur Andika sejurus melihat Hang Jebat asyik merenung langit. "Ya, benar kata kata mu, arahkan yang lain untuk bersiap, kita akan bersolat di astaka itu." Kata Hang Jebat sambil mengangkat jarinya menunjukkan sebuah astaka yang berdiri gagah di hadapan mereka. Hang Jebat lebih suka dipanggil Abang dari gelaran yang diberi oleh Istana, dia tidak suka berdarjat-darjat antara manusia malah pujian yang melampau akan memusnahkan diri sendiri, itulah pegangannya sejak dahulu. Malah Hang Jebat menganggap 313 orang hulubalang Melaka ini sebagai adik beradiknya sendiri.


"Rapatkan saf kalian semua." Andika memberi arahan. Hang Jebat menoleh ke belakang memastikan kesemua mereka berada dalam saf yang lurus dan baik. Andika merupakan ketua yang dilantik untuk mengurus 313 orang hulubalang ini sekiranya Hang Jebat dan Hang Tuah tidak ada di dalam negeri. Kepercayaan telah diberikan kepadanya.


Mereka solat dalam keadaan yang sungguh kusyuk. Suasana sepi di astaka itu, yang kedengaran hanyalah lafaz Allahuakbar setiap kali berlakunya pemindahan rukun solat. Ketika mereka di tahiyat akhir ada mata yang sedang memerhatikan mereka. Usai sahaja memberi salam Andika bingkas bangun begitu juga dengan hulubalang lain, di depan astaka kelihatan ada seorang yang kelihatan seperti seorang panglima perang lengkap berbaju dan bertopi besi serta sebilah pedang tersisip di pinggangnya.  Kelihatan juga ada enam orang lagi berpakaian demikian cuma topi besi mereka kelihatan sama dan berbeza dengan yang seorang itu.


Hang Jebat sejak memberi salam yang akhir tadi lama berteleku di tempat solatnya, biasanya ada zikir yang akan di bawa.

"Apakah benar kamu semua ini dari Tanah Melaka?, negeri yang kini menjadi sebutan sehingga ke benua ini," tanya Xue Lang kepada 313 angkatan perang Melaka yang menanti di Luar Kota Larangan tersebut.

"Siapakah ketua di sini?" Tanya Xeu lang lagi. Masing-masing melarikan pandangan mata ke arah  Hang Jebat, yang masing kusyuk di dalam doanya. Beberapa lama kemudian barulah Hang Jebat meraup tangannya ke muka. Ketika itu Hang Jebat melihat semua mata tertumpu kepadanya. Hang Jebat bingkas bangun serta berjalan dengan gagah tampil ke hadapan.

"Apa yang terjadi?" soal Hang Jebat kepada Andika.

"Adakah kamu ketua bagi rombongan ini? Adakah Tuan hamba ini Datuk Laksamana Hang Tuah?
aku dengar Melaka mempunyai laksamana terhebat dan angkatan perang yang gagah, apakah kamu laksamana yang terhebat itu? soal Xeu Lang bertalu-talu kepada Hang Jebat sambil mengusap-ngusap dagunya.

Mendengar nama Hang Tuah disebut suasana menjadi sedikit gempar,masing-masing tertanya-tanya apakah disetiap pelusuk istana ini telah mengetahui kedatangan mereka malah mengetahui segalanya. Bagaimana mereka mengetahui nama Laksaman Hang Tuah.?
Hang Jebat tersenyum menampakkan baris giginya yang tersusun indah.



"Tidak, aku bukanlah Laksamana Hang Tuah aku hanya pembantu Laksamana sahaja", jawab Hang Jebat merendah diri, walaupun sebenarnya Sultan telah menurunkan titah jika apa-apa berlaku kepada Datuk Laksamana Hang Tuah maka Hang Jebat akan menjadi galang gantinya.

"Oh! begitu, jika demikan siapa nama mu? Xue Lang bersoal lagi. "Nama ku Hang Jebat", pendek sahaja jawapan Hang Jebat. "Ha! ha! ha!", terburai ketawa Xeu Lang seketika. Kalau begitu kau juga bukan calang-calang orangnya sahabat sepermainan Laksamana Hang Tuah. Nama mu juga menjadi bualan di Istana ini, tidak pula kami sangka Sultan Melaka akan menghantar pahlawan-pahlawanya yang terhebat ke sini.

"Apakah kita pernah bertemu sebelum ini?, siapakah nama mu?", tanya Hang Jebat dalam keadaan curiga. "Bagaimana kamu mengenali nama-nama kami semua? soal Hang Jebat kembali.

"Nama ku Zhuge Liang, namun Maharaja menggelar aku dengan gelaran Xue Lang (Serigala salji) Ketua Angkatan Perang Pemanah Biru." jawab Xeu Lang jujur.

"Wahai Pahlawan Melaka adapun bangsa kami telah lama meneroka laut dan telah sampai ke tanah airmu  menjalankan urusan perdagangan. Antara mereka ada yang menjadi jurutulis Kerajaan Ming ini, setiap perdagang yang kembali ke sini wajib mengadap Maharaja dan menceritakan segalanya." Xeu lang mula membuka rahsia. 

"Lalu Jurutulis Negara akan membuat segala catatan dan nama Melaka telah lama disebut di Istana ini, malah Maharaja sangat kagum dan ingin sekali menjalin hubungan politik dengan Melaka. Katanya Negeri Melaka mempunyai rakyat yang santun dan berbudi pekerti mulia, malah melalui catatan Jurutulis di Raja juga nama-nama kamu diketahui, katanya Melaka mempunyai ramai hulubalang terkemuka antaranya ialah Hang Tuah lima bersaudara dan kau salah seorang dari mereka." Xeu Lang berterus terang dalam menyampaikan apa yang diketahuinya sebelum ini.

Hang Jebat terdiam seribu bahasa terkejut dengan apa yang didengarinya, rupa-rupanya pedagang-pedagang Cina bukan sekadar menjalankan urusniaga tetapi membuat catatan dan melaporkan segalanya pada Maharaja mereka.

"Selamat datang wahai Hang Jebat, pahlawan dari Negeri Melaka ke negeri lingkaran Naga ini." Xeu Lang berbasi-basi mengalu kedatangan Hang Jebat. "Walaupun tempat kalian berdiri ini katanya adalah di luar Kota Larangan namun hakikatnya astaka ini masih di dalam Kota Larangan seluruh istana ini dikelilingi tembok. Kota ini begitu luas. Kalian semua tidak mampu mengempurnya tanpa kekuatan yang sebenar." Bicara Xeu Lang lagi sambil memandang ke arah astaka di mana tempat angkatan perang Melaka bersolat tadi.

Hang Jebat tersentak seketika, di dalam hatinya berkata-kata, "Apakah Serigala Salji ini dapat membaca fikirannya."

Jika  kalian semua ingin tahu Kota Larangan ini keluasannya sahaja menjangkau 7,800,000 kaki persegi,  terdapat 8707 buah bilik dan mengandungi 980 buah bangunan. Silap gaya kalian semua boleh sesat di dalam Kota larangan ini sindir xeu Lang kepada Angkatan Perang Melaka.


"Sungguh bertuah aku hari ini dapat bertemu dengan salah seorang Hulubalang terulung Kerajaan Melaka dan ingin sekali aku melihat kebenaran laporan yang disampaikan tentang kehebatan kalian. Adakah benar atau omongan kosong sahaja." 

"Aku Xue Lang Serigala Salji sebagai Ketua Angkatan Perang Pemanah Biru ingin mencabar kamu pada hari ini", Ucap Xeu Lang dengan nada mencabar sambil matanya melirik kepada Hang Jebat.

Gempar seketika Angkatan Perang Melaka, bukan kerana takut mati tetapi bimbang jika titah di Raja agar menjalinkan hubungan baik antara Kerajaan China menemui kegagalan.

Ha! ha! ha! Xue Lang ketawa lagi. "Jangan risau cabaran ku ini bukan cabaran maut aku hanya mahu melihat kehebatan orang Melaka sahaja".

Hang Jebat mengangguk perlahan sungguh bagai dikata jika sudah ada yang menjual sudah tentu ada yang sudi membeli.

"Bagaimana Pahlawan Melaka?", Xeu Lang bertanya sambil memandang Hang Jebat dengan sorot mata yang mencabar. Hang Jebat hanya tersenyum, "baiklah jika itu kemuhuan mu Serigala Salji."

"Marilah kita ke ruang depan kolam teratai itu." cadang Xeu Lang kepada Hang jebat.

Masing -masing mulai cemas, beberapa askar dari Pasukan Pemanah Biru tersenyum sinis mereka tahu akan kehebatan ketua mereka.

"Mari kita mulakan", jerit Xeu Lang. Xeu Lang mula membuka langkah pergerakkannya kasar dan keras tangan di genggam padu, Hang Jebat menarik nafas sesedut, membaca nafas dan gerakkan musuh ternyata lawan didepannya bukan sebarangan juga.

Benar-benar Xue Lang mahukan pertarungan ini, Xue Lang memulakan serangan tumbukan bertubi-tubi dilancarkan. Hang Jebat mula menangkis dan mengelak riaknya sesekali bagai ikan keli di dalam air, pantas dan tangkas. Dalam kesempatan yang diperolehi Hang Jebat membuat serangan balas.Serangan menggunakan kaki menjadi pilihan sekali dua sepakan padu singgah di badan Xeu Lang namun dapat ditahan dengan lengannya.

Xeu Lang tersenyum gembira sambil membuka langkah dia ketawa, jarang benar dapat bertarung dengan lawan yang setanding dengannya ibarat 'buku bertemu ruas'. Kali ini serangannya lebih pantas dan tangkas sekejap serangan di sasarkan ke arah muka sesekali kakinya cuba menguis kaki Hang Jebat. Sesiapa pun boleh hilang tumpuan dengan serangan sebegitu, ketika Hang Jebat hilang keseimbangan dengan asakkan bertubi-tubi, Xeu Lang sempat membuat beberapa tumbukan di bahagian lengan, bahu dan dada Hang Jebat. Hang Jebat terundur ke belakang, tangan kirinya kelihatan terkulai seperti lumpuh. "Abang Jebat!", jerit Andika terkejutnya bukan kepalang begitu juga 313 hulubalang Melaka. Mustahil ini berlaku.


Hang Jebat mengangkat tangan kanannya membuat isyarat agar Andika tidak campur tangan dalam pertarungan ini, Hang Jebat tahu perasaan Andika cemas kala ini,apabila melihat Andika mula bertapak mahu masuk ke gelanggang pertarungan. 

Hang Jebat membaca serangkap ayat

Kaf Ha Ya Ain Sood 
Inna Fatahna laka fathamubina (surah al Fath)

lalu ditiup ke tapak tangan kanan dan di usap dalam bentul lam alif terbalik dari dada membawa ke hujung lengan kiri, seketika tangan Hang Jebat boleh bergerak seperti sedia kala dia mendepakan tangannya lalu membawa ke hadapan tanda bersedia untuk meneruskan pertarungan.

Xeu Lang berdiri sambil bercekak pinggang riak terkejut masih bersisa di wajahnya. "Sungguh ini pertama kali aku melihat ada pendekar yang mampu memulihkan semula mata uratnya setelah menerima pukulan ku. Wahai Pahlawan Melaka jika orang biasa sudah pasti dia akan lumpuh atau paling tidak tanganya tidak boleh digunakan selagi aku tidak membuka kembali mata uratnya, ini benar-benar diluar dugaan ku. Bicara Xeu Lang dengan perasaan kagum.

Hang Jebat tersenyum dengan kata-kata itu, pujian itu sedikit pun tidak singgah dihatinya, seketika dia mebetulkan tengkolok di kepalanya.

"Nampaknya Abang Jebat mahu menamatkan pertarungan ini", kata Andika kepada Awang Bagan salah seorang hulubalang angkatan Perang Melaka. "Mengapa tuan hamba berkata begitu? Tanya Awang Bagan dengan nada hairan.

"Hamba masak benar dengan perangai Abang Jebat jika dia membetulkan tengkoloknya itu menunjukkan dia akan mengalahkan lawannya." jawab Andika. 

Hang Jebat berlari kencang ke arah Xeu Lang dalam jarak tujuh langkah tiba-tiba Hang Jebat bertempik kuat dengan kalimah "Zat!", sekelip mata itu juga Hang Jebat hilang dari pandangan mata Xeu Lang, gerakkan yang pantas dan misteri. Xeu Lang terkejut bukan kepalang dalam tidak sedar dia terundur beberapa tapak ke belakang begitu juga 6 orang lagi askar Pemanah Biru terkejut dengan apa yang mereka saksikan.

Beberapa detik kemudian Xeu Lang memaling wajahnya ke kiri dan terukir senyuman yang mengherot dipipinya Hang Jebat muncul kembali dibelakang Xue Lang sambil tangan kanannya menyentuh bahu kiri Xeu Lang. Mereka sama-sama telah berhenti menyerang, tangan kanan Hang Jebat masih di bahu kiri Xeu Lang. Xeu lang pula hanya berdiri tegak tidak melancarkan serangan dia hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

"Wahai Pahlawan Melaka aku telah tewas", kata Xeu Lang dengan suara yang merendah tiada lagi ketawa galak dari mulutnya, Hang Jebat menapak beberapa langkah ke hadapan dan berdiri mendepani Xeu Lang. "Tidak Wahai Serigala Salji belum ada keputusan pun siapa yang menang dan siapa yang kalah", balas Hang Jebat merendah diri.

Tiba-tiba Xue Lang mengangkat tangannya separas kepala dan menunduk di hadapan Hang Jebat tangan kanannya digenggam manakala tangan kirinya memegang gengamnan tangan kanannya. Xeu Lang membuat tunduk hormat kepada Hang Jebat.

"Jangan begitu Pahlawan Kerajaan Ming", Hang Jebat terpana seketika dengan tingkah laku Serigala Salji.

Xeu Lang lantas berkata " Sungguh terbukti Melaka mempunyai hulubalang-hulubalang yang hebat. "Wahai Pahlawan Melaka aku mohon diri dahulu untuk masuk ke dalam istana masih ada urusan yang perlu diselesaikan." Ketika Xeu Lang bertapak beberapa langkah Hang jebat bersuara "Xeu Lang bolehkah aku bertanya satu soalan." Xeu Lang berhenti melangkah "ya" jawab Xue Lang "tanyakanlah wahai Hang Jebat."


"Bagaimana kau tahu aku akan muncul di belakangmu setelah ghaib dari pandangan mata", tanya Hang Jebat untuk mengetahui rahsia Xeu Lang. Ha! ha! ha! Xue Lang mula ketawa kembali. 

" Wahai Pahlahawan Melaka sebenarnya aku dapat mencium bau badanmu,aku mempunyai pancaindera bau yang aneh. Walaubagaimana ramai manusia yang berada di sini, aku dapat menghidu bau badan setiap dari mereka dan setiap kita mempunyai bau badan yang berbeza. Hatta bau tubuh Maharaja juga aku dapat pastikan, malah jika tempat itu ditinggalkan dalam masa setengah jam, aku masih boleh menghidu baunya.

Hang Jebat terkejut dengan jawapan itu ternyata Xeu Lang bukan calang-calang Hulubalang dia mempunyai kelebihan yang aneh,padanlah Maharaja menggelarnya Serigala salji. 

Agin dingin mula bertiup lembut di Luar kota Larangan tersebut bau bunga teraitai mulai mengapung disekelilingnya.

Xeu Lang dan enam orang tenteranya mulai melangkah pergi meninggalkan Hang Jebat dan Angkatan Perang Melaka, beberapa tapak Xeu Lang melangkah dia berhenti dan menoleh kepada mereka. Xeu Lang tersenyum lantas mengucapkan 

" Assalamualaikum"

serentak Angkatan Perang Melaka menjawab salamnya dalam keadaan terkejut. Masing-masing bertanya antara satu sama lain. Andika melangkah pantas ke arah Xeu Lang. " apakah tuan hamba beragama Islam?" Tanya Andika untuk mendapatkan kepastian. Xeu Lang tersenyum lalu menjawab " Ya aku dan teman-teman ku ini beragama Islam".

Allahuakbar! laung kesemua Angkatan Perang Melaka. Hang Jebat bertapak ke hadapan Xeu Lang lalu mendakap tubuhnya. "Subhanallah kita bersaudara, kita bersaudara" luah Hang Jebat dengan nada terharu. Xeu Lang membalas pelukan Hang Jebat, yang lain datang menghulurkan tangan berjabat salam.

" Maafkan kita wahai pahlawan Melaka, boleh jadi sikap kita menjengkelkan sebentar tadi, jika tidak buat demikian masakan kita dapat tahu kehebatan Bangsa Melayu." 

Hang Jebat mengangguk perlahan. " Semoga kita dapat bertemu lagi saudaraku semua." kata Xeu Lang  sambil mengorak langkah ke dalam Istana. 

Hatinya kini galau tidak tahu mengapa dititah ke istana dalam keadaan cemas...

Bersambung.

3 ulasan:

  1. Makin hari makin suspen cerita ni...
    Teruskn brkaryah...
    Nanti buku kn la cerita ini kpd novel...
    Sy akn ikut crita ini smpai akhir...

    BalasPadam
  2. Insya Allah. Terima kasih atas sokongan Tuan.

    BalasPadam
  3. Ini bukannya cerita rekaan, namun benar terjadi. Hanya Allah membuka rahsiaNya pada siapa yang dikehendakiNya. Ada sedikit tokok tambah bagi menjadi rencah cerita, tapi selebihnya adalah benar.

    BalasPadam