Ahad, 30 Ogos 2015

Kota Larangan 5 - Naga Hitam ( Hei Long)




Ha! Ha! Ha! ketawa terbahak-bahak Laksamana Hei Long belum kedengaran mahu berhenti sengaja dia berbuat demikian untuk menyakiti hati Laksamana Hang Tuah, permainan psikologi begini juga salah satu senjata. Jika amarah menguasai minda maka kekalahan akan diperolehi dengan mudah.

Hang Tuah meletak lutut kanannya di tanah Sundangnya dipacak ke tanah, mulutnya membaca sesuatu menyerah diri kepada Allah yang satu.

Hang Tuah mula membaca serangkap doa dan sepotong ayat dari Kitabullah

"Dikumpul segala besi lalu dilembutkan dengan Nur Muhammad saw, Dengan Kebenaran"

" Wa laqad a taina daawuda minna fadlan yajibaalu awwibiy ma a’hu wathaira  wa a  lanna lahul hadida. (As-Saba 10)

maksudnya:

"Dan Demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): "Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama Dengan Nabi Daud, dan Wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!" dan juga telah melembutkan besi baginya;
(As-saba 10)

Hang Tuah mengusap pangkal hidungnya,di lurut dari atas ke bawah sebanyak tiga kali,

Kelakuan itu hanya diperhatikan oleh Hei Long dengan penuh kehairanan. "Wahai anakanda Kasturi apa yang diperlakukan oleh Abang mu Tuah itu.?" Tanya Dato Bendahara kepada Hang Kasturi.

"Tiada apa-apa Ayahanda." Jawab Hang Kasturi pendek, jujurnya dia tidak mahu membuka rahsia dunia persilatan mereka.

"Janganlah begitu, Wahai Anakanda Kasturi, apakah Anakanda juga mencurigai Ayahanda?, terangkanlah kepada Ayahanda, sesungguhnya ilmu Allah ini luas dan tiada semuanya yang Ayahanda ketahui melainkan sedikit sahaja," Bicara Dato Bendahara dengan rendah diri.

Hang Kasturi terpukul dengan kata-kata itu, dia tahu Dato Bendahara adalah antara orang Istana yang sangat dipercayai, tuanya di dalam umur menjadikan pengalamannya ibarat lautan. Tetapi begitulah Ayahanda Bendahara merendah diri menjadi pakaian dirinya walaupun dia merupakan orang yang paling hampir dengan Sultan Melaka.

" Mohon maaf Ayahanda Bendahara jika kata-kata anakanda menyinggung perasaan Ayahanda. Ayahanda telah hamba anggap seperti ayah sendiri." pujuk Hang Kasturi sambil menunduk kepala di hadapan Dato Bendahara.

" Ayahanda, adapun apa yang abang Tuah lakukan itu adalah petua yang pernah diajar kepada kami ketika sama-sama menuntut ilmu hulubalang. Sebenarnya apa yang Abang Tuah lakukan itu ialah mengambil minyak yang berada dipangkal hidung, biasanya bila dalam cuaca panas dan berpeluh, hidung akan mengeluarkan sedikit minyak. Minyak ini abang Tuah akan lurutkan pada senjata sundangnya dengan membaca beberapa ayat. Inilah petua yang pernah diajar oleh Pendeta kepada kami ketika menuntut ilmu hulubalang di Gunung Ledang. Ilmu ini merupakan petua untuk membuka kekuatan pengamal ilmu kebal." panjang lebar Hang Kasturi menerangkan rahsia hulubalang kepada Dato Bendahara.

"Begitu kira-kiranya, sungguh Alam Melayu kaya dengan ilmu dunia dan akhirat." balas Dato Bendahara.

Hang Tuah bingkas bangun dari "duduk anak harimaunya" naluri sufinya dipacu deras. Dia semakin pasti kelemahan Pahlawan Naga ini.

Hang Tuah mula mengorak langkah kali ini keputusan yang dibuat ialah cuba menamatkan pertarungan ini dengan secepat yang mungkin . Hang Tuah mula melibas dan menetak Hei Long, kali ini tetakan Hang Tuah lebih pantas dan keras. Hei Long menyanggah dengan segala kekuatan. Kepantasan Hang Tuah sesekali menggoyahkan kuda-kudanya. Hang Tuah terus membuat serangan, apabila dilihat Hei Long hilang tumpuan ketika inilah Hang Tuah memadukan 'Ilmu Gerakkan Guruh' dan 'Selayang Pandang'. Hei long terkejut bukan kepalang sundang Hang Tuah buat kali keduanya melintasi dada dan kakinya.

"Arrrgggghh!" Hei Long menjerit kuat, dia terundur beberapa tapak ke belakang dalam keadaan terhenjut-henjut, kakinya cedera. Hei Long menekup dadanya, kelihatan darah merah mengalir di celah jari-jarinya, dengan wajah yang masih terkejut dia memandang Hang Tuah

" Belum pernah ada seorang parajurit mahupun hulubalang yang boleh melukai aku. Aku pernah bertarung dengan ramai hulubalang dari banyak negara, namun hari ini kau Laksamana Melayu berjaya melukai aku." kata Hei Long dalam nada yang masih terkejut.

Hang Tuah telah berhenti menyerang sejak mula lagi Hang Tuah tidak berniat untuk membunuh Pahlawan Naga itu, serangan sebentar tadi pun hanya melukakan sahaja, kerana itu Hang Tuah tidak menggunakan Keris Tamingsari kerana jika dengan keris Taming Sari bisa keris tersebut sahaja boleh membawa maut jika lambat ditawarkan.

Cheng Di, Canselor Maharaja terkejut bukan kepalang, sida-sida membungkam seribu bahasa, Maharaja berkedut dahinya. Tidak di sangka Melaka mempunyai Laksamana yang terbilang. Namun Maharaja masih menaruh harapan kemenangan pada ayam tambatannya. Maharaja tahu Hei Long bukan semudah itu akan menyerah kalah.

Hei Long mengangkat tangannya, di seru akan pedangnya

"Hei Pedang yang ditempa oleh sepasang tukang sihir,
pedang yang roh roh mendiami di dalamnya,
Mari datang!
Mari kemari ke tangan ku"

Pedang yang tertancap di tanah tiba-tiba bergerak dan tercabut lalu terbang ke gengaman Hei long.

"Nampaknya Hei Long masih belum mahu menyerah kalah", gumam Dato Bendahara. Hang Kasturi yang mendengar hanya mengangguk perlahan.

" Wahai Laksamana Melaka, ternyata aku silap dalam menafsirkan dirimu, namun kali ini belum tentu kau akan selamat, ini serangan terakhir yang akan aku lancarkan."

Hei Long mengangkat pedangnya dengan kedua belah tangannya. Mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu. Cuaca yang tadi cerah bertukar mendung. Awan hitam mula berarak menutupi lapangan tempur itu. Sesekali guruh dan kilat sabung menyabung tetapi tidak menunjukkan tanda hujan akan turun. Suasana terasa seram kepada siapa sahaja yang berada di situ.

Tiba-Tiba ada asap hitam keluar dari bilah pedang Hei Long semakin lama semakin banyak, asap itu berputar-putar mengelilingi pedang tersebut kemudian asap hitam itu juga perlahan lahan mengelilingi tubuh Hei long semakin lama semakin tebal kini tubuh Hei Long sudah tidak kelihatan yang ada hanya asap hitam yang tebal berpusing-pusing seperti taufan. Waktu ini terasa tanah mula bergegar, masing-masing menjadi cemas baik rombongan dari Melaka mahupun sida-sida di Raja. Hang Tuah dari tadi memerhati kepulan asap hitam itu, ketika inilah Laksamana Hang Tuah dapat melihat dengan jelas ada sepasang mata berwarna merah yang sedang merenungnya dicelah-celap asap hitam yang mengapung itu.

bersambung.....

Selasa, 11 Ogos 2015

Kota Larangan 4-Pedang Shi Quan Li De Rong Yao

Kota Larangan 4-
(Pedang Shi Quan Li De Rong Yao/ 十权力的荣耀 Glory Of Ten Power)

Wahai Laksamana Melaka, pukulan ku itu tadi berisi besi waja, namun tidak memberi kesan sikit pun kepada mu. Ini benar-benar mengejutkan aku." Kata Hei Long sambil merenung Hang Tuah.

"Marilah kita teruskan lagi pertarungan ini, masih ada banyak perkara lagi belum aku tunjukkan. Kata Hei Long dengan nada sombong.

Hang Tuah seperti tadi tersenyum, kemarahan boleh menghancurkan diri.

Kali ini Hang Tuah membuat keputusan untuk membuat serangan dahulu. Jarang dalam Dunia Persilatan Melayu, seorang pendekar mahupun hulubalang memilih untuk membuat serangan dahulu.

kerana falsafah utamanya ialah untuk membela diri dan bersilaturahim. Namun apabila keadaan terpaksa ianya akan menjadi Ilmu perang yang sukar untuk ditelah.

Hang Tuah  berlari kencang. Sampai di hadapan Hei Long Hang Tuah bertapak kelek. Serangan tumbukan pintal tali dan pancung dayung  di sasar ke muka dan leher. Hei Long tangkas menangkis apabila jarak semakin dekat permainan siku menjadi pilihan Laksamana serangan yang keras itu menyebabkan kedudukan Hei Long tergugah.

Hang Tuah mula membuat serangan siku kemuka bertalu talu namun dalam keadaan tidak di jangka itu Hang Tuah turun menjunam membuat serangan siku di bahagian rusuk dan dada. Hei Long tertolak ke belakang beberapa langkah,  dalam kesempatan yang jarang diperolehi Hang Tuah membuat serangan bagaikan angin ribut, pukulan tidak bermalam singgah di muka dan dada Hei Long.

Hei Long terpelanting ke belakang dalam keadaan berguling-guling, debu-debu tanah melekat di baju dan rambutnya.

Dalam keadaan tertunduk Hei Long mula bangun dengan perlahan lalu berdiri tegak memerhati Hang Tuah.
Senyumannya sinis dengan mata yang memerah.

Kali ini baru terdengar  sorakan dan tepukan rombongan dari Melaka, Dato Bendahara tersenyum bangga. Hang Kasturi sedari tadi tidak begitu gembira, pertarungan ini pertarungan nyawa. Dia amat risau salah seorang daripadanya akan kehilangan nyawa padahal matlamat mereka ke sini ialah menjalin persahabatan antara dua negara besar.

" Sungguh pukulan Laksamana begitu keras, namun sedikit pun tidak dapat mencederakan aku." Bicara Hei Long Si Naga Hitam dengan angkuh.


Naga Hitam bergerak ke sudut kanan kawasan pertarungan tersebut,  kali ini benar-benar di luar jangkaan Hang Tuah. Di sana rupanya terpacak sebilah pedang, Naga Hitam pantas mengambil pedangnya.

 


"Bersiaplah Wahai Laksamana Melaka pertarungan kita kali ini pertarungan darah dan nyawa." Naga Hitam memberi ingatan.

Hang kasturi berlari kencang hampir sahaja dengan Abangnya Tuah dia mecampakkan sesuatu, Hang Tuah melompat tinggi lalu menyambut senjata itu.

" Bagus Laksamana!, aku juga mahu lihat bagaimana rupanya senjata bangsa Melayu dan sejauh mana kehebatannya. " Kata Naga Hitam sambil menuding jarinya pada Hang Tuah.

Hang Tuah tunduk memandang senjatanya, lama dia berbuat demikian.

" Semoga tiada siapa yang akan hilang nyawa pada hari ini,." Balas Hang Tuah semasa mengangkat mukanya memandang Pahlawan Naga Hitam.

"Kita lihat nanti." Kata Naga Hitam. 

Sejurus itu Hei Long Pahlawan Naga Hitam berlari deras sambil mengangkat pedangnya, sasarannya adalah leher Laksamana Melaka itu.

Hang Tuah pantas mencabut Sundangnya. Tetakkan Pahlawan Naga Hitam di sanggah.  Berdeking-deking senjata bertemu senjata sesekali memercikkan api. Agak lama juga pertarungan kali ini, belum ada sesiapa yang tercedera.

Sesekali Hang Tuah membuat tetakkan dan libasan sepantas itu juga Naga Hitam menangkis dan mengelak. Kini masing - masing berhenti mencari nyawa. Hei Long merapatkan tangannya ke dada sambil memegang pedangnya, dia tunduk sambil mulutnya membaca sesuatu, Hang Tuah sekadar memerhati tingkahlaku Hei Long.

Hei Long memanggung kepalanya seraya bergerak pantas ke arah Hang Tuah. Gerakkan Hei Long kali ini begitu pantas namun masih belum dapat mencederakan Laksamana Melaka itu. Sesekali Hang Tuah mengelek ke kiri dan ke kanan,dikesempatan yang lain Hang Tuah melompat tinggi. Namun Hang tuah sedar kali ini serangan Hei Long begitu berat setiap kali Hang Tuah menyanggah serangan Hei Long. Sesekali Pedang tersebut akan mengeluarkan sedikit asap hitam yang berbau tidak menyenangkan.

Dalam keadaan tetak menetak dan libas melibas itu. Pedang Hei Long menetak dan tersekat di bahagian cuping telinga sundang Hang Tuah. Hang Tuah sedar ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan. Hang tuah mengilas  Pedang Hei Long, kilasan yang kuat itu menyebabkan pedang Hei Long terlepas dari tangannya dan terpacak ke tanah. Ketika ini juga Hang Tuah membuat libasan ke dada dan perut Laksamana Hei Long. Sungguh kelebihan senjata dari Benua Bugis ini ialah kedua-dua belah sisinya adalah tajam ini mempercepatkan serangan balas.

 


Baju Hei Long terkoyak akibat libasan itu, sepantas itu juga Hang Tuah membuat tujahan kaki ke dada Hei Long apabila melihat Laksamana itu terkejut dan hilang tumpuan. Sekali lagi Hei Long terpelanting kebelakangan dan terseret ke tanah namun beliau pantas bangun dengan membuat balik kuang, dalam keadaan meruduk Hei Long bangun dengan ketawa terbahak-bahak di pandang Hang Tuah dengan mencebik.

" Apakah hanya ini yang dimiliki oleh Laksamana Melaka?" Bentak Hei Long. Hang Tuah hanya berdiam diri dia tahu Hei Long sedang membakar amarahnya. 

Melihat situasi ini seluruh rombongan Melaka sepi membisu bagai meratap kematian. 

" Anakanda Kasturi nampaknya Laksamana Hei Long memiliki kesaktian yang menjadikan tubuhnya kebal." tutur Dato Bendahara dalam keadaan gelisah.

"Ya, Ayahanda kita ingatkan hanya di Majapahit mempunyai kesaktian sebegini namun tidak kita sangka, Laksamana di Benua China ini juga mempunyai kesaktian begini.' jawab Hang Kasturi sambil merenung ditempat pertarungan.

" Apa bicara mu lagi wahai anakanda Kasturi?' Tanya Dato Bendahara dalam keadaan risau.

"Ayahanda Bendahara adapun kita juga risau dalam keadaan begini, Sundang yang dipegang oleh Abang Tuah bukanlah sebarang Sundang. Sundang itu ditempa oleh seorang tua dari Tanah Bugis, Sundang itu diadun dengan 7 jenis besi malah salah satunya campuran sundang itu ialah sejenis batu yang jatuh dari langit. Malah telah di tapakan selama dua puluh satu hari." cerita Hang kasturi kepada Dato Bendahara.

"Apakah benar bicara mu ini wahai Kasturi?' Soal Dato Bendahara memohon kepastian.

"Ya Ayahanda, Abang Tuah yang menceritakan kepada kita rahsia Sundangnya itu kerana itu kita diberi kepercayaan untuk menjaganya tadi." Jawab Hang Kasturi.


Cheng Di dan sida-sida Maharaja bertempik gembira, Maharaja juga bertepuk tangan memberi sokongan kepada Laksamananya yang terhebat, Maharaja tahu Laksamananya mempunyai kesaktian yang aneh kerana itu Maharaja pernah menghantar Hei Long untuk menumpaskan musuh negara Ryuku di Jepun. Kehebatannya menjadi kegerunan bagi negara-negara lain sekitar Negara China itu.


Di Lapangan Tempur
_________________

Ha! Ha! Ha! ketawa terbahak-bahak Laksamana Hei Long belum kedengaran mahu berhenti sengaja dia berbuat demikian untuk menyakiti hati Laksamana Hang Tuah, permainan psikologi begini juga salah satu senjata. Jika amarah menguasai minda maka kemenangan akan diperolehi dengan mudah.

Hang Tuah meletak lutut kanannya di tanah Sundangnya dipacak ke tanah, mulutnya membaca sesuatu menyerah diri kepada Allah yang satu.

Hang Tuah mula membaca serangkap doa

"Dikumpul segala besi lalu dilembutkan dengan Nur Muhammad saw, Dengan Kebenaran"...

Bersambung.......