Sabtu, 9 Januari 2016

BAB 11: SUSUK BESI

BAB 11: Susuk Besi


Sudah hampir sebulan Hei Long dirawat oleh Tabib DiRaja. Seringkali juga Laksamana Hang Tuah menziarahinya di rumah sakit diraja ini. Lukanya belum benar-benar sembuh.  Kata tabib diraja jika Hei Long  sedar lagaknya seperti orang gila, dia akan meracau dan menjerit-jerit dengan bahasa yang tidak difahami kadangkala hampir satu jam dia berkelakuan begitu, kemudian dia akan pengsan kembali atau kami akan memberikannya herba yang menyebabkan dia tertidur,lebih menakutkan bola matanya akan berubah menjadi merah setiap kali dia meracau dan mengamuk.

Datuk Laksamana Hang Tuah mendengarnya dengan teliti, ada firasat yang tidak baik bermain dibenaknya. “ Tuan tabib jika tuan tabib tidak keberatan bolehkah hamba memberi sedikit pertolongan dalam hal ini” Hang Tuah menawarkan dirinya untuk membantu tabib diraja.  “ Oh! Ini sangat bagus.” tabib diraja membalas permintaan Hang Tuah dengan senyuman lebar.

Hang Tuah berdiri di sisi Hei Long direnungnya wajah Hei Long 

Hang Tuah meletakkan tanganya di ubun-ubun Hei Long, seketika Hang Tuah memejamkan mata berzikir dengan Asma ul Allah agar dibukakan pintu penyelesaian, seketika terukir senyuman dibibir Hang Tuah, serentak itu juga ucapan hamdallah berlagur dibibirnya. Setelah mendapat ilham dari langit Hang Tuah mula meminta sebekas air dari tabib diraja. Tabib diraja pantas mengarahkan pembantunya membawa sebekas air sebagaimana yang dikehendaki oleh Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah membaca beberapa ayat pembatal sihir dan pemusnah azimat lalu ditiupkan ke atas air di dalam bekas tersebut dengan tertib Hang Tuah meletakkan bekas yang berisi air itu di atas meja kayu disisi Hei Long, tabib diraja dan pembantunya hanya memerhati tanpa bertanya.

Hang Tuah mula  menggosok tapak tangannya dengan kuat sehingga  terasa agak panas. Kemudian Hang Tuah mendekatkan kedua tapak tangannya ke mulutnya lalu membaca ayat suci al Quran 

"Laatudrikuhul absorwahuwa yudrikul absor wahuwal latifulhobir." [1]

Hang Tuah membacanya sebanyak tujuh kali lalu ditiupkan ke tapak tangannya.

Kemudian Hang Tuah meletakkan tanganya hampir dengan kulit Hei Long kira-kiranya setengah inci dari kulit Hei Long lalu menggerakkan tangannya bermula dari kepala turun hingga ke bahagian dada. Perbuatan Hang Tuah diperhatikan dengan bersungguh-sungguh oleh tabib diraja dan pembantunya, ketika tapak tangan Hang Tuah berada di dada Hei Long sesuatu yang aneh telah berlaku, kelihatan ada tiga benjolan kecil timbul dipermukaan kulit Hei Long, apabila Hang Tuah menggerakkan tangannya ke atas benjolan itu, benjolan itu  bergerak menjauhi telapak tangan Hang Tuah gerakkannya seperti ombak di laut timbul dan kemudian menghilang dibawah kulit Hei Long, apa yang Hang Tuah lakukan ialah menjadikan tapak tangannya seperti alat pengimbas cuba untuk mengenalpasti apa yang berada di dalam tubuh Naga Hitam ini. 

"Benda apakah itu Laksamana Melayu?" soal tabib diraja dalam nada cemas keringat jantan mula membasahi dahinya belum pernah lagi ditemui penyakit sebegini pelik seperti ada sesuatu yang hidup di daalm tubuh Laksamana Hei Long ini. 

Hang Tuah tidak menjawab soalan tabib diraja sebaliknya  meneruskan  perubatannya, kali ini Laksamana Hang Tuah membaca ayat Qursi wakaf 9. Lalu dibuat seperti garis lurus dari hujung bahu kanan mengarah ke hujung bahu kiri Hei Long. Kali Ini Laksamana Hang Tuah membaca ayat-ayat pembakar bermula dari hujung kaki Hei Long mengarah ke atas. Tiga bonjolan kecil timbul kembali di bawah permukaan kulit Hei Long bergerak pantas mengarah ke bahagian atas tubuh Hei Long namun sampai sahaja di bahagian dada bonjolan itu berhenti bergerak. Bonjolan itu hanya bergerak ke sana kemari  di bahagian dada sahaja. Bonjolan itu tidak mampu bergerak ke bahagian leher dan kepala Hei Long, Hang Tuah telah mengunci tiga bonjolan itu  dada Hei Long dengan bacaan ayat Qursi wakaf 9 yang dibaca sebelum itu. Tiga bonjolan tersebut tidak mampu bergerak ke mana-mana lagi. Ketika inilah Hang Tuah mula membaca. Surah al Fatihah, Selawat Tarfijiyyah dan sepotong ayat dari surah al-Qasas yang dibaca dan diulangi sebanyak 7 kali.

Sambil meletakkan tangannya di bahagian luka Hei Leong yang masih belum sembuh Hang Tuah mengulangi bacaan tersebut sekali lagi, kali ini tiga bonjolan itu bergerak pantas menghala ke bahagian luka Hei Long seperti ditarik oleh besi berani, sambil menyedut nafas sesedut Hang Tuah dengan pantas menarik telapak tangannya ke atas ketika inilah 3 bonjolan tadi terhambur keluar dari badan Hei Long. Apa yang terkeluar dari tubuh Hei Long ialah tiga butir besi waja yang berwarna hitam malah ianya juga mengeluarkan bau yang busuk.

Sepantas itu juga Hang Tuah mengutip tiga butir besi waja itu dan dimasukkan ke dalam bekas yang telah dijampinya sebelum ini, kelihatan air didalam bekas tersebut menggelegak sambil mengeluarkan asap berwarna hitam, beberapa minit kemudian bekas berisi air tersebut kembali seperti sediakala. Hang Tuah pantas mengucapkan Alhamdulillah seraya mengukir senyuman.

Tabib diraja tercengang dengan apa yang dilihat, pantas bertanya "apa yang telah berlaku sebenarnya." Hang Tuah dengan tenang memberitahu tabib diraja, " Jika dialam Melayu ilmu ini kami panggil sebagai susuk, dan Hei Long menggunakan susuk besi yang menjadikannya kebal atau tidak lut dari semua jenis senjata yang diperbuat daripada besi namun ilmu ini sebenarnya disertai dengan ilmu sihir."

gambar dari sumber google
"Sihir?" tanya tabib diraja dengan hairan. "Ya, atau dikenali juga sebagai ilmu hitam" jawab Hang Tuah dengan tenang. "Ilmu hitam, ilmu yang sangat bahaya boleh memusnahkan diri sendiri", gumam tabib diraja dengan cemas. Itulah yang diketahuinya satu ketika dahulu daripada gurunya, namun sayang dia tidak sempat untuk mempelajari ilmu bagaimana untuk mengubati penyakit tersebut apabila gurunya tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan u malah ada yang mengatakan gurunya telah diculik dan dibunuh.

" Bagaimana Laksamana Melayu dapat mengeluarkan besi-besi itu.?" Soal tabib dengan rasa takjub. 

"Wahai tabib diraja yang budiman, adapun hamba hanya berikhtiar sahaja Allah lah jua yang mengizinkan dan menyembuhkan segala penyakit. Hamba cuma berikhtiar dengan menggunakan ilmu yang pernah di ajar oleh Guru hamba di Gunung Ledang satu ketika dahulu.

"Allah...Allah" Tuan tabib mengulangi kalimah tersebut dengan bunyi yang masih tebal pelat cinanya. Aku seperti pernah mendengar perkataan ini dari mulut guruku satu waktu dahulu.

"Ya, Allah... tuhan yang menciptakan hamba dan tuan tabib serta seluruh alam ini, Tuhan yang sebenarnya yang wajib disembah." Jelas Hang Tuah agar tabib diraja memahami hakikat sebenarya, Hanya Allah lah yang memberi hidayah dia hanya menyampaikan sahaja apa yang pernah disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad saw.

Praang!...Bekas air yang dipegang oleh pembantu tabib diraja terlepas dari tangan dan hancur diatas lantai. Hang Tuah pantas memandang wajah pembantu tabib yang kelihatan sangat pucat, mulutnya ternganga tanpa suara dan gadis itu terundur-undur  ke belakang dalam keadaan menggigil. Pada masa yang sama tabib diraja juga berkelakuan seperti itu  memandang wajah Hang Tuah dengan cemas tanpa suara.

ketika inilah Hang Tuah terasa ada sambaran angin panas yang menerpa pantas dari belakangnya.....


(bersambung)


Sabtu, 2 Januari 2016

Kota Larangan 10 : Jantung Dalam Gengaman


    BAB 10 : Jantung Dalam Gengaman


“Kau harus kembali kepadaku Hei Long, perjanjian darah ini telah lama berlaku.”

"Tidak! Aku tidak mahu lagi memenuhi permintaan mu. Jiwaku tidak akan tenteram dengan apa yang aku lakukan. Pembunuhan tempoh hari masih lagi menghantui fikiranku." Hei Long meningkah dengan keras desakkan itu.

"Ha ha ha...Bodoh! Apakah kau sudah melupai kekuatan yang kau miliki Hei Long. Kekuatan itu adalah kurnianku. Kau akan aku jadikan yang terhebat di antara yang hebat," Makhluk berjubah hitam masih tegar memujuk Hei Long.

“Tidak! Aku tidak mahu lagi, aku ingin menjadi diriku yang sebenarnya." Hei Long bernada merayu.

"Kau akan sengsara Hei Long",Sepantas itu makhluk berjubah hitam menusuk kukunya yang panjang ke dada Hei Long lalu merentap jantungnya. Kelihtaan jantung Hei Long masih berdegup kencang dalam genggaman makhluk berjubah tersebut.

"Arrgggghhh!"..


Hei Long terjaga matanya membesar nafasnya tercungap-cungap. Sebentar tadi dia kembali tewas dan telah mati dictangan makhluk berjubah hitam. Matanya kini liar memandang kawasan sekitar otaknya terbejat, ketika dia hendak bangun pembantu tabib menghalangnya, ketika ini Hei Long bertindak agresif meronta-ronta dan telah mencederakan pembantu tabib. Akhirnya mereka terpaksa beramai-ramai memegangnya dan mengikatnya. Mahu tidak mahu tabib terpaksa menggunakan sejenis herba yang boleh menyebabkan pesakit tertidur.



gambar sekadar hiasan