Isnin, 15 Julai 2019

ZAITUN


" Ini bicara ilmu sejengkal. Akan ku nukilkan asal usulnya.  Adapun ilmu sejengkal ini bermulanya ia dari pusat perutmu di jengkal guna jari kananmu.


Mengapa mulanya di pusat perutmu?  Kerana di sana bermulanya kamu. Itulah berpintal tali pusatmu yang dahulunya sambung menyambung kepada ibumu. Tinggal kamu di situ sehingga kiraan waktu, sembilan purnama berada di situ di tempat gelap, di tempat sunyi tetapi Selamat dan kuat maka itu di sebut rahim ibumu. 


Maka adapun begitu maka lihat lah akan pusatmu itulah luka itulah parut yang tiada hilang walau ditaruh seribu obat seribu penawar. Maka tetaplah parut itu sampai tiba ajalmu. 

Maka ingatlah wahai anak didik ku maka jangan sekali-kali kamu  menderhakai ibumu. Kerana parut pusat itu  patut mengingatkan kamu setiap hari pada ibumu hatta waktu mandi mu, maka segulung doa dan sedulang Al-Fatihah wajib kau kirimkan pada ibumu. Kerana itu, kamu wahai anak didik ku ,wajib  mentaati ibumu. Kerana itu seru dan perintah dari Allah Tuhan yang satu. 


Maka akan kerana itu bersusur galur pula petua dan ilmu yang lain maka akan tiba ilmu itu di namakan ilmu sarung fatihah ilmu balang dalam balang dan ilmu gerak di dalam bayang. 


Maka bagaimana pula keadaan ibumu maka berpintal bersambung pula dengan ayahmu......."


Bulat mata lendir ku apabila mendengar bicara Pak Ku kali ini, bahasanya seperti bahasa lama tetapi aku masih faham. Sekilas aku menjeling Arissa di sisi ayahnya tampak dia sedang khusyuk mencatat isi tazkirah ayahnya di Tablet Samsung 10.1 miliknya sesuatu yang aku jarang lakukan ketika mendengar bicara Pak Ku. 

"Nampaknya aku kena berlajar sesuatu dari gadis berdarah kacukan Arab-Melayu ini."

Sabtu, 13 Julai 2019

Amuk Si Jebat


Malam itu Hang Jebat mengamuk, boleh jadi kemarahan yang meluap menyebabkan dia terlupa yang dia sedang mengamuk di perkarangan istana. Lebih menakutkan dia mengamuk di hadapan Yang Mulia Sultan Melaka.

Malam itu jangankan pembesar Melaka berasa kecut perut malah hulubalang-hulubalang Melaka juga terkesima.

Masing-masing tidak terkata apa Jebat sudah ibarat gajah benta, harimau menyongsang dikelopak mata bagai beruang yang terluka.

Malam itu juga malam bertuah buat hamba malah menjadi kegemparan pembesar-pembesar Melaka dan menjadi kekaguman seluruh rakyat jelata apabila melihat sendiri keampuhan Sultan Melaka. 

Apa yang berlaku?
Mengapa Jebat mengamuk?
Apakah rahsia sultan Melaka?
Apakah kehebatan Yang Mulia Sultan Melaka?



__________________________________
Ah! kau hanya mecebik dan tidak habis² hanya mendengdangkan kejahatan segala Sultan.

Apa kau ingat tidak ada Sultan Melayu yang berhati mulia berjiwa perkasa.

Apakah penjajah telah berjaya menjahanam rasa kau yang ada di dalam dada.

TARI HANG TUAH

TARI HANG TUAH



Sudah lima hari mereka meredah hutan belantara ini sudah hampir tiga gunung mereka daki. Perjalanan untuk kembali ke Kota Larangan bukan semudah yang disangka.

Malam ini sebaik menghidupkan unggun api. Hang Tuah merebah dirinya ke tanah. Matanya galak menatap bintang-bintang  yang bertaburan di dada langit-Indah

Suasana malam itu terasa begitu sunyi. Sesunyi hatinya. Hanya yang kedengaran bunyi-bunyi unggas yang merentasi setiap penjuru hutan, barang kali bunyi itu adalah zikir mereka kepada Yang Maha Mengetahui.

Puteri Ok Soo hanya melihat kosong ke arah Laksamana.

 " Entah apa yang sedang bermain difikiran laksamana itu ya, tuan puteri? Soal Sawol memecah kesunyian malam itu.

"Entahlah", pendek sahaja jawap Puteri OK Soo.

Tiba-tiba Hang Tuah bingkas bangun. Menyebabkan Puteri Oksoo dan Sawol agak terkejut masing-masing memandang kepada Hang Tuah, risau mereka jika ada kejahatan yang tidak disangka.

Namun keadaan kembali tenang apabila mereka melihat Hang Tuah hanya berdiri tegak. Matanya dipejam rapat-wajahnya kelihatan tenang. tangan kanannya di letakkan di atas tangan kiri menutup kawasan pusatnya. Bagai sedang Qiam solat lagaknya

Tiba-tiba Hang Tuah mengangkat tangan separa kepala membawa perlahan tangannya- aliff membelah alam.

Aku berdiri menyongsong angin
Sedia menanti di pintu Ali 
Sesekali menikam ke tulang sulbi 
Tiadalah lut si sidi sakti

Aku seru semangat sakti 
Raja seguntang asal diberi
luk tujuh dilanggir kasturi
kemenyan nan tujuh dibara api

sebelum ajal berpantang mati.

Hang Tuah melangkah kiri mendepa tangan membawa diri tangan dilimbai badan bertari kaki berdiri.

Sawol dalam keadaan hairan berbisik perlahan kepada Puteri OK Soo " Apa yang sedang dilakukan oleh Laksamana?  pelik sahaja tingkah lakunya. Adakah dia sedang menari untuk menghiburkan hati?"

.................

Ahad, 7 Julai 2019



MUSAFIR



Istana Singgah Maharaja Choson

Hang Jebat mundar mandir di dalam bilik istana singgah maharaja Chosun sesekali dia menyentuh tiang seri yang ada di penjuru bilik tersebut sambil matanya liar memandang sekeliling bilik tersebut.


“Ternyata Maharaja Choson mempunyai kekayaan yang begitu banyak”, gumam Hang Jebat dengan nada perlahan.


Hang Tuah yang dari tadi sedang bersila kemas dianjung bilik istana tersebut hanya menyambut dengan senyuman kepada Hang Jebat apabila Hang Jebat melontarkan kata-katanya.


“Namun kekayaan tanpa aturan yang benar pasti akan mendatangkan kecelakaan, Melaka juga tidak akan terlepas dari bencana tersebut jika Yang Mulia Sultan tidak mengambil pengajaran dari setiap apa yang berlaku di negara-negara lain ini.


“Benar kata mu Jebat, dan kegalauan kau juga sebenarnya  menjadi kerisauan dihati Datuk Bendahara, sudah terdengar di istana sultan ada menteri-menteri yang telah menyalahgunakan kuasa dan menghimpun kekayaan dengan jalan yang salah. Jika Yang Mulia Sultan tidak mengekangnya pasti sesuatu yang buruk akan berlaku”, jawab Hang Tuah sambil menghela nafasnya.

Khali.

“Abang Tuah kita telah lama bermusafir bersama, malah tidak kita sangka kedatangan kita ke negeri lingkaran naga ini untuk mengeratkan hubungan diplomatik antara Melaka dan China telah mengheret sekali rombongan kita ini dalam kencah politik China dan Choson. Hamba bimbang masalah ini akan membahayakan Melaka suatu hari nanti”, Hang Jebat menyatakan apa yang terbuku dihatinya kepada Hang Tuah.

“Benar katamu Jebat...benar...kita tersepit antara permintaan maharaja China dengan titah sultan namun apa yang kita lakukan ini juga sebenarnya menepati keinginan Baginda Sultan Melaka. Jika kita berjaya menyelesaikan masalah ini hubungan China dan Melaka akan lebih rapat malah yang lebih penting kita dapat meraih kepercayaan maharaja  China dan sudah tentu maharaja Chosun juga akan terhutag budi dengan Yang Mulia Baginda Sultan Melaka”, Jawab Hang Tuah.


Tiba-tiba bilik yang mereka diami itu mengapung bau kemenyan yang harum, pantas Hang Jebat mengalih pandangannya pada Hang Tuah. Ternyata Hang Tuah sedang membakar kemenyan di dalam dupa yang dibawanya. Hang Jebat hanya memerhati perbuatan Hang Tuah dia tahu ini antara amalan yang pernah diajar oleh Pendeta Adiputra satu ketika dahulu dan biasanya jika ada tugas yang penting maka amalan ini akan diamalkan.


Hang Tuah menanggal ‘baju sikapnya’ kemudian diikat kemas kain cindai dipinggang sebagai bengkung. Telapak tangannya ditakup ke atas dupa yang sedang membakar kemenyan, asap kemenyan menampung di atas telapak tangan Hang Tuah dengan perlahan Hang Tuah meraup asap kemenyan itu ke muka dan menyapunya diseluruh tubuhnya yang kekar itu. Diulangi sebanyak tujuh kali. Sambil meraup mulutnya membaca sesuatu.


Selesai memperasap tubuhnya sekali lagi Hang Tuah mengasap tangannya kali ini ada satu serbuk halus bewarna putih yang dilumur dari telapak tangan sehingga ke pangkal siku, sekali lagi Hang Tuah mengasap tangannya dengan kemenyan. Hampir lima belas minit barulah Hang Tuah berhenti.


“Apakah abang Tuah akan bertarung pada esok pagi?" soal Hang Jebat dalam nada gelisah.


"Tidak pasti lagi Jebat, aku hanya mempersiapkan diri untuk esok jika ada geruh yang tidak dapat dielak maka aku hadap dengan persiapan yang ada ini",Jawab Hang Tuah jujur.


"Kalau begitu  esok aku akan menemani abang Tuah, alang-alang kita telah berada di sini jika ada yang mahu menguji, biar kita berdua yang berhadapan dengan segala sengketa"' cadang Hang Jebat.


"Tidak Jebat! Esok hanya aku yang akan ke istana maharaja, katanya maharaja mahu bertemu dengan aku seorang sahaja. Kau harus tetap di sini jangan dilupai titah baginda Sultan jika apa-apa berlaku ke atas aku maka kau yang akan menjadi galang-gantinya"' Jawab Hang Tuah dengan tegas.

Hang Jebat terdiam jiwanya berat untuk membiarkan abang Tuah mengadap maharaja Chosun seorang diri. Tetapi titah baginda Sultan tidak boleh dimungkiri.


"Jangan terlalu banyak berfikir Jebat, Insya Allah tiada apa yang akan berlaku nanti"' Hang Tuah cuba memujuk kegalauan dihati Hang Jebat.


Istana Maharaja Chosun

Jenaral Meng Yi merupakan salah seorang jeneral tua yang telah lama bersara dari dunia peperangan, namun maharaja Chosun sama sekali tidak pernah membuangnya, jika ada perkara-perkara penting yang melibatkan keamanan negara, pasti maharaja akan memanggil jeneral Meng Yi untuk mendapatkan nasihat.

Walaupun kelihatan fizikalnya nampak tidak begitu gagah namun ianya tetap digeruni oleh setiap komander muda mahupun jeneral yang mengetuai angkatan perang sekarang. Ini kerana belum ada di antara mereka yang dapat menguasai kemahiran yang disebut "Pedang Tanpa Darah"

Hanya Jenaral Meng Yi yang dapat menguasai kemahiran itu, dan mereka sendiri pernah meihatnya apabila hampir 20 orang pembunuhan upahan yang membuat serang hendap terhadap rombongan maharaja mati ditangannya. Malah lebih mengagumkan tiada setitis darah yang tersisa dimata pedangnya menunjukkan kepantasan serangan beliau terhadap musuh. Musuh yang baru mula bergerak sahaja tiba-tiba rebah dan mengelupur seperti ayam yang baru disembelih.


Kini dia berdiri gagah di hadapan Laksamana Melayu, dahinya berkerut seribu, hairan menyapa hatinya bagaimana maharaja boleh menaruh kepercayaan kepada laksamana yang baru dikenali ini.

"Apakah hebat benar Laksamana dari Tanah Melayu ini sehingga dihantar ke sini untuk berbakti?"

" Apakah Maharaja China sudah kehilangan pahlawan-pahlawan hebat untuk membantu Maharaja Chosun sehingga menghantar wakil dari Tanah Melayu ini.?"

"Kalau begitu aku akan menguji Laksamana ini", bisik Meng Yi di dalam hati.

Laksamana Hang Tuah masih berdiri sepi dan sunyi....



-------------------------------
Tambahan
1. Kalau Apak rajin Apak cerita tentang kemenyan dan doa yang dibaca Hang Tuah dalam novel nanti. hehehehe

2. Patutnya ada daun sireh terlupa lah pula haahahah....lain kalilah Apak cerita.

Jumaat, 5 Julai 2019

HUJAN



HUJAN

Sudah dua hari armada perang China yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah membelah laut China kini mereka sudah sampai di sempadan antara perairan Ryukyu dan lautan Pasifik, ketika melalui beberapa wilayah perairan di Laut China banyak kapal-kapal yang ada dilaut tersebut cuba mengelak atau bertembung dengan armada perang China, ada sebaghagian rakyat Cina yang berada di laut sebagai nelayan melambai-lambai kapal armada perang ini, mereka bangga dengan kekuatan yang dimiliki oleh negara mereka. 

Mereka juga sudah maklum jika ada armada sebesar ini, biasanya akan ada peperangan yang akan  berlaku dan mereka belum pernah mendengar berita kekalahan angkatan laut negara mereka.

Ketika ini armada perang China sudah mula memasuki perairan Ryuku cuaca yang tadi cerah tiba-tiba menjadi mendung, awan hitam yang entah dari mana bergumpal-gumpal di dada langit seolah-olah menuju ke arah armada perang ini. Angin mula bertiup dari sepoi-sepoi bahasa kini semakin kencang air laut mula berkocak-kocak tidak seperti kebiasaanya.

“Abang Tuah, sepertinya ada sesuatu yang tidak kena” tiba-tiba Hang Jebat bersuara. Sejak dari tadi dia memandang gumpalan awan yang pelik itu.

“ Benar katamu Jebat”, Hang Tuah mengiyakan telahan Hang Jebat.

“Apa bicara mu lagi,Jebat?” Soal Hang Tuah.

“Angin yang bertiup ini jika dilihat tidak akan membawa hujan” Hang Jebat memberi pandangannya.

Laksamana Cheng Mo yang juga berada di situ memberanikan diri untuk bertanya. Sejak tadi dia hanya memerhatikan dua pahlawan Melaka itu berbicara.

“Mengapa tuan hamba berkata demikian, bukankah awan yang gelap biasanya akan menandakan hujan akan turun dan pada perkiraan aku hujan akan lebat sebentar lagi” Soal Laksamana Cheng Mo dalam nada tidak puas hati kepada Hang Jebat.

“Kamu benar Laksamana Cheng Mo, itu adalah kebiasaanya yang ada pada tanda alam semulajadi, namun ada petanda lain yang boleh dilihat untuk menguatkan lagi petanda tersebut, sama ada ianya adalah aturan yang biasa atau tidak” jelas Hang Jebat.

Laksamana Cheng Mo tersenyum sinis, dia melihat Hang Jebat seperti awak-awak kapal yang baru belajar belayar dilautan besar dan tidak tahu cuaca yang berlaku ditengah-tengah perut laut ini boleh sahaja berubah-rubah tanpa di duga.

“Jelaskanlah lagi panglima, Jebat aku tidak begitu jelas bicaramu” Soal Laksamana Cheng Mo dengan nada mengejek.
“Angin yang bertiup semakin kencang ini tidak membawa bau hujan” balas Hang Jebat 

“Bau hujan!?” Soal Laksamana Cheng Mo dengan nada terkejut.

Sekali ini Laksamana Cheng Mo terdiam, fikirannya deras memikirkan seseorang. Adakah Panglima Melaka ini ada kebolehan seperti Komander Pemanah Biru , Xue Lang?

Tik! Tik! Tik! Hujan mula turun semakin lama semakin lebat.
“Ha! Ha! Ha!...kan sudah aku katakan hujan pasti akan tiba, telahan kamu, Panglima Melayu salah sama sekali” Laksamana Cheng Mo dan enam orang lagi nakhoda kapal perang china ini mula ketawa sesama mereka.

Duum!...Tiba-tiba satu bunyi hentaman yang kuat menghentikan perbualan mereka, masing-masing menoleh ke sisi kanan. Kapal perang yang ke tujuh telah melanggar kapal perang ke enam, ada beberapa anak kapal yang tercampak ke dalam laut. 

Air laut pula semakin bergelora. Laksamana Cheng Mo terperanjat dengan situasi itu, “bagaimana ini boleh berlaku? Padahal jarak kapal perang ke tujuh  jauh dari kapal perang ke enam”soal Laksamana Cheng Mo pada nakhodanya.

Masing-masing terdiam.

Armada perang China kini terolek-olek ke atas dan ke bawah air laut yang tadi tenang mula mengganas, hujan yang lebat pula menyebabkan pergerakkan anak-anak kapal terhad, ribut mula menunjukkan kekuatannya. Petir juga mula memanah ke dada langit.

“ Jebat! Apa bicara mu kali kini”? Hang Tuah kembali menyoal Hang Jebat yang dari tadi memandang sekeliling kapal, jarang Hang Jebat berada dalam keadaan gelisah sebegitu. 

Kelihatan kabus nipis mula melanggar armada perang ini.

Hang Jebat pantas mencabut keris di pinggangnya dilurut-lurut jarinya pada hulu keris tersebut sebaik buat begitu Hang Jebat menadah air hujan ketapak tangan, kemudian di sapu dikedua belah cuping telinganya seperti orang sedang berwuduk.

Matanya terpejam rapat, lidahnya berkumat-kamit. Hang Tuah hanya memerhati. Laksamana Cheng Mo dan enam nakhoda kapal yang lain hanya memerhati namun ada juga yang tersenyum kambing melihat tingkah Hang Jebat.

Beberapa saat Hang Jebat mengangkat kelopak matanya. Wajahnya kelihatan terkejut “ Cis! Permaianan syaitan” getus Hang Jebat.

Jumaat, 26 April 2019

Kepulangan Hang Jebat



Lama Hang Jebat mendongak ke langit. Warna suram langit bagai mengirngi kegelisahan jiwanya.

Semasa turun ke tanah tadi Hang Jebat melakukan beberapa perkara disedut nafas dengan dalam lalu dihembus dengan kuat.

Diam sejenak lalu dibaca Bismillah 41 kali membaca kembali deru nafas. 7 kali dihisap dibuang dengan kalimah toiyibah.

Memohon petunjuk dari yang Esa. Ternyata deru nafas bergulir-gulir tidak seimbang. Namun perjalanan ini perlu diteruskan. Jika tidak mungkin sesuatu yg lebih buruk akan berlaku.

"Kepada Mu Ya Allah aku berserah diri", munajat Hang Jebat di dalam hati.

#kotalarangantuah
#jebatdracula

Khamis, 25 April 2019

Pengkhianatan?


Hampir-hampir keris pendua Hang Tuah menembusi dada Ketua Shinobi Ren tiba-tiba satu bola gergasi bermata tajam meluru laju ke arah kepala Hang Tuah mujur Hang Tuah menyedari pukulan curi tersebut.

Pantas Hang Tuah mengelak ke belakang tikamannya tidak mengenai ketua Shinobi Ren.

"Bang!"

Bola besi berantai itu melanggar tiang seri Istana shinobi.

Terkopak sebahagian kayu tiang tersebut benar² hentaman itu jika mengena sasaran boleh membawa maut.

Seketika bola besi itu direntap kuat meluncur laju dari arah ianya dibaling tadi.

Hang Tuah pantas melihat ke sisi kanan ternyata cahaya suram dari sisi tiang besar istana tersebut menghalang pandangan Hang Tuah untuk mengetahui siapa yang menyerang secara curi tadi.

"Cis! Pengecut menyerang secara sembunyi² apakah kau bukan anak jantan?" Sindir Hang Tuah.

Di balik warna suram tersebut terdengar ada bunyi seretan rantai sedang bergerak menghampiri Hang Tuah.

Dalam rasa debar Hang Tuah memegang kejap keris penduanya menanti musuh yang bersembunyi disebalik gelap muncul.

Sungguh, pengalaman di bumi Edo ini tidak kurang peliknya.

Semakin lama semakin dekat bunyi seretan rantai dilantai istana itu tetapi musuh yang bersembunyi masih lagi belum muncul mempamerkan wajahnya.

Suasana kembali sunyi.

Seretan rantai tiba-tiba hilang dari istana tersebut.

Hang Tuah berkuda-kuda rendah kepalanya sedikit ke hadapan. Sebenarnya Hang Tuah sedang memicing pendengarannya.

Belum sempat Hang Tuah cuba mengenalpasti kedudukan lawan

Zuuup!

Sekali lagi bola besi tajam bergerak laju ke arah Hang Tuah kali ini serangan dari arah kiri. Sekali ini Hang Tuah sudah bersedia terus berguling ke kanan mengelak serangan yang disasarkan.

Hang Tuah melutut dalam keadaan siaga cuba kembali membaca kedudukan lawan dalam suram cahaya.

Saat ini terdengar suara orang ketawa melalui halkum.

Misteri.

Seretan rantai dilantai kembali kedengaran dalam istana shinobi, kali ini bunyinya lebih kuat dan bergema².

Hang Tuah memaling ke belakang nampaknya bunyi utama dari arah gelap itu Hang Tuah perlahan lahan menapak ke belakang.

Menapak ke kawasan yang lebih terang.

Ketika inilah muncul seseorang dari arah gelap tersebut. Bola besi yang bergigi tajam itu masih terseret di atas lantai.

Khali.

Hang Tuah pantas berdiri tegak. Agak terkejut dengan susok tubuh yang kini berdiri dihadapannya.

Rasa hairan menyelinap di dada Hang Tuah.

Tanjak Pari Mudik terletak kemas pada susok tubuh yang sedang memegang bebola besi tersebut siap sepersalinan lengkap. Hanyasanya wajahnya sahaja ditutup dengan topeng samurai.

"Tapi mengapa?"

#kotalarangantuah
#jebatdracula

Selasa, 26 Februari 2019

Gunung Lawu

Gunung Lawu (belum edit)

Lama Hang Tuah berdiri di atas sebongkah batu hitam di Puncak Gunung Dumiling ini.  Matanya merenung jauh ke arah Utara. Sesekali bau hutan dan tanah di puncak gunung ini meruap naik menyinggahi hidungnya. Terasa enak dan segar.

Sebentar tadi Hang Tuah dan Hang Lekir baru sahaja usai mandi embun. Salah satu amalan dan petua yang pernah diajar oleh seorang pendita di Gunung Sembilan.

Hang Lekir sambil meraut sebatang kayu untuk dibuat senjata berkata,” Ke mana sahajalah Jebat ini, diam-diam di masuk ke hutan tanpa mengajak kita.”

Hang Tuah hanya tersenyum tidak menjawab pertanyaan Lekir dia masak akan perangainya si Jebat, kesukaannya ialah memikat burung, tambah lagi Gunung Dumiling ini dikatakan begitu banyak jenis burung yang mendiaminya. Mungkin Jebat mahu melihatnya sendiri bukan sekadar mendengar orang  bercerita.

Suasanya kembali sunyi yang kedengaran hanya bunyi cengkerik bertelingkah dengan suara ungka yang sesekali terasa seram juga bunyinya. Hang Tuah masih merenung jauh ke Utara. Tiba-tiba  Hang Tuah disapa  dengan suara yang  gemersik merdu “jauh benar Laksamana Agung Melaka menerbangkan fikirannya, apakah ada kekasih yang ditinggalkan di seberang Selat Melaka ini?”

Hang Tuah mengecilkan matanya mengamati suara yang bergema dalam fikirannya saat itu juga Hang Tuah mengukir sekuntum senyuman, dia mengenali pemilik suara ini, hairan juga bagaimana dia mengetahui akan keberadaannya di sini. Lekir yang sejak tadi meraut sebatang kayu memandang hairan dengan perilaku abang Tuahnya. “ apa ada yang mencuit hati abang Tuah?” tanya Hang Lekir kepada Hang Tuah. Hanya Tuah hanya membalas dengan senyuman, ternyata suara itu hanya didengari oleh Hang Tuah sahaja. Tinggi juga keilmuannya Puteri Majapahit ini gumam Hang Tuah.

Sekali lagi deruan suara itu menyapa naluri Hang Tuah, “Apakah sukar benar menjawab pertanyaan kita itu, wahai Laksamana Melaka, sehingga dibiarkan pergi ditiup angin diperbukitan ini?”

#kotalarangantuah
#jebatdracula

Ahad, 3 Februari 2019

Kepulangan yang tidak diraikan

Ya Mujib
Ya Mujib
Ya Mujib
Wahai Tuhan yang mengabulkan doa. Makbulkan doa hamba mu ini.

Pantas Hang Tuah meraup wajahnya dengan telapak tangan diiringi selawat ke atas baginda Nabi saw.

Usai sahaja berdoa  Hang Tuah mendongak ke langit kelihatan mega berarak lembut ke Utara. Perjalanan untuk sampai ke Kota Larangan sudah tidak begitu jauh. Tetapi mendung di wajah Puteri Ok Soo sejak semalam mengundang sejuta persoalan dihatinya.

Mahu bertanya takut disalahtafsir pula. Tidak bertanya seperti tidak kena. Persoalan yang bertelingkah di minda terasa lebih berat berbanding bertelingkah di dalam pertarungan.

" Laksamana Melayu, apa kiranya jika kau sahaja yang kembali ke Kota larangan dan biarkan sahaja aku dan Sawol menghilangkan diri" tiba-tiba Puteri Ok Soo bersuara.

" Apa maksud Tuan puteri?" Hang Tuah agak terkejut dengan permintaan itu.

" Katakan sahaja pada maharaja, puteri Ok Soo telah mati terbunuh dalam rombongan ini" berani Ok soo memberi saranan kepada Hang Tuah.

Ataupun Laksamana katakan Puteri Ok soo telah melarikan diri semasa dalam perjalanan ke Kota Larangan" tambah Ok Soo lagi.

Sawol yang mendengar cadangan gila itu pantas bersuara " tuan puteri, adakah tuan puteri mahu jadikan nyawa Laksamana Melayu ini sebagai galang gantinya? Kalau begitu hamba tidak bersetuju. Laksamana Melaka ini telah terlalu banyak membantu kita' tuan puteri"

Ok Soo mengeluh perlahan. Keluhan yang berat yang akhirnya berselerakkan dibawa angin mega ke Utara.

#kotalarangatuah
#jebatdracula

Isnin, 21 Januari 2019

Shinobi misteri

#kotalarangantuah

Pakaiannya meleret ke tanah tidak terurus bercompang camping, bau tubuhnya juga tidak enak,

sebentar tadi Hang Tuah baru sahaja melancarkan serangan gerakkan kilat padanya- tanganya putus ditetak sundang Hang Tuah- tergeletak di atas tanah- peliknya dia masih tersenyum menampakkan baris gigi yang kehitaman

Sesuatu di luar dugaan telah berlaku-kelihatan mata hitamnya menghilang dikelopak mata yang ada hanya mata putihnya tubuhnya bergetar- ketika itu Hang Tuah melihat tangannya yang putus kembali tumbuh dengan perlahan- daging-daging, tulang dan darah bergumpal-gumpal dilengannya.

Abang Tuah apakah kita sedang berhadapan dengan mahkluk syaitan atau manusia sekarang ini" soal Hang Jebat yang juga berada di situ.

Shinobi - Pahlawan misteri yang perlu dihadapi - Keampuhan ilmu Melayu teruji lagi.....

Rabu, 2 Januari 2019

Lembing Jebat


"Andika sudah lama ingin aku tanyakan soalan ini tapi baru hari ini aku berani" bisik Panglima Awang Bagan ketika duduk di sisi Andika.

Andika yang bermandi peluh selepas mengajar 17 orang angkatan perang bermain lembing pantas bertanya kembali " apa yang ingin ditanyakan kepada hamba, panglima?"

Panglima Awang Bagan dalam keadaan teragak-agak bertanya
"benarkah abang Jebat tidak pandai bermain lembing, kerana sejak tiga hari ini dia hanya duduk di anjung bangsal dan memandang ke gelanggang dengan pandangan kosong, sekali pun dia tidak turun tangan mengajar kita semua?"

Andika yang mendengar soalan itu tersenyum lalu menyoal kembali " dari mana panglima dapat berita tersebut?"

"Errr... dari mana itu tidak penting Andika, cuma benarkah begitu?" Panglima Awang Bagan menjawab dalam nada risau.

" Ha..ha..ha man mungkin pokok bergoyang jika tiada angin bertiup wahai panglima Awang Bagan, katakan, biar mudah soalan ini hendak dijawab" Pantas Andika membalas kembali dengan soalan.

"Emmm...errr...Patih Karma Wijaya, Andika" Jawab Panglima Awang Bagan dalam keadaan cemas.

"Ah! Patih Karma Wijaya, tiada suatu yang senang pada matanya" dengus Andika.

"Apakah panglima mahu tahu cerita sebenarnya, kerana aku yang menjadi saksi dalam peristiwa itu." Andika membetulkan duduknya mengadap Panglima Awang Bagan.

" Ya, sudah pasti" pendek jawab Panglima Awang Bagan.

" Hmmm...setahun yang lalu ketika Sultan Melaka menghantar rombongan ke Siam.....

Bersambung....

(Belum edit letih weeiiii guna hp menaip ni hihiho

#kotalarangantuah
#jebatdracula