Khamis, 14 Januari 2021

Kepulangan Hang Jebat

K E P U L A N G A N HANG JEBAT

Setelah bermesyuarat kata sepakat telah diperolehi, Hang Jebat di arahkan pulang terlebih dahulu untuk membantu Kerajaan Pattani menghadapi tentangan dari Kerajaan Siam.


Hang Tuah dan Datuk Bendahara masih berada di negeri Lingkaran Naga. Ada beberapa lagi perkara yang perlu diselasaikan. Maharaja Ming juga telah memberi kebenaran kepada Hang Jebat, malah sebelum Hang Jebat berangkat ke Pattani, Maharaja China itu telah memberi tawaran agar di bawa sepuluh armada angkatan perang China untuk menewaskan Kerajaan Siam.


Namun Hang Jebat menolak dengan baik, memandangkan Hang Jebat sendiri belum mendapat titah baginda Yang Mulia Sultan Melaka.

DERMAGA SERIBU LAYAR
___________________________

berkata Hang Jebat " Abang Tuah, nampaknya kami perlu berangkat sekarang?"

Hang Tuah memandang tepat ke wajah Hang Jebat sesekali dia memandang ke kaki langit.

Andika yang memerhatikan dua sahabat itu memberinakn diri bertanya : abang Tuah, apakah yang sedang bermain difikiran abang Tuah kala ini.?"


Hang Tuah pantas berkalih wajahnya pada Andika seraya tersenyum..."hmm... kau antara yang mahir membaca riak wajah Andika"

Andika mempamerkan giginya yang putih terasa gembira juga bila dipuji Laksamaan Hang Tuah.

" Apa bicaramu Jebat?" Hang Tuah lalu bertanya soalan kepada Hang Jebat.

Hang Jebat yang sedari tadi diam menjawab " menurut firasat ku, kepulangan ke Tanah Emas kali ini seperti ada geruhnya, Tuah. Utusan dari Melaka juga telah menceritakan ada perkara ganjil telah berlaku di Melaka dalam masa yang sama Kerajaan Pattani juga sedang menghadapi ancaman dari Ayuttaya dan memohon Kerajaan Melaka untuk membantunya"

"Apakah kau yakin boleh menghadapinya Jebat? akhirnya keresahan itu terluncur juga dari mulut Hang Tuah.

"Insya Allah...Semoga kami memperolehi bantuan dari Ar-Rahman?" jawap Hang Jebat.

Andika yang dari tadi mendengar perbualan dua hulubalang terhandal Melaka itu mencelah " Abang Tuah semalam aku telah bermimpi, mimpi aku aneh sekali."

"apa mimpi mu Andika?" Soal Hang Tuah.

"Semalam aku telah bermimpi, kelihatan ada hujan hitam yang turun dari langit, tapi yang lebih aneh tiba-tiba ada seekor burung hijau keluar dari mulutku, kemudian entah bagaimana aku dibawa masuk ke dalam perut ibuku kembali. Pelik benar mimpi aku ini dan aku belum pernah mimpi sebegini dalam seumur hidup ku ini, abang Tuah" cerita Andika pada Hang Tuah.

Hang Tuah yang mendengar kisah mimpi Andika itu lalu menjawab " mohonlah perlindungan dari Allah, Andika" kemudian Hang Tuah memeluk Andika dngan pelukan yang cukup erat dan lama.

Setelah melepas pelukan Hang Tuah berkata " semoga Allah beri kemenangan kepada semua, ingat jangan sesekali gentar menghadapi apa sahaja dugaan berdoa kepada Allah dengan sebulat hati memohon pertolongan dari Allah"


Rabu, 25 Mac 2020

Dendam Yang Membara







Yaaargh! Xue Lang menjerit nyaring lalu kembali membuat serangan kepada Hang Tuah, Hang Jebat terundur ke belakang, kelihatan Xue Lang seperti sudah kerasukkan lagaknya. Hang Tuah pantas mengelak dan kembali bertarung.


Asakan yang kuat menyebabkan Hang Tuah tersandar pada kerusi kayu di ruang tamu itu. Xeu Lang merasakan ini adalah peluang keemasan untuk membunuh Hang Tuah,


Xue Lang mengangkat tinggi pedangnya dia telah mengerah seluruh tenaganya untuk menetak Hang Tuah. Tetapi dengan tidak semena-mena Xue Lang memberhentikan serangannya secara mendadak dan membuat lompatan yang pantas ke belakang.


Matanya liar memandang ke kiri dan ke kanan seperti sedang mencari sesuatu, hidungnya tersiruk-siruk menghidu bau yang sangat dikenalinya itu. “Mustahil...mustahil” gumam Xue Lang.


“Jahanam nampaknya kau masih hidup!benar-benar nyawamu memang liat hahahaha”, tiba-tiba Xue Lang ketawa berdekah-dekah.


“Aku mempunyai peluang kedua untuk membunuh kau” Xue Lang berkata-kata bagaikan orang kerasukan.


Hang Tuah dan Hang Jebat yang berada di situ juga hairan dengan tingkahlaku Xue Lang. Dalam sekelip mata tumpuan Xue Lang bukan lagi kepada pertarungan dengan Hang Tuah tetapi dia sedang mencabar seseorang.


“Keluarlah kau jahanam! aku sudah lama menanti saat ini, hanya kerana laksamana Melayu yang taat ini menyebabkan aku terpaksa bermusuhan dengannya, ini semua berpunca daripada kau. Tunjukkanlah diri kau Naga Hitam!” Xue Lang mula mencabar.


“Naga Hitam, bukankah dia sudah mati?” tanya Hang Jebat kepada Hang Tuah


“Ya itulah yang dikhabarkan oleh tiga orang angkatan perang yang mengiringinya ketika cuba mendapatkan rawatan” Jawab Hang Tuah.


“Ha! Ha! Ha! Naga Hitam marilah kita langsaikan dendam yang lama ini, Hari ini antara kita berdua pasti ada yang akan mati”’ jerit Xue Lang.




Ketika inilah daun pintu rumah Xue Lang ditolak perlahan oleh seseorang, semua mata memandang ke arah pintu tersebut. Kelihatan susuk tubuh seseorang dengan wajahnya ditutup sehelai kain, hanya bahagian matanya sahaja yang kelihatan.


Berkata Xue Lang dengan angkuh “Ha! Ha! Ha! Kemarilah Hei Long, jangan lagi kau menyamar kerana hidungku ini belum pernah menipu aku”  


lelaki itu kemudian dengan perlahan membuka kain yang menutup wajahnya.


“Ah! Hei Long...” Hang Tuah yang agak terkejut dengan apa yang dilihatnya sekarang.


“Bukankah tuan hamba telah dikatakan mati ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan” Soal Hang Tuah  dalam keadaan terkejut.


“Sahabatku Tuah, benar aku sebenarnya telah mati. Mati dalam rahsia. Apakah maharaja mengetahaui hal ini” balas Hei Long dengan tenang


“Ya, dan seisi istana telah melakukan upacara mengingati kematian tuan hamba” jawab Hang Tuah.


“Kalau begitu biarkanlah sehingga masa yang akan menentukannya” jawab Hei Long.


“Ha! Ha! Ha!Jangan risau Hei Long hari ini aku akan memastikan kematian kau dan sekali ini kau akan benar-benar mati” jerkah Xue Lang.


Hei Long dalam keadaan keliru kemudian bertanya kepada Xue Lang “sungguh aku tidak pasti mengapa kau begitu berdendam dengan aku, Xue Lang, seingat aku kau tidak pernah aku sakiti, tambahan lagi kau berada pada posisi lain dalam angatan perang Ming”


Kata-kata Hei Long sebenarnya menambah api di dada Xue Lang “Cis! Manusia yang bongkak seringkali sahaja melupakan kejahatannya.


Dengan rasa kesal Hei Long berkata, “Sungguh, kau amat membenci aku serigala salji, Hei Long mengeluh perlahan sambil menyebut gelaran yang diberikan maharaja kepadanya. Tetapi sehingga saat ini aku masih belum faham apakah perkara yang sangat kau dendamkan kepada aku. Ya! aku akui aku manusia yang jahat satu ketika dahulu. Aku ibarat manusia yang bertopengkan syaitan. Aku menyesal dengan apa yang telah aku lakukan dan aku ingin menebus segala kesalahan aku. Jika kematianku boleh menghilangkan kebencian yang sedang bersarang di dalam jiwamu, Xue Lang maka aku sanggup mati ditangan seorang Komander perang yang terhebat”


“Apa kau masih mahu menghina aku Naga HItam. Aku mahu kau mati sebagai Hei Long, sebagai Jeneral yang gagah, bukan sebagai seorang pengecut yang menyerah diri” jawab Xue lang dengan berang.


“Bersiap sedialah Hei Long hari ini antara kita berdua pasti akan ada yang menjadai mayat”, Serigala Salji sudah mula membuka langkah kungfunya tangannya digenggam keras.


“Jika itu yang kau mahukan serigala salji. Aku Hei Long si Naga Hitam menyahut cabaran ini” kali ini Hei Long menjawab dengan nada keras. Semangat Naga Hitam telah kembali menyarung dirinya.


Serigala Slji memulakan serangan tangannya laju membuat tumbukan ke arah Naga Hitam. Hang Tuah dan Hang Jebat yang melihat situasi itu tergamam seketika, masing-masing sedang memikirkan apakah langkah terbaik untuk menyelesaikan persengketaan ini. Kedua-dua mereka adalah sahabat bagi mereka berdua. Malah lebih daripada itu mereka adalah saudara seIslam.


Yang pasti kedua-dua hulubalang Tanah Melayu ini tidak jelas apakah api sengketa yang berlaku antara mereka berdua....




Isnin, 17 Februari 2020

#kotalarangantuah
#jebatdracula

Pertarungan dengan Shinobi bukan semudah meneguk air yang dingin.
-----------------

Pukulan curi itu  menyebabkan Hang Jebat terseret ke tanah.

Terasa kemarahan menjalar dihati. Dalam keadaan yang sukar Hang Jebat kembali berdiri. Namun ketika mula cuba mengatur serangan terdengar seperti ada suara yang mengingatkan dirinya.

"Kemarahan akan menghancurkan diri mu wahai anakku."

"Guru?". Hang Jebat seperti tersedar dari khilafnya suara yang terdengar dimindanya tadi ialah suara sang guru yang banyak mendidiknya satu ketika dahulu, satu memori yang  tiba-tiba menyinggahi hatinya disaat genting ini.

Hang Jebat beristighfar - kembali meraih ketenangan dari yang Esa. Dia tahu lawannya kali ini bukan sebarangan-lawan yang mempunyai hikmat yang aneh.
Lawannya kelihatan seperti sesumpah yang boleh menyerupai alam sekeliling malah boleh hilang di depan mata seperti jambalang hutan.

Benar-benar di bumi Edo ini ilmu tua hulubalang Melayu teruji.

Hang Jebat berdiri tegak-memeluk tubuhnya sendiri lalu dibaca pustakanya.

........................

Nafas apung mula berombak di dada-perlahan-lahan deria bau dan deria bunyi dipacu dengan dengan sepenuh tumpuan.

Ilmu yang pernah diajar oleh sang guru menjadi taruhan. Malah ilmu deria bau yang diajar oleh Serigala salji juga dipadukan bersama.

Hah! Ilmu tanah besar negeri China ini akan kupadukan bersama ilmu tua dari nusantara.

-------------
Gambar sekadar hiasan. He he he

Ahad, 26 Januari 2020

Pertarungan di Pattani



Sempadan Ayuttthaya-Pattani



Sok Wee sudah berhenti menyerang, mengatur pernafasan yang mulai goyah.

 Lelaki dihadapannya diperhati dengan rasa kagum. Belum ada mana-mana pahlawan Pattani yang berjaya bertahan dalam 17 serangannya.

Kebanyakkannya hanya mampu bertahan dalam 10 serangan sahaja dan mereka biasanya akan tewas. Sudah begitu lama dia mengkaji dan mendalami segala teknik pertempuran dan beladiri tentera Pattani dan hampir kesemua rahsia berada ditangannya.

Namun lelaki dihadapannya dengan mudah berjaya mengelak hampir semua serangannya, kepantasan dan ketangkasan yang amat mengagumkan.

Sok Wee-Aku tidak pasti apakah kau hulubalang Pattani atau bukan. Namun jangan begitu gembira masih ada sesuatu yang ingin aku tunjukkan wahai orang muda.

Hang Jebat- (hanya tersenyum)

#kotalarangantuah

Isnin, 15 Julai 2019

ZAITUN


" Ini bicara ilmu sejengkal. Akan ku nukilkan asal usulnya.  Adapun ilmu sejengkal ini bermulanya ia dari pusat perutmu di jengkal guna jari kananmu.


Mengapa mulanya di pusat perutmu?  Kerana di sana bermulanya kamu. Itulah berpintal tali pusatmu yang dahulunya sambung menyambung kepada ibumu. Tinggal kamu di situ sehingga kiraan waktu, sembilan purnama berada di situ di tempat gelap, di tempat sunyi tetapi Selamat dan kuat maka itu di sebut rahim ibumu. 


Maka adapun begitu maka lihat lah akan pusatmu itulah luka itulah parut yang tiada hilang walau ditaruh seribu obat seribu penawar. Maka tetaplah parut itu sampai tiba ajalmu. 

Maka ingatlah wahai anak didik ku maka jangan sekali-kali kamu  menderhakai ibumu. Kerana parut pusat itu  patut mengingatkan kamu setiap hari pada ibumu hatta waktu mandi mu, maka segulung doa dan sedulang Al-Fatihah wajib kau kirimkan pada ibumu. Kerana itu, kamu wahai anak didik ku ,wajib  mentaati ibumu. Kerana itu seru dan perintah dari Allah Tuhan yang satu. 


Maka akan kerana itu bersusur galur pula petua dan ilmu yang lain maka akan tiba ilmu itu di namakan ilmu sarung fatihah ilmu balang dalam balang dan ilmu gerak di dalam bayang. 


Maka bagaimana pula keadaan ibumu maka berpintal bersambung pula dengan ayahmu......."


Bulat mata lendir ku apabila mendengar bicara Pak Ku kali ini, bahasanya seperti bahasa lama tetapi aku masih faham. Sekilas aku menjeling Arissa di sisi ayahnya tampak dia sedang khusyuk mencatat isi tazkirah ayahnya di Tablet Samsung 10.1 miliknya sesuatu yang aku jarang lakukan ketika mendengar bicara Pak Ku. 

"Nampaknya aku kena berlajar sesuatu dari gadis berdarah kacukan Arab-Melayu ini."

Sabtu, 13 Julai 2019

Amuk Si Jebat


Malam itu Hang Jebat mengamuk, boleh jadi kemarahan yang meluap menyebabkan dia terlupa yang dia sedang mengamuk di perkarangan istana. Lebih menakutkan dia mengamuk di hadapan Yang Mulia Sultan Melaka.

Malam itu jangankan pembesar Melaka berasa kecut perut malah hulubalang-hulubalang Melaka juga terkesima.

Masing-masing tidak terkata apa Jebat sudah ibarat gajah benta, harimau menyongsang dikelopak mata bagai beruang yang terluka.

Malam itu juga malam bertuah buat hamba malah menjadi kegemparan pembesar-pembesar Melaka dan menjadi kekaguman seluruh rakyat jelata apabila melihat sendiri keampuhan Sultan Melaka. 

Apa yang berlaku?
Mengapa Jebat mengamuk?
Apakah rahsia sultan Melaka?
Apakah kehebatan Yang Mulia Sultan Melaka?



__________________________________
Ah! kau hanya mecebik dan tidak habis² hanya mendengdangkan kejahatan segala Sultan.

Apa kau ingat tidak ada Sultan Melayu yang berhati mulia berjiwa perkasa.

Apakah penjajah telah berjaya menjahanam rasa kau yang ada di dalam dada.

TARI HANG TUAH

TARI HANG TUAH



Sudah lima hari mereka meredah hutan belantara ini sudah hampir tiga gunung mereka daki. Perjalanan untuk kembali ke Kota Larangan bukan semudah yang disangka.

Malam ini sebaik menghidupkan unggun api. Hang Tuah merebah dirinya ke tanah. Matanya galak menatap bintang-bintang  yang bertaburan di dada langit-Indah

Suasana malam itu terasa begitu sunyi. Sesunyi hatinya. Hanya yang kedengaran bunyi-bunyi unggas yang merentasi setiap penjuru hutan, barang kali bunyi itu adalah zikir mereka kepada Yang Maha Mengetahui.

Puteri Ok Soo hanya melihat kosong ke arah Laksamana.

 " Entah apa yang sedang bermain difikiran laksamana itu ya, tuan puteri? Soal Sawol memecah kesunyian malam itu.

"Entahlah", pendek sahaja jawap Puteri OK Soo.

Tiba-tiba Hang Tuah bingkas bangun. Menyebabkan Puteri Oksoo dan Sawol agak terkejut masing-masing memandang kepada Hang Tuah, risau mereka jika ada kejahatan yang tidak disangka.

Namun keadaan kembali tenang apabila mereka melihat Hang Tuah hanya berdiri tegak. Matanya dipejam rapat-wajahnya kelihatan tenang. tangan kanannya di letakkan di atas tangan kiri menutup kawasan pusatnya. Bagai sedang Qiam solat lagaknya

Tiba-tiba Hang Tuah mengangkat tangan separa kepala membawa perlahan tangannya- aliff membelah alam.

Aku berdiri menyongsong angin
Sedia menanti di pintu Ali 
Sesekali menikam ke tulang sulbi 
Tiadalah lut si sidi sakti

Aku seru semangat sakti 
Raja seguntang asal diberi
luk tujuh dilanggir kasturi
kemenyan nan tujuh dibara api

sebelum ajal berpantang mati.

Hang Tuah melangkah kiri mendepa tangan membawa diri tangan dilimbai badan bertari kaki berdiri.

Sawol dalam keadaan hairan berbisik perlahan kepada Puteri OK Soo " Apa yang sedang dilakukan oleh Laksamana?  pelik sahaja tingkah lakunya. Adakah dia sedang menari untuk menghiburkan hati?"

.................

Ahad, 7 Julai 2019



MUSAFIR



Istana Singgah Maharaja Choson

Hang Jebat mundar mandir di dalam bilik istana singgah maharaja Chosun sesekali dia menyentuh tiang seri yang ada di penjuru bilik tersebut sambil matanya liar memandang sekeliling bilik tersebut.


“Ternyata Maharaja Choson mempunyai kekayaan yang begitu banyak”, gumam Hang Jebat dengan nada perlahan.


Hang Tuah yang dari tadi sedang bersila kemas dianjung bilik istana tersebut hanya menyambut dengan senyuman kepada Hang Jebat apabila Hang Jebat melontarkan kata-katanya.


“Namun kekayaan tanpa aturan yang benar pasti akan mendatangkan kecelakaan, Melaka juga tidak akan terlepas dari bencana tersebut jika Yang Mulia Sultan tidak mengambil pengajaran dari setiap apa yang berlaku di negara-negara lain ini.


“Benar kata mu Jebat, dan kegalauan kau juga sebenarnya  menjadi kerisauan dihati Datuk Bendahara, sudah terdengar di istana sultan ada menteri-menteri yang telah menyalahgunakan kuasa dan menghimpun kekayaan dengan jalan yang salah. Jika Yang Mulia Sultan tidak mengekangnya pasti sesuatu yang buruk akan berlaku”, jawab Hang Tuah sambil menghela nafasnya.

Khali.

“Abang Tuah kita telah lama bermusafir bersama, malah tidak kita sangka kedatangan kita ke negeri lingkaran naga ini untuk mengeratkan hubungan diplomatik antara Melaka dan China telah mengheret sekali rombongan kita ini dalam kencah politik China dan Choson. Hamba bimbang masalah ini akan membahayakan Melaka suatu hari nanti”, Hang Jebat menyatakan apa yang terbuku dihatinya kepada Hang Tuah.

“Benar katamu Jebat...benar...kita tersepit antara permintaan maharaja China dengan titah sultan namun apa yang kita lakukan ini juga sebenarnya menepati keinginan Baginda Sultan Melaka. Jika kita berjaya menyelesaikan masalah ini hubungan China dan Melaka akan lebih rapat malah yang lebih penting kita dapat meraih kepercayaan maharaja  China dan sudah tentu maharaja Chosun juga akan terhutag budi dengan Yang Mulia Baginda Sultan Melaka”, Jawab Hang Tuah.


Tiba-tiba bilik yang mereka diami itu mengapung bau kemenyan yang harum, pantas Hang Jebat mengalih pandangannya pada Hang Tuah. Ternyata Hang Tuah sedang membakar kemenyan di dalam dupa yang dibawanya. Hang Jebat hanya memerhati perbuatan Hang Tuah dia tahu ini antara amalan yang pernah diajar oleh Pendeta Adiputra satu ketika dahulu dan biasanya jika ada tugas yang penting maka amalan ini akan diamalkan.


Hang Tuah menanggal ‘baju sikapnya’ kemudian diikat kemas kain cindai dipinggang sebagai bengkung. Telapak tangannya ditakup ke atas dupa yang sedang membakar kemenyan, asap kemenyan menampung di atas telapak tangan Hang Tuah dengan perlahan Hang Tuah meraup asap kemenyan itu ke muka dan menyapunya diseluruh tubuhnya yang kekar itu. Diulangi sebanyak tujuh kali. Sambil meraup mulutnya membaca sesuatu.


Selesai memperasap tubuhnya sekali lagi Hang Tuah mengasap tangannya kali ini ada satu serbuk halus bewarna putih yang dilumur dari telapak tangan sehingga ke pangkal siku, sekali lagi Hang Tuah mengasap tangannya dengan kemenyan. Hampir lima belas minit barulah Hang Tuah berhenti.


“Apakah abang Tuah akan bertarung pada esok pagi?" soal Hang Jebat dalam nada gelisah.


"Tidak pasti lagi Jebat, aku hanya mempersiapkan diri untuk esok jika ada geruh yang tidak dapat dielak maka aku hadap dengan persiapan yang ada ini",Jawab Hang Tuah jujur.


"Kalau begitu  esok aku akan menemani abang Tuah, alang-alang kita telah berada di sini jika ada yang mahu menguji, biar kita berdua yang berhadapan dengan segala sengketa"' cadang Hang Jebat.


"Tidak Jebat! Esok hanya aku yang akan ke istana maharaja, katanya maharaja mahu bertemu dengan aku seorang sahaja. Kau harus tetap di sini jangan dilupai titah baginda Sultan jika apa-apa berlaku ke atas aku maka kau yang akan menjadi galang-gantinya"' Jawab Hang Tuah dengan tegas.

Hang Jebat terdiam jiwanya berat untuk membiarkan abang Tuah mengadap maharaja Chosun seorang diri. Tetapi titah baginda Sultan tidak boleh dimungkiri.


"Jangan terlalu banyak berfikir Jebat, Insya Allah tiada apa yang akan berlaku nanti"' Hang Tuah cuba memujuk kegalauan dihati Hang Jebat.


Istana Maharaja Chosun

Jenaral Meng Yi merupakan salah seorang jeneral tua yang telah lama bersara dari dunia peperangan, namun maharaja Chosun sama sekali tidak pernah membuangnya, jika ada perkara-perkara penting yang melibatkan keamanan negara, pasti maharaja akan memanggil jeneral Meng Yi untuk mendapatkan nasihat.

Walaupun kelihatan fizikalnya nampak tidak begitu gagah namun ianya tetap digeruni oleh setiap komander muda mahupun jeneral yang mengetuai angkatan perang sekarang. Ini kerana belum ada di antara mereka yang dapat menguasai kemahiran yang disebut "Pedang Tanpa Darah"

Hanya Jenaral Meng Yi yang dapat menguasai kemahiran itu, dan mereka sendiri pernah meihatnya apabila hampir 20 orang pembunuhan upahan yang membuat serang hendap terhadap rombongan maharaja mati ditangannya. Malah lebih mengagumkan tiada setitis darah yang tersisa dimata pedangnya menunjukkan kepantasan serangan beliau terhadap musuh. Musuh yang baru mula bergerak sahaja tiba-tiba rebah dan mengelupur seperti ayam yang baru disembelih.


Kini dia berdiri gagah di hadapan Laksamana Melayu, dahinya berkerut seribu, hairan menyapa hatinya bagaimana maharaja boleh menaruh kepercayaan kepada laksamana yang baru dikenali ini.

"Apakah hebat benar Laksamana dari Tanah Melayu ini sehingga dihantar ke sini untuk berbakti?"

" Apakah Maharaja China sudah kehilangan pahlawan-pahlawan hebat untuk membantu Maharaja Chosun sehingga menghantar wakil dari Tanah Melayu ini.?"

"Kalau begitu aku akan menguji Laksamana ini", bisik Meng Yi di dalam hati.

Laksamana Hang Tuah masih berdiri sepi dan sunyi....



-------------------------------
Tambahan
1. Kalau Apak rajin Apak cerita tentang kemenyan dan doa yang dibaca Hang Tuah dalam novel nanti. hehehehe

2. Patutnya ada daun sireh terlupa lah pula haahahah....lain kalilah Apak cerita.

Jumaat, 5 Julai 2019

HUJAN



HUJAN

Sudah dua hari armada perang China yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah membelah laut China kini mereka sudah sampai di sempadan antara perairan Ryukyu dan lautan Pasifik, ketika melalui beberapa wilayah perairan di Laut China banyak kapal-kapal yang ada dilaut tersebut cuba mengelak atau bertembung dengan armada perang China, ada sebaghagian rakyat Cina yang berada di laut sebagai nelayan melambai-lambai kapal armada perang ini, mereka bangga dengan kekuatan yang dimiliki oleh negara mereka. 

Mereka juga sudah maklum jika ada armada sebesar ini, biasanya akan ada peperangan yang akan  berlaku dan mereka belum pernah mendengar berita kekalahan angkatan laut negara mereka.

Ketika ini armada perang China sudah mula memasuki perairan Ryuku cuaca yang tadi cerah tiba-tiba menjadi mendung, awan hitam yang entah dari mana bergumpal-gumpal di dada langit seolah-olah menuju ke arah armada perang ini. Angin mula bertiup dari sepoi-sepoi bahasa kini semakin kencang air laut mula berkocak-kocak tidak seperti kebiasaanya.

“Abang Tuah, sepertinya ada sesuatu yang tidak kena” tiba-tiba Hang Jebat bersuara. Sejak dari tadi dia memandang gumpalan awan yang pelik itu.

“ Benar katamu Jebat”, Hang Tuah mengiyakan telahan Hang Jebat.

“Apa bicara mu lagi,Jebat?” Soal Hang Tuah.

“Angin yang bertiup ini jika dilihat tidak akan membawa hujan” Hang Jebat memberi pandangannya.

Laksamana Cheng Mo yang juga berada di situ memberanikan diri untuk bertanya. Sejak tadi dia hanya memerhatikan dua pahlawan Melaka itu berbicara.

“Mengapa tuan hamba berkata demikian, bukankah awan yang gelap biasanya akan menandakan hujan akan turun dan pada perkiraan aku hujan akan lebat sebentar lagi” Soal Laksamana Cheng Mo dalam nada tidak puas hati kepada Hang Jebat.

“Kamu benar Laksamana Cheng Mo, itu adalah kebiasaanya yang ada pada tanda alam semulajadi, namun ada petanda lain yang boleh dilihat untuk menguatkan lagi petanda tersebut, sama ada ianya adalah aturan yang biasa atau tidak” jelas Hang Jebat.

Laksamana Cheng Mo tersenyum sinis, dia melihat Hang Jebat seperti awak-awak kapal yang baru belajar belayar dilautan besar dan tidak tahu cuaca yang berlaku ditengah-tengah perut laut ini boleh sahaja berubah-rubah tanpa di duga.

“Jelaskanlah lagi panglima, Jebat aku tidak begitu jelas bicaramu” Soal Laksamana Cheng Mo dengan nada mengejek.
“Angin yang bertiup semakin kencang ini tidak membawa bau hujan” balas Hang Jebat 

“Bau hujan!?” Soal Laksamana Cheng Mo dengan nada terkejut.

Sekali ini Laksamana Cheng Mo terdiam, fikirannya deras memikirkan seseorang. Adakah Panglima Melaka ini ada kebolehan seperti Komander Pemanah Biru , Xue Lang?

Tik! Tik! Tik! Hujan mula turun semakin lama semakin lebat.
“Ha! Ha! Ha!...kan sudah aku katakan hujan pasti akan tiba, telahan kamu, Panglima Melayu salah sama sekali” Laksamana Cheng Mo dan enam orang lagi nakhoda kapal perang china ini mula ketawa sesama mereka.

Duum!...Tiba-tiba satu bunyi hentaman yang kuat menghentikan perbualan mereka, masing-masing menoleh ke sisi kanan. Kapal perang yang ke tujuh telah melanggar kapal perang ke enam, ada beberapa anak kapal yang tercampak ke dalam laut. 

Air laut pula semakin bergelora. Laksamana Cheng Mo terperanjat dengan situasi itu, “bagaimana ini boleh berlaku? Padahal jarak kapal perang ke tujuh  jauh dari kapal perang ke enam”soal Laksamana Cheng Mo pada nakhodanya.

Masing-masing terdiam.

Armada perang China kini terolek-olek ke atas dan ke bawah air laut yang tadi tenang mula mengganas, hujan yang lebat pula menyebabkan pergerakkan anak-anak kapal terhad, ribut mula menunjukkan kekuatannya. Petir juga mula memanah ke dada langit.

“ Jebat! Apa bicara mu kali kini”? Hang Tuah kembali menyoal Hang Jebat yang dari tadi memandang sekeliling kapal, jarang Hang Jebat berada dalam keadaan gelisah sebegitu. 

Kelihatan kabus nipis mula melanggar armada perang ini.

Hang Jebat pantas mencabut keris di pinggangnya dilurut-lurut jarinya pada hulu keris tersebut sebaik buat begitu Hang Jebat menadah air hujan ketapak tangan, kemudian di sapu dikedua belah cuping telinganya seperti orang sedang berwuduk.

Matanya terpejam rapat, lidahnya berkumat-kamit. Hang Tuah hanya memerhati. Laksamana Cheng Mo dan enam nakhoda kapal yang lain hanya memerhati namun ada juga yang tersenyum kambing melihat tingkah Hang Jebat.

Beberapa saat Hang Jebat mengangkat kelopak matanya. Wajahnya kelihatan terkejut “ Cis! Permaianan syaitan” getus Hang Jebat.