Isnin, 24 April 2017

Lembah Jiuzhaigou




Lembah Jiuzhaigou
Kehadiran rombongan Puteri Ok Soo dari negari Chosun disambut gembira oleh para dayang dan menteri-menteri luar negara kerajaan Ming, walaupun perjalanan begitu sukar,  terpaksa mendaki gunung, membelah belantara dan menuruni lembah akhirnya mereka sampai juga ditempat yang dijanjikan. Keletihan bagai sinar dari badan masing-masing. Seorang menteri luar negara menghampiri  kereta kuda yang dinaiki oleh Puteri Ok Soo beliau membawa titah peminangan Maharaja Ming kepada Puteri Ok Soo. Ketika  beliau baru membaca  surat titah tersebut sebilah anak panah dengan deras membelah angin lalu menembusi surat titah di raja dan menebak tepat jantung menteri tersebut, surat titah maharaja masih di dalam gengamannya ketika dia rebah ke tanah. Suasana jadi gempar, pengiring dan pengawal Puteri Oksoo mula bergerak membuat benteng mengawasi dengan ketat, mereka bimbang akan keselamatan puteri mereka.
Laksamana Hang Tuah dan Jeneral Hei Long yang berada di atas sebuah bukit tidak jauh dari situ juga terkejut dengan apa yang berlaku sepantas itu Hei Long mengeluarkan arahan kepada tenteranya untuk melindungi Puteri OK Soo
“ Nampaknya ada  musuh dalam lipatan.” Kata Hei Long kepada Hang Tuah.
“ Benar kata tuan hamba!”  jawab Hang Tuah.
Mata Hang Tuah liar memandang sekitar lembah itu, saat itu kelihatan dari jauh seorang pemanah bertopeng sedang berada di atas seekor kuda. Matanya tidak lepas dari kawasan perlembahan di mana kereta kuda puteri Ok Soo berada. Suasana di bawah sana masih kucar-kacir masing-masing sedang mengambil posisi untuk menyelamatkan puteri OK Soo.
Pemanah bertopeng tiba-tiba mengambil sebatang lagi anak panah lalu diletakkan di atas busurnya cuba membidik kembali, Hang Tuah dari jauh memerhati dengan renungan makrifat, kelihatan pemanah bertopeng tidak meneruskan panahannya tetapi dengan pantas dia berkalih memandang ke kanan. Kini Hang Tuah dan pemanah bertopeng saling berpandangan agak lama juga mereka dalam keadaan begitu seketika pemanah bertopeng mengangkat dan menjulang  benderanya ketika inilah terdengar bunyi ladam kuda yang kuat dari arah cerun bukit. Rupanya pemanah bertopeng sedang memberi isyarat menyerang ke atas rombongan dari Chosun. Kelihatan beratus-ratus kuda mula mendekati rombongan kerajaan Ming dan Chosun.

“Hei Long.” Hang Tuah membisik perlahan. Sepantas itu juga Hang Tuah memacu kudanya meneruni cerun lembah sungguh hatinya terasa resah saat ini, 

Isnin, 17 April 2017

Jeneral Meng Yi


Jenaral Meng Yi merupakan salah seorang jeneral tua yang telah lama bersara dari dunia peperangan, namun maharaja Josun sama sekali tidak pernah membuangnya, jika ada perkara-perkara penting yang melibatkan keamanan negara, pasti maharaja akan memanggil jeneral Meng Yi untuk mendapatkan nasihat.
Walaupun kelihatan fizikalnya nampak tidak begitu gagah namun ianya tetap digeruni oleh setiap komander muda mahupun Jeneral yang mengetuai angkatan perang sekarang. Ini kerana belum ada di antara mereka yang dapat menguasai kemahiran yang disebut "pedang tanpa darah"
Hanya Jenaral Meng Yi yang dapat menguasai kemahiran itu, dan mereka sendiri pernah meihatnya apabila hampir 20 orang pembunuhan upahan yang membuat serang hendap terhadap rombongan maharaja mati ditangannya. Malah lebih mengagumkan tiada setitis darah yang tersisa dimata pedangnya menunjukkan kepantasan serangan beliau terhadap musuh.
Musuh yang baru mula bergerak sahaja tiba-tiba rebah dan mengelupur seperti ayam yang baru disembelih.
Kini dia berdiri gagah di hadapan Laksamana Melayu, dahinya berkerut seribu, hairan menyapa hatinya bagaimana maharaja boleh menaruh kepercayaan kepada laksamana yang baru dikenali ini.
"Apakah hebat benar Laksamana dari Tanah Melayu ini sehingga dihantar ke sini untuk berbakti?"
" Apakah Maharaja China sudah kehilangan pahlawan-pahlawan hebat untuk membantu Maharaja Josun sehingga menghantar wakil dari Tanah Melayu ini.?"
"Kalau begitu aku akan menguji Laksamana ini", bisik Meng Yi di dalam hati.
Laksamana Hang Tuah masih berdiri sepi dan sunyi....



Khamis, 16 Februari 2017

Anak Angkat Maharaja



Bukanlah sekali ini Maharaja selalu meluahkan perasaannya kepada Hei Long malah Hei Long adalah salah seorang jenaral yang sering baginda berkongsi segalanya. Maharaja cukup mempercayai Hei Long.
Bagindalah yang telah mengutip Hei Long ketika kecil semasa menguasai sebuah wilayah di utara China ini, ibu bapanya terkorban dalam peperangan itu, melihat wajahnya ketika itu yang tidak menitiskan air mata malah ketika maharaja sampai dia telah mengambil sebilah pedang dan menghayunnya pada maharaja. Maharaja pantas menyanggah tetakkan pedang yang tidak mampu membunuh seekor kambing pun.

Pedang yang berat itu tidak sepadan dengan tubuhnya yang masih kanak-kanak, namun dia tidak berputus asa masih juga sedaya upaya mengerah kudrat menghayung pedang tersebut.

Melihat keadaan itu Jeneral Meng Yi telah meluru ke hadapan untuk membunuhnya, hampir-hampir sahaja pedang jeneral Meng Yi mencantas leher Hei Long, tiba-tiba berdesing satu bunyi sambil kelihatan percikkan api, rupanya maharaja telah menyanggah tetakkan pedang jeneral Meng Yi dari terkena leher Hei Long.

Terkejut dengan keadaan itu jeneral Meng Yi terus melutut “ampunkan hamba tuanku, hamba bimbang keselamatan tuanku”

“Ha ha ha jeneral Meng Yi kau terlalu memandang rendah kepada beta ya. Apakah tetakkan sebegini boleh membunuh beta?”

“Ampun tuanku! Maafkan patik tuanku.”

Sabtu, 31 Disember 2016

Pertempuran di Perairan Ryukyu


Surat yang diutus oleh Maharaja Ryukyu kepada Maharaja Ming kini berpindah tangan kepada Laksamana Hang Tuah.

Lama Hang Tuah merenung surat tersebut. Sesekali terdengar juga dengusan panas dari dada Laksamana. Apa tidaknya Melayu tidak pernah berbuat onar tanpa sebab dimana sahaja bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung.

Serangan ke atas kapal Melayu yang bergerak ke Ryukyu tanpa sebab benar-benar mencabar Kerajaan Melaka.

Namun titah Baginda Sultan ke Negeri Lingkaran Naga ini tetap perlu diutamakan.

---------------------------
Sejak tadi Maharaja Ming memerhati gelagat Hang Tuah tanpa disedari Hang Tuah sendiri.

"Wahai Laksamana Melaka jangan dilupa kau sudah Beta anggap sebahagian tanah leluhur ini. Raja mu sudah ku anggap saudara ku jua......................."

Pertarungan dengan pemberontakbertopeng


Pukulan dari pemberontak bertopeng begitu pantas sesekali tangannya hanya kelihatan berbayang.
Hang Tuah sedaya upaya mengelak dan menyanggah serangannya. Musuh yang dihadapi ini tidak kurang hebatnya pukulannya keras dan tangkas.
Ketika pertarungan kelihatan seimbang. Hang Tuah dapat merasai desir angin yang meluncur laju ke arahnya,Hang Tuah bertapak mengelek sebilah anak panah melintasi hujung bahunya hanya seinci lagi boleh menebak dadanya.
Dalam waktu yang sama serangan dari pemberontak bertopeng masih bertali arus. Hang Tuah dapat merasai sekali lagi deru angin yang meluncur deras. Namun serangan dari pemberontak bertopeng menyukarkan Hang Tuah untuk mengelak.
Sebilah lagi anak panah meluncur laju ke arah dada Hang Tuah. Hang Tuah hanya mampu mengelek sedikit sahaja namun kelajuan anak panah tersebut diluar jangkaan Hang Tuah.
Anak panah tersebut berjaya hinggap di bahu kanan Hang Tuah namun ianya tidak sempat tembus ke belakang kerana Hang Tuah berjaya menangkap hujung anak panah tersebut menyebabkab kelajuan anak panah tersebut tidak sederas ketika dilepaskan dari busurnya.
Darah merah mulai mengalirni dicelah-celah jari Hang Tuah.....

Isnin, 7 November 2016

Langit

Kota Larangan


Dalam keadaan cemas Laksamana Hang Tuah mengendong Puteri Oksoo, Sawol pengiring Puteri Oksoo menurut dari belakang larian mereka semakin kencang, khuatir penduduk yang mempunyai kepercayaan yang pelik mengejar mereka. Sebentar tadi ketua puak asli itu tewas ditangan Hang Tuah.

Namun dalam pertarungan itu Puteri Oksoo telah tercedera bahu kirinya terkoyak kerana dilibas dengan sebilah sabit, darah masih membuak-buak keluar dari bahunya. Hang Tuah dengan berhati-hati membaringkan Puteri Oksoo di perdu pokok oak . Sawol dengan pantas cuba memberi rawatan kepada Puteri Oksoo.

Dalam keadaan hairan Sawol berkata kepada Laksamana Hang Tuah,” Wahai Laksamana, hamba tidak tahu apa yang terjadi, jika dilihat senjata yang terkena pada tuan puteri tidak diletakkan sebarang racun  namun lukanya seperti tidak mahu memberhentikan darah.”

Sesekali Sawol selaku tabib diraja yang mengiringi Puteri Oksoo mengelap darah yang mengalir dengan sehelai kain khas dari istana. Kain ini jka diletakkan pada luka yang mengalirkan darah ianya dapat memberhentikan darah. Jika ada racun ia akan menyerap sekali racun tersebut. Namun darah puteri Oksoo masih mengalir. Sesekali diletakkan kain tersebut berhampiran hidungnya untuk memastikan telahannya itu betul. Tiada sebarang racun.

Hang Tuah menghampiri mereka berdua.

Puteri Oksoo cuba menggagahi dirinya untuk bangun, “ aku tidak mahu mati di sini, Sawol.”
Mendengar sahaja kata-kata itu, Sawol pantas menggengam tangan Puteri Ok Soo sambil menyandarnya diperdu pokok Oak tersebut.  

“ Jangan bimbang tuan puteri, hamba akan sedaya upaya akan merawat tuan puteri, itulah janji hamba pada tuanku.” Matanya lendirmya mula basah. Puteri Oksoo sudah dianggap sebagai kakaknya. Semenjak kecil dia tidak pernah dilayan seperti seorang hamba, baik dari maharaja mahupun sang puteri sendiri, kerana itu dia sanggup membuat apa sahaja untuk tuan puteri hatta menggadai nyawanya sendiri. Hutang budi di bawa mati itulah prinsip yang dipegang sekian lama.

Sawol bingkas bangun. Puteri Oksoo dalam keadaan lemah mengenggam jari-jemari Sawol, “Sawol, kau mahu ke mana? jangan tinggalkan aku keseorangan di sini.”

“ Tuan puteri hamba perlu mencari beberapa jenis tumbuhan yang boleh memberhentikan darah tuan puteri, boleh jadi dalam hutan yang sebegini tebal ada tumbuhan-tumbuhan begitu.” Sawol mula cemas, dia tidak mahu kehilangan Puteri Oksoo.

Dalam suara yang tersekat-sekat Puteri Oksoo berkata,” Aku tidak izinkan Sawol, aku mahu kau tetap di sini.”

Hang Tuah sejak dari tadi memerhati mereka mula mendekat, “biarlah hamba membantu boleh jadi ikhtiar hamba ini ada gunanya.” Sawol mengangguk pantas. Puteri Oksoo cuba mengukir senyuman, dia langsung terlupa Laksamana Hang Tuahlah yang telah menyelamatkannya sebentar tadi.

Hang Tuah mendongak ke langit melihat sinaran matahari yang memancar ternyata matahari berada tegak di atas kepala. Hang Tuah berkira-kira kemungkinan ini waktu rembang kerana itu darah sukar untuk diberhentikan waktu ini. Itulah ilmu yang pernah dipelajarinya satu ketika dahulu di Gunung Ledang, ilmu perdaran darah dan masa.

Hang Tuah membaca sesuatu, habis sahaja membaca serangkap doa lalu dimasukkan ibu jarinya ke langit mulut, tujuannya untuk mengambil sedikit air liur yang berada di langit mulutnya. Kemudian ibu jarinya diletakkan dibahu Puteri Oksoo yang masih mengalirkan darah.


Lalu dibaca ayat “ Tabbat yada abi lahabiu watab” sambil menarik nafas lalu ditekan ibu jari tersebut ke atas luka puteri Oksoo. Berkerut kening puteri Oksoo menahan sakit.

Rabu, 19 Oktober 2016

Makluman Buat Pembaca Yang Disayangi

Buat para pengikut kisah Datuk Laksamana Hang Tuah dalam Novel Kota Larangan ini mohon kemaafan dari semua, kerana buat masa ini saya perlu menghentikan sambungan kisah ini memandangkan saya berhajat untuk menghantarnya kepada penerbit. namun begitu untuk mengubat rindu para pembaca sesekali saya akan naikkan post baru yang lebih berbentuk sub plot kisah. Jadi selepas ini kisah ini tidak mengikut urutan cerita atau bab. 

semoga dapat mengubat rindu para pembaca yang membaca kisah yang tidak seberapa ini.