Khamis, 1 Oktober 2015

Kota Larangan 8- Persahabatan Dengan Hei Long

Ketika inilah Hang Tuah perasan ada sekujur tubuh yang terlentang di Lapangan Tempur tersebut. “ Hei Long” bisik Hang Tuah perlahan. Tiba-tiba terdengar bunyi gendang di palu dengan kuat. Hang Tuah mendongak ke astaka Maharaja. Dengan dahi yang berkerut seribu Hang Tuah berlari kencang ke arah astaka Maharaja. Cheng Di, canselor Maharaja cemas...

Bersambung....

Datuk Bendahara yang melihat Laksamana Hang Tuah berlari kencang ke astaka Maharaja juga cemas, takut benar Datuk Bendahara kalau-kalau Laksamana Hang Tuah mengamuk di atas astaka Maharaja, Hei Long yang mempunyai hikmat yang pelik itupun alah di tangan Hang Tuah apa sangat pengawal-pengawal di Raja yang ada di atas sana.

Masih segar diingatan Datuk Bendahara apabila Hang Tuah mengamuk di keranton Majapahit, ramai perajurit yang terbunuh malah perajurit-perajurit tua juga tidak dapat berbuat apa-apa. Marah benar Hang Tuah ketika itu, apabila Sultan Melaka dan Melayu dipersendakan.

Ketika Hang Tuah seperti mabuk darah mengamuk di dewan Istana Majapahit. Tiba-tiba melayang sehelai kain sutera lalu memlilit tangan Hang Tuah yang sedang memegang keris yang berlumuran darah. Kejadian yang tidak disangka itu benar-benar membuat Hang Tuah marah.

“Cis! Masih ada yang mahu menunjukkan kesaktiannya di sini.” Seretak dengan itu Hang Tuah membuat pusingan lawan arah jam pada pergelangan tangannya lalu mata keris tadi memotong kain yang memlilit tangannya. Sejurus itu juga Hang Tuah melompat ke arah orang yang  membuat serangan curi itu. Terkejut dengan kepantasan gerakkan Hang Tuah si penyerang curi terundur ke belakang lalu tersepak anak tangga di dewan tersebut lalu jatuh terlentang, ketika inilah Hang Tuah cuba membenamkan mata kerisnya. Namun lagi seinchi mata keris mencecah kulit penyerang curi tadi Hang Tuah berhenti meneruskan tikamannya. Matanya masih terpaku di atas anak mata penyerang, nafas cemas dari penyerang masih terhidu wangi di deria hidungnya.

“ Apakah pantas seorang Laksamana Agung membunuh seorang perempuan yang lemah, apakah Melayu sudah hilang malunya.?” Hang Tuah masih membisu. Walaupun kata-kata itu menusuk di kalbu namun bukan kesakitan yang di rasai tetapi gementar jiwanya yang membunga indah.

“Apakah Laksamana pantas dipanggil dayus kerana menyakiti seorang perempuan.” Kali ini Hang Tuah sudah menyarung kerisnya kembali ke sisi pinggang. Hang Tuah berdiri tegak. Matanya masih tidak lepas memandang perempuan di hadapannya. Siap siaganya tidak pernah alpa, bimbang-bimbang jika serangan curi menyusul kali kedua. Akal yang waras sudah kembali menyarung jasadnya. Perempuan di hadapannya sudah  bangun dalam keadaan bersusah payah.

“ Kalau tidak kerana pakaianku ini, aku sudah pasti dapat mengelak serangan mu, wahai Laksamana Melaka.” Bicara Perempuan itu dengan nada sombong,

Hang Tuah hanya mengukir senyuman.

“Adinda! Adinda! Bagaimana dengan Adinda.? Adakah Adinda tercedera.?”  Tanya Seri Betara, Raja bagi Kerajaan Majapahit. Seri Betara Majapahit begitu cemas ketika mendengar ada orang mengamuk di Dewan Besar Istana, sebentar tadi seorang pengawal istana berlari dalam keadaan berlumuran darah merafak sembah padanya di Balairung ketika Baginda sedang bermesyuarat dengan Datuk Bendahara dan Patih Gajah Mada.

Lebih mengejutkan lagi ketika Baginda sampai di depan pintu Dewan Besar Istana baginda melihat Hang Tuah sedang meletakkan keris di dada Adindanya. Baginda sendiri tidak pasti mengapa Adindanya berada di sini.

Mendengar sahaja Seri Bentara memanggil perempuan yang menyerangnya tadi Adinda, Hang Tuah tunduk membisu. Rasa bersalah merayap ke dalam hatinya.

“ Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Adapun tiadalah hamba yang hina ini tahu akan perempuan ini adalah Adinda Tuanku. Kalau tidak, takan hamba biadab begini”. Hang Tuah mengangkat sembah menyatakan kekhilafan diri.

“Tidak mengapalah Datuk Laksamana Hang Tuah, mujurnya Adinda Beta tiada cedera”, balas Seri Betara.

Ketika ini segala menteri-menteri Kerajaan Majapahit termasuk Patih Gajah Mada sudah tiba di Dewan Besar ini, Datuk Bendahara juga sudah tiba, terkejut juga bila melihat ramai parajurit Majapahit yang cedera malah ada yang sudah menjadi mayat,  bau darah mengapung memenuhi ruang Dewan Besar Istana. Tahulah Datuk Bendahara, Laksamana Hang Tuah baru sahaja mengamuk di dewan ini.

“ Kebumikanlah mayat ini, jangan dipanjang hal ini lagi. Mungkin ada salah faham yang tidak diketahui. Adinda Beta kembalilah ke Istana Adinda jangan di campuri urusan kerajaan kanda”. Ujar Seri Betara Majapahit.

Ketika Adinda Betara Majapahit berjalan melepasi Datuk Laksamana Hang Tuah. Tiba-tiba dia berhenti di sisi Hang Tuah. Tanpa menoleh ke arah Hang Tuah adinda Betara Majapahit bersuara separuh berbisik.
Gambar sekadar hiasan

“ Marah tidak baik untuk jiwa mu, Wahai Laksamana Melaka.”

Hang Tuah diam sambil menunduk, pandangannya di buang ke lantai. Suara Adinda Majapahit gemersik indah bagaikan Buluh perindu di cuping telinganya. Kata-kata nasihat itu ibarat air atma jiwa buat dirinya.

Sambil menjeling kepada Hang Tuah dan melemparkan senyuman yang paling manis serangkap pantun di alunkan perlahan sekadar didengari di cuping telinga Hang Tuah.

“ Kain cindai dilipat-lipat
Lipat mari tepi perigi
Kalau pandai Tuan memikat
Burung terbang menyerah diri.”

Terpana seketika Hang Tuah dengan kata-kata itu, kelu seribu bahasa, apakah Adinda Seri Betara Majapahit boleh membaca isi hatinya kala ini. Dalam keadaan masih berdiri yang membatu itu, lamunan Hang Tuah tiba-tiba berkecai apabila terasa lembut bahunya disentuh oleh seseorang. Hang Tuah lekas berkalih dilihatnya Datuk Bendahara sedang merenungnya.

 “ Apakah peristiwa berdarah ini telah membenih rasa cinta di hati mu wahai Anakanda Tuah? Sungguh aneh cinta ini ianya boleh hadir dalam suka dan duka dalam pertaruhan nyawa dan darah. Gumam Datuk Bendahara sambil melangkah pergi meninggalkan Hang Tuah yang masih tegak berdiri di situ. 

Tiba-tiba Datuk Bendahara berhenti melangkah berkalih memandang Hang Tuah yang masih tegak berdiri di situ.

“Gusti Putri Raden Anjeng Retno Dumilah, Itulah namanya Adinda Seri Betara Majapahit yang menyerang mu tadi wahai Anakanda Tuah”. Ujar Datuk Bendahara serentak menyambung langkahnya meninggalkan Dewan Besar Istana.

“Gusti Putri Raden Retno Dumilah” bisik perlahan Hang Tuah mengulangi nama itu. Kejelitaan mu bagai Bidadari dunia.

Astaka Maharaja di Lapangan Tempur

Tiba di tangga Astaka Mahajara Hang Tuah mengangkat sembah sebagaimana mengadap Sultan Melaka serentak itu juga di meletakkan lutut kanannya ke tanah manakala lutut kirinya ditegakkan persis duduk ‘anak harimau’ kepalanya ditundukkan.

Cheng Di yang tadi baru sahaja mengarah pengawal untuk melindungi Maharaja terkejut dengan perlakuan Hang Tuah, Maharaja bangun dari tahtanya berjalan perlahan menghampiri Laksamana Hang Tuah, sambil mengangkat tangannya sebagai tanda isyarat berhenti kepada para pengawal di Raja yang cuba menyerang Hang Tuah ketika itu.

“ Angkatlah wajah mu dan berdirilah wahai Laksamana Melaka.” Arah Maharaja kepada Hang Tuah.

“Katakanlah apa yang ingin kau katakan”, Kata Maharaja lagi.

“ Ampun Tuanku Maharaja yang bijaksana, adapun patik mempunyai satu permintaan. Patik bermohon agar janganlah dibunuh Laksamaan Hei long ini.” Pinta Hang Tuah kepada Maharaja.

“Mengapa begitu Laksamana Melaka, bukankah Laksamana Hei Long begitu bersunguh-sungguh ingin membunuh mu? Ini permintaan yang sungguh luar biasa. Tahukah kamu wahai Laksamana Melaka. Hamba ku Hei long ini sangat pembengis dan kejam orangnya, telah ramai manusia yang hilang nyawa di hujung Pedang Puakanya itu. Kekejamnya bukan hanya kepada tentera malah kanak-kanak dan wanita juga tidak terkecuali menjadi mangsanya”. Balas Maharaja kepada Hang Tuah dengan rasa sangat hairan atas permintaan Laksamana Agung ini.

“ Adapun Tuanku, patik telah menganggap Laksamana Hei Long seperti sahabat hamba jua Tuanku”, kata Hang Tuah kepada Maharaja

“Bagaimana boleh jadi begitu? ceritakanlah kepada Beta agar Beta boleh mendengarnya”

“ Pertamanya inilah lawan yang paling ampuh yang patik pernah temukan sepanjang hidup patik ini Tuanku, hampir-hampir sahaja patik tewas sebentar tadi”, Hang Tuah merendah diri dengan kemenangan ini.

“ Keduanya Adalah menjadi satu kerugian besar kepada kerajaan China jika kehilangan Laksamana sehebat ini.”

“ Ketiganya masih ada sisa kebaikkan di jiwanya, Tuanku”, Ujar Laksamana Hang Tuah kepada Maharaja Yong Le.

“ Apa! Masih ada kebaikkan yang tersisa dijiwanya? Ceritakanlah Laksamana agar Beta boleh tahu.” Soal Maharaja.

“Ampun Tuanku, perkara ini patik terlihat ketika kami rombongan Melaka sampai ke sini. Semasa di Pelabuhan ketika kami disambut oleh para Menteri, patik terlihat dari jauh Laksamaan Hei Long juga berada berhampiran pelabuhan mengawal keselamatan rombongan. Ketika itu ada seorang kanak-kanak pengemis menghampiri kudanya. Meminta sedikit belas kasihan. Ternyata ada tentera yang sudah mengangkat senjata untuk membunuh kanak-kanak itu lalu di tahan oleh Laksamana Hei Long. Laksamaan Hei Long telah turun dari kudanya dan mengambil sesuatu dari pedati kudanya lalu diberikan kepada kanak-kanak pengemis itu patik kira Laksamana Hei Long telah memberi wang kepadanya malah sebelum kanak-kanak itu meninggalkan Hei Long, Hei Long telah membelai kepala kanak-kanak itu.” Cerita Hang Tuah kepada Maharaja apa yang telah dilihat ketika mula-mula sampai di Negara Lingkaran Naga ini.

Maharaja Yong Le juga terdiam, sekira-kira inilah baru didengari di telinganya akan kebaikkan Laksamana Hei Long kerana setahu Baginda Hei Long memang Laksamana yang sangat kejam.

“ Sungguh benar laporan yang dibentangkan kepada Beta, Melaka mempunyai Laksamana yang handal serta rakyatnya yang mempunyai budi pekerti yang mulia. Baiklah Laksamana Melaka, Beta perkenankan permintaan mu.” Jawab Maharaja Yong le.

Cheng Di, caunselor Maharaja telah mengarah beberapa orang tentera untuk membawa Laksamana Hei Long untuk di rawat oleh Tabib Di Raja. Dalam hatinya dia sememangnya mahu Laksamana Hei Long mati. Jika tidak di tangan Laksamana Melayu ini harapannya jika Hei Long kalah sepatutnya hukuman mati wajib juga dikenakan ke atasnya. Namun apakan daya Maharaja telah menerima permintaan Laksamana Hang Tuah. Ketika Maharaja dan segala para Sida mula bergerak meninggalkan Lapangan Tempur, Hang Tuah sempat melirik matanya kepada Cheng Di, kelihatan Cheng Di sedang melumuri wajahnya dengan jelingan yang bermaksud jahat. Hang Tuah hanya mengukir senyuman sambil melangkah pergi untuk bertemu kembali rombongan Melaka di atas Astaka.


Di Utara Banjaran Tibet

Kuil kuno ini tu telah lama di tinggalkan 20 tahun yang lalu Sami Sam Poo telah menjumpainya. Dialah yang membersihkan dan membaik pulih serba sedikit kuil ini.
Sudah lama dia bertapa di sini dan kini Sami Sam Poo telah mempunyai anak murid juga.

Sami Som Poo yang sejak dari pagi tadi bertapa di dalam sebuah bilik khas dalam kuil ini tiba-tiba terasa terganggu dengan bunyi desiran angin yang menerobos masuk ke kamarnya malah baunya juga tidak menyenangkan. Namun Sami Sam Poo sudah biasa dengan perkara-perkara mistik begini, dipejamkan juga mata dan meneruskan bacaan menteranya.

Tetapi ketenangannya tidak lama. Tiba-tiba Sami Sam Poo bertempik keras, badannya terlambung kebelakang terseret di atas lantai sehinggakan lantai kayu itu pecah menghasilkan lekuk seperti parit. Ada sesuatu yang menghempas dia dengan begitu kuat.


Jeritan yang kuat itu mengejutkan Kwon Lun yang sedang tekun menyapu daun-daun kering di luar kuil. Kwon Lun terus mencampak penyapunya lalu berlari dengan terkocoh-kocoh untuk melihat apa yang terjadi. 

Sampai di kamar Gurunya Kwon Lon kaget gurunya terbaring di atas lantai biji-biji tasbih yang melilit dilehernya putus bertaburan di serata lantai kuil, darah pekat bersembur dari mulutnya.

Kwon Lon memangku gurunya.“Tok Guru apa yang telah berlaku? siapa yang telah menyerang guru.?” Soal Kwon Lun dengan nada cemas. Matanya liar memandang kawasan sekeliling tetapi tiada siapa di situ melainkan mereka berdua.

Sami Sam Poo begitu nazak suaranya sangat perlahan dan tersekat-sekat. Kwon Lun meletakkan telinganya di hujung mulut Tok gurunya. Sami Sam Poo telah membisik sesuatu kepada Kwon Lun sambil terangguk angguk kecil Kwon Lun mendengar kata-kata gurunya.

Habis berkata kata Sami Sam Poo menunjukkan ke satu arah di sudut kuil tersebut dengan tangan yang terketar-ketar. Seketika itu juga tangannya jatuh terkulai. Nyawanya telah diragut Malaikat maut.


Kwon Lun meraung kuat, tidak disangka gurunya mati dalam keadaan mengejut begitu malah kematiannya juga amat mencurigakan. Ketika esakkannya semakin mereda dia kembali melihat ke arah sudut di dalam kuil yang ditunjukki oleh gurunya, suasana suram yang hanya diterangi oleh cahaya lilin di dalam kuil itu menyukarkan matanya untuk melihat apa sebenarnya yang berada di sana. Lama dia merenung ke arah itu, tiba-tiba matanya membulat mulutnya terlopong jantungnya seperti telah berhenti dari berfungsi dia benar-benar terkejut dengan apa yang dilhatnya sekarang....